Maaflah jika hari ini saya menulis dalam bahasa saya yang begini. Saya seperti sudah kehilangan kekuatan. Entah mengapa. Barangkali motivasi diri yang cuba saya bina sejak dahulu, yang saya rasakan cukup kuat akhirnya goyah satu-satu. Saya cuba menghitung dan merenug dalam diri. Semakin jauh dan semakin dalam. Cuba juga memujuk diri. Namun saya merasakan bahawa diri saya sudah hilang.
Sepatutnya sebagai seorang kaunselor - yang dibekalkan dengan kekuatan fizikal dan mental; saya mampu menghadapi apa juga rintangan yang datang. Saya perlu jadi kuat untuk anak-anak pelajar yang ada di hadapan saya. Yang pastinya memerlukan saya dalam mereka mengatur gerak. Namun hakikatnya, hari ini saya sudah berasa cukup kalah. Saya cuba untuk tidak menyalahkan sesiapa. Cuba untuk meletakkan kesalahan tersebut hanya kepada saya. Nyata, dalam situasi begitu - yang sakitnya adalah saya juga.
Bagaimana sebenarnya saya ingin menterjemahkan rasa hati saya ini di sini. Agar segala keperitan dan ketidakselesaan ini dapat dikongsi bersama. Saya tidak dapat memberi komitmen dalam apa juga keadaan jika diri saya berasa begitu longlai. Kurang motivasi dan berasa begitu rendah diri ketika ini. Saya tidak mahu mengaku kalah - jauh meunjukkan diri saya lemah. Saya tidak mahu orang lain terus merebut peluang untuk menikam saya - depan dan belakang! Saya mahu bekerja - mendepani hasrat dan harapan. Saya mahu memberi - agar orang lain dapat merasai nikmat dan kasih sayang.
Puas saya berfikir mengapa ada juga orang yang akan sentiasa mengambil kesempatan. Mungkin pada mereka kesempatan itu merupakan peluang cukup baik untuk menunjukkan kehebatan diri. Namun sebenarnya kesempatan yang mereka ambil adalah suatu langkah merosakkan banyak hati. Kecewakah saya sebenarnya apabila pagi tadi saya melihat air mata 'orang kuat' yang sebelum ini memberi semangat kepada saya jatuh berderai. Jika semalam saya tidak dapat menahan sebak, hari ini saya melihat kelukaan itu pada orang lain. Siapakah yang patut saya persalahkan. Anak-anak itukah yang akal mereka masih begitu pendek, orang luarkah yang datang untuk berbincang atau mereka itukah yang mencuri ruang dari kesempatan yang datang?
Rasanya air mata ini sudah acapkali mengalir kerana mereka. Saya sudah kalah sebenarnya. Sakit amat terasa. Hati saya sudah mati. Jiwa saya juga sudah kosong. Mana mungkin saya rasa seronok lagi walau pun saya cuba menghapuskan seluruh kedukaan saya saat ini.
Orang lain boleh berkata apa sahaja. Seorang kaunselor - yang kuat dulunya kini sudah tumbang. Siapakah yang akan menghulurkan tangan mereka untuk saya. Lalu meniupkan sejuta kata-kata motivasi untuk saya kembali berdiri. Saya perlu bangun untuk diri saya - bukan kerana 'dia' tetapi kerana 'mereka' yang sentiasa memerlukan saya. Cuma persoalannya bagaimana saya dapat berdiri jika kaki saya terus dipijak berkali-kali???
Tiada ulasan:
Catat Ulasan