Jumaat, 1 Jun 2012

FARAH IZZATI DAN CUTI

Sepanjang seminggu bercuti sempena cuti sekolah penggal pertama, selain ke sekolah saya suka melayan kerenah anak-anak. Sembang-sembang dan berkongsi cerita dengan mereka. Anak saya ada empat orang dan mereka mempunyai pelbagai ragam dan perangai. Apabila berkumpul ramai-ramai seperti ini, pelbagai ragam dapat disaksikan.


Kali ini izinkan saya bercerita tentang Farah Izzati dan cuti penggal 1 2012. Sebelum bercuti, hari Rabu katanya ustaz sudah berikan 3 teks untuk dihafal. Kesemua teks tersebut dalam Bahasa Arab. Kebetulan Farah dan 2 orang rakannya akan mewakili Negeri Kedah dalam pertandingan HIWAR Kebangsaan pada bulan Julai nanti. Jadi sepanjang seminggu bercuti ini kerja Farah adalah menghafal teks-teks yang disediakan.

Selain menghafal, Farah seperti cuti-cuti sebelumnya suka sangat membaca. Kebetulan suami saya juga suka menghabiskan masanya (katanya terapi) di kedai-kedai buku. Selalunya kami sekeluarga akan membeli buku di Hassani Book Store Sg. Petani. Di sinilah anak-anak dan suami saya akan menghabiskan masa 30 minit hingga 1 jam (ada kalanya lebih daripada itu), memilih buku-buku yang mereka minat. Dan kerana itulah juga anak saya Farah juga anak-anak yang lain sangat suka membaca - macam-macam novel dan macam-macam penulis yang sesetengahnya tidak saya kenali.
Selalunya pula sepanjang cuti sebegini, Farah akan menghabiskan masanya membaca sehingga lewat malam - kadang-kala saya sendiri sudah tertidur dan bangun semula tetapi dia masih mengadap buku novelnya.

Sesekali apabila ke dapur, sepanjang cuti ini tugas Farah adalah menyediakan minuman - pagi atau petang. Minuman yang disediakan diletakkan di atas meja dan apabila habis Kak Langnya akan menyuruhnya menambah lagi air yang baru. Seronok juga apabila melihat Farah di dapur.

Selebihnya, selain kerja sekolah yang dibekalkan guru, kerja Farah 'mengup-date' muka bukunya dengan kata-kata indah yang saya sendiri kurang pasti di mana dia perolehi. Ada ketikanya juga saya turut teruja melihat dan membaca kata-kata tersebut yang tentunya memberi kesan pada hati.

Demikian anak saya Farah menghabiskan cuti. Nanti saya akan ceritakan pula bagaimana anak-anak saya yang lain memanafaatkan masa cuti masing-masing dan saya menjadi 'penganalisa' tanpa dibayar. Kerapnya pula apabila saya berceloteh panjang maka akan ada suara-suara menegur saya, "Mak, janganlah asyik baca berita sahaja! Berita pukul berapa ni mak..?" Dan saya pun akan berhenti berceloteh meninggalkan mereka dengan kerja-kerja mereka.

Selamat bercuti anak-anakku - Kita mulakan pula dengan pusingan untuk minggu ke-2. Tapi maaflah yer, saya akan berkursus pula pada 3 - 5 Jun 2012!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...