Ahad, 13 Mei 2012

HARI ANUGERAH CEMERLANG SMKSB 2012

Sudut Hadapan Pentas
Persembahan Angklong

Bagai Dalam Taman
Hari Anugerah Cemerlang SMKSB sudah pun berlalu pada hari Rabu 9 Mei 2012 yang lalu.  Sebenarnya saya agak mengambil masa untuk menulis tentang perjalanan HAC 2012.  Hendak dikatakan sibuk, tidaklah pula.  Cuma momentum untuk menulis terasa begitu terhambar lantaran beberapa 'peristiwa' yang berlaku.  Pun, peristiwa tersebut tidaklah pula menjadikan saya boleh bermalas-malas begitu sahaja.

Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada semua warga kerja SMKSB di atas kejayaan merealisasikan HAC yang cukup hebat pada pandangan mata saya.  Dari bisik-bisik beberapa orang teman-rakan yang hadir ke majlis tersebut, ramai yang melahirkan rasa kagum dan bangga dengan HAC pada kali ini.  Sukar untuk saya menjelaskan mengapa kebanggaan dan kekaguman itu dinyatakan mereka.  Cuma dari cakap-cakap mereka yang sempat saya tangkap di hujung telinga kerana persembahan yang dikatakan mantap.

Sebenarnya saya juga ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada Puan Zanifa serta barisan AJK Persembahan yang bertungkus-lumus menjadikan impian sebuah kenyataan.  Saya sebenarnya jika diberi peluang menganugerahkan bintang - tidaklah pula saya lokek untuk memberi 5 bintang kepada keseluruhan persembahan yang telah dibuat oleh anak-anak pelajar.  Hebat! Terus-terang saya nyatakan bahawa persembahan tersebut menjadi lagi hebat dengan nostalgia lagu-lagu Allahyarham Sudirman Hj. Arshad (barangkali kerana saya dibesarkan dengan keasyikan lagu-lagu dendangan Allahyarham - apapun Al-Fatihah untuk Allahyarham Sudirman).  Sentuhan kreativiti tangan Cikgu Zanifa, Cik Nabila, Cikgu Razalana dan banyak lagi yang di belakang tabir itu ternyata begitu menjadi.

Selain persembahan yang hebat, hiasan pentas juga ternyata hebat.  Cikgu Sarimah serta semua jawatankuasa ternyata begitu kreatif memilih lanskap untuk HAC bagi tahun 2012.  Dengan warna hijau, air pancut, lampu - menjadikan dewan seperti sebuah taman yang segar dan hidup; tidak pula jemu mata memandang.  Sebenarnya saya tahu, SMKSB jika diberi tanggungjawab menghias pentas maka tangan-tangan itulah juga yang akan menghasilkan sesuatu yang diluar jangkaan.  Cantik, hidup dan mendamaikan!

Sebenarnya bukan itu sahaja yang harus dipuji, banyak lagi Jawatankuasa yang telah menjadikan HAC 2012 berjalan lancar dan tertib.  Tidaklah pula saya nampak di mana-mana kekurangan sepanjang majlis tersebut berlangsung.  bermula dari sambutannya dengan barisan kadet polis serta unit berunifrom yang lain, bunga manggar, kompang dan tariannya, sajian dari dapur dengan menu yang menyelerakan, kad jemputan dan buku program dengan warna hijau dan coklat yang cukup memikat serta barisan pengacara majlisnya.  Kesemuanya adalah hasil kerjasama dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh seluruh warga SMKSB.  

Sejuta tahniah untuk seluruh warga SMKSB walaupun saya tidak dapat menyebutkan semua nama (kerana saya tidak lupa kepada semua gurunya yang sangat berdedikasi), terutama Puan Pengetua Pn. Hajah Rahinun serta barisan pentadbiran yang sering meletakan kerja buat di barisan pertama dalam perkhidmatan.  Anda semua pasti akan dianugerah Allah SWT ganjaran yang tidak ternilai suatu ketika kelak.  Tahniah! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...