Jumaat, 1 Jun 2012

FATIN NAIMAH DAN CUTI

Fatin Naimah adalah anak ketiga saya. Pelajar tingkatan 4 Sains Arab di SMK Dato' Syed Omar. Jika dilihat dari segi sejarah kelahiran dan persekolahan, hanya Fatin yang berbeza dengan anak-anak saya yang lain. Hanya Fatin seorang sahaja yang dilahirkan di Hospital besar Jitra dan hanya Fatin seorang sahaja juga yang menyambung pengajiannya bukan di SMK Agama Kedah. Pada saya, Fatin sememang mempunyai perwatakan sedikit berbeza dengan anak-anak saya yang lain. Jiwanya agak lembut tapi punya semangat cukup tinggi. Cuma Fatin jarang berupaya berjaga hingga larut malam. Selalunya jam 10.00 matanya sudah mula mengantuk.

Namun cuti kali ini saya tengok Fatin kerap juga berjaga malam. Seperti adiknya Farah, ketika saya sudah tidur dia masih lagi berjaga. Macam-macam benda yang dilakukan - paling kerap saya melihat dia membaca novel yang baru sahaja dibeli Isnin lepas. Dua buah novel yang mereka beli campur dengan beberapa buah novel milik kakak nampaknya sudah dihabiskan dalam masa beberapa hari sahaja. Siap boleh menceritakan semula sinopsis yang dibaca kepada kakaknya Farhana dan adiknya Farah. Sampaikan si kakak siap mengulas, "Tak payah baca lagi dah.., Lang dah cerita," disambut ketawa berderai mereka bertiga.

Selain membaca, Fatin paling senang membantu saya membasuh, menjemur dan mengutip pakaian di ampaian. Sambil menonton televisyen (sebenarnya kesemua anak saya jarang menonton televisyen dan yang kerapnya adalah - saya membuka televisyen siaran TV9 untuk meriuhkan keadaan), Fatin akan membantu saya melipat pakaian-pakaian tersebut dan kemudiannya menyusunnya di dalam almari bilik mereka. Jadi pada kesempatan tersebut selalunya pula Fatin akan mengemas bilik tidur mereka. Melipat pakaian-pakaian lama yang dihajatkan untuk disedekahkan kepada orang-orang yang memerlukan.

Sesekali apabila malam, ketika orang lain tidak menggunakan komputer adalah masa Fatin mengadap mukabuku dan 'meng - update' blognya bersama Kak Mimah. Macam-macamlah pula ditulis mereka sehingga kadang-kala saya memaksa mereka masuk tidur kerana malam sudah menganjak ke pagi.

Apabila saya bising berceloteh itu ini, Fatin akan cepat-cepat minta saya berhenti dan berkata, "Sudahlah, Sudahlah" memang saya tahu dia kurang selesa kalau saya berleter panjang dan ada ketikanya dia menunjukkan protesnya jika saya masih bersuara. Hari ini pula, setelah beberapa hari berbincang Fatin setuju pula untuk menghadiri kelas tuisyen Biologi di rumah kawan saya. Sedang motivasi tinggi tiba-tiba kelas tersebut terpaksa pula dibatalkan kerana adik kawan saya itu tiba-tiba dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang. Jadi bagi menggantikan kelas yang tidak jadi Fatin mengambil pula kesempatan menyiapkan karangannya yang masih berbaki.

Begitulah anak saya Fatin menghabiskan cutinya. Kesian juga mereka mengadap buku apabila petang kerapnya pula saya menjamu mereka dengan makan-makan dan minum-minum. Selamat bercuti anak-anakku. Ada lagi seminggu dan kita atur lagi percutian kita selepas saya menghabiskan kursus pada 3 - 5 Jun ini. Selamat bercuti!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...