Isnin, 2 April 2012

Kesukaran

Pernah anda berada dalam keadaan cukup serba salah? Tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan sesuatu situasi. Yang kadang-kadang begitu menyakitkan sekali. Barangkali anda sering pula berfikir – mengapa dalam banyak situasi hanya aku yang beralah? Sedang orang lain enak-enak menambah kesukaran dalam kehidupan kita? Persoalan ini sebenarnya bertujuan membawa semua kita merenung pada diri? Bagaimana kadang-kala kita berada di persimpangan – ditelan mati bapa, diluah mati emak. Hingga ada ketikanya kita sudah begitu meluat menghadapi ragam yang sama saban hari. Berhadapan dengan manusia ego dan kurang matang. Meskipun dalam banyak keadaan kita sangat berharap – agar ada insan dapat kita jadikan sandaran. Sahabat dan juga saudara. Kerana resamnya kita merasakan begitulah bila bersahabat. Bukan untuk mengurangkan malah berusaha untuk sentiasa menambah.
Pernah anda berasa begitu marah? Sehingga kemarahan itu merebak dan membarah. Kesannya begitu menyakitkan dalam hati. Malah cukup menyukarkan untuk anda terus beraksi. Atau kadang-kala merasa cukup ‘geram’ untuk melihat dan memandang. Kerana dalam banyak keadaan anda sentiasa cuba mendiamkan. Malas untuk bertegang leher dan mencari kesalahan. Kerana anda sering beranggapan bahawa setiap manusia tiada kira siapa pun pasti melakukan kesilapan. Dan kesilapan itu sentiasa pula boleh diperbetulkan lantaran manusia boleh berubah. Itu pun jika mereka mahukan perubahan.
Pernahkah anda merajuk hati pada seseorang? Yang anda anggap sahabat dan pernah diikat dengan tali persaudaraan. Sehingga anda merasakan diri anda dipermain-mainkan? Hanya untuk memberi dan mendapat sesuatu ganjaran? Pernahkah anda merasa betapa sukarnya untuk memaafkan? Sedangkan jauh di sudut hati anda sangat berharap agar kesilapan yang sama tidak berulang. Namun, anda masih berhadapan juga dengan pelbagai kesukaran lantaran begitu mudahnya orang memainkan perasaan?
Kehidupan sebenarnya adalah suatu pentas lakonan. Jika kita sentiasa lemah dan tidak mampu meraih sokongan – selamanya kita menjadi pembantu dalam proses untuk terkenal. Dan seterusnya ada orang yang akan berusaha menjadi jaguhan. Mencari tempat untuk memenangi hati dan perasaan dengan cara murahan. Lalu, di manakah agaknya tempat kita yang akan menjadi begitu sukar – untuk mengenal hati dan budi orang?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...