Jumaat, 4 Mei 2012

TANGAN YANG MEMBERI VS TANGAN YANG MENERIMA

Seperti rutinnya setiap pagi Jumaat, saya dan suami akan ke pasar.  Membeli seekor-dua ikan meskipun di rumah hanya kami berdua sahaja yang tinggal.  Hujung minggulah biasanya saya mengambil kesempatan memasak - yang lain sedikit pada hari biasa (selalunya pula pada hari-hari bekerja kami kerap makan berasingan - di pejabat masing-masing).  Pagi ini juga seperti pagi-pagi Jumaat yang lain sebaik suami pulang dari masjid seepas kuliah Subuh Jumaat kami keluar ke pasar Jitra.  Begitulah selalunya.  Saya suka jalan-jalan sambil melihat ramai orang menjual pelbagai sayur kampung di perkarangan pasar.  Selain itu saya suka juga membeli rempah-ratus yang disediakan oleh sepasang suami isteri berhadapan tangga naik ke pasar.  Macam-macam yang boleh dibeli, perencah tomyam, kari ikan dan daging, rendang dan lain-lain.  Ikut selera kaum ibu yang teringin menyediakan menu apa untuk keluarga mereka di hujung minggu.
Selepas membeli perencah asam pedas dan kari ikan, saya memasuki ruang membeli ikan dan daging.  Di penjuru tangga naik mata saya tiba-tiba terpandang sesusuk tubuh yang baru beberapa hari lalu (malam sebenarnya pada cuti 1Mei) saya dan suami ternampak 'dia' berdiri tegak dengan baju lengan panjang dan bersongkok di hadapan Maybank Jitra.  Masih muda orang itu.  Apa yang saya perhatikan pemuda itu begitu komitmen terhadap tugasnya - memegang sebuah kotak sambil berdiri menanti orang ramai menghulurkan derma untuk sebuah pertubuhan.  Saya bukan ingin 'menghina' tugas mulia yang dilakukan pemuda tersebut, cuma saya sering tertanya bagaimana seorang lelaki muda, yang nampak terpelajar sanggup menggadai rasa malunya berhadapan dengan orang ramai saban waktu.  Jikalah tugas sebegitu diberikan kepada saya, saya rasa belum pun sempat 10 minit saya sudah beredar dan mengaku kalah.
Pertanyaan dan pertanyaan yang bermain di kotak fikiran saya tidak ternoktah di situ sahaja.   Selepas membeli sedikit keperluan dapur, saya dan suami terus pula ke Bank Muamalat Alor Setar.  Sambil menunggu suami yang melangsaikan urusannya di bank, saya bersandar mengunyah keropok.  Tiba-tiba pintu kereta saya diketuk dari luar.  Sedikit terkejut, saya beralih.  Seorang anak lelaki barangkali baru 11 tahun atau mungkin 12 tahun tercegat di pintu kereta sambil memegang beberapa keping CD.  Tidak tahulah saya CD yang dibawanya sedangkan kepala saya secara spontan menggeleng - respon terhadap isyarat lisan yang diberi oleh anak itu.  Anak kecil itu segera berlalu dengan wajah sedikit kecewa.  Saya dalam terpempan, tidak pula ingin menghulur RM1 atau RM2 kepada anak lelaki itu sebagai simpati saya di pagi Jumaat yang berkat ini.
Sebaik suami melangkah masuk, mulut saya segera mengomel tentang dua insiden yang berlaku di depan mata saya sepagi ini.  Saya bagai merasakan kedua-dua insiden ini mempunyai kaitan dengan suatu sindiket yang menggunakan anak-anak dan para pemuda (yatim atau piatu) untuk mengaut keuntungan.  Bayangkan jika 100 orang yang masuk ke bank setiap hari, jika hanya 10 orang sahaja yang menghulurkan RM2 - maka seorang yang menunggu di hadapan sebuah bank anak memperolehi RM20.  Jika seramai 10 orang ditaburkan di mana-mana bank, pasar, pusar membeli-belah, stesen minyak dan lain-lain maka pendapatan sindikit tersebut mungkin mencecah RM200 sehari.  Jika operasi sebegini berterusan dalam masa sebulan selama 20 hari maka pendapatan bersih tanpa cukai adalah RM4000!!
Entahlah... barangkali saya terlalu kerap mencongak-congak sehingga setiap tangan yang memberi itu saya hitung dan saya kira.  Sedangkan kita sepatutnya membanyakkan amalan sedekah memandangkan tangan yang memberi itu sebenarnya lebih baik daripada yang menerima.  Namun persoalan yang bermain di fikiran saya ini, saya ajak semua pembaca di blog saya fikirkan bersama.  Mungkin saya terlalu emosional sehingga kurang rasional ketika membuat analisa.  Mari kita fikirkan.

1 ulasan:

  1. Dari satu perspektif yang berbeza, kita mungkin boleh menerobos ufuk minda untuk lebih menekuni secara lebih serius isu derma jalanan ini. Rasanya perkara ini bersinonim dgn isu 'pemerdagangan' remaja dan kanak-kanak oleh sesuatu pihak yang berkepentingan atas nama agama, simpati dan kemanusiaan. Walaupun bukan semua boleh dikaitkan tetapi aktiviti sebegitu terasa agak menyakitkan mata dan minda. Menyumbanglah! tetapi biarlah lebih berhati-hati supaya niat murni kita sebenarnya sesuatu yang murni - dilihat murni dan hakikatnya pun membawa kepada kemurnian...

    BalasPadam

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...