Rabu, 28 Mac 2012

Pantun dan Fungsinya Dalam Komunikasi (1)

Dari zaman persekolahan menengah dan seterusnya ke universiti, saya sangat meminati puisi Melayu lama terutama pantun. Sesekali apabila membaca saya suka menterjemahkan sesuatu dalam bentuk tulisan sebegini agar dapat dikongsi bersama berkaitan dengan pantun dan peranannya dalam komunikasi. Untuk perkongsian kali pertama ini saya cuba menghuraikan peranan pantun sebagai alat komunikasi berbentuk hiburan.
Sesuai dengan pengertian dan takrifan pantun sebagai alat untuk mengenali pemikiran, budaya, budi malahan lukisan dan gerak hati masyarakat Melayu secara keseluruhannya, maka kita patut melihat fungsi atau peranan yang dimainkan oleh pantun dalam kehidupan bermasyarakat. Sehubungan itu, melalui tulisan ini saya akan cuba mengungkap perihal pentingnya pantun sebagai salah satu alat komunikasi masyarakat Melayu berdasarkan tajuk, “Pantun : Wadah Komunikasi Masyarakat Melayu.” Jika perbandingan secara terperinci dibuat di antara fungsi pantun dan juga fungsi komunikasi, beberapa kesimpulan awal boleh dibuat terutama dari segi persamaan kedua-duanya. Seperti juga komunikasi, pantun juga berperanan sebagai alat hiburan dalam masyarakat, menjadi saluran pendidikan atau nasihat, untuk menjalin hubungan dalam masyarakat, sebagai penyebar informasi, berperanan dalam transmisi budaya masyarakat, agen ekonomi dan juga politik. Namun demikian dalam konteks perbincangan ini, hanya empat fungsi utama pantun dalam komunikasi yang akan diberi penekanan iaitu dari dimensi hiburan, pendidikan dan nasihat, perhubungan dalam masyarakat serta aspek ekonomi dan juga politik.
Pantun Dalam Konteks Hiburan

Memandangkan masyarakat Melayu lama tidak mempunyai saluran atau media yang canggih untuk menghiburkan hati selepas penat bekerja, maka pantun menjadi salah satu medium untuk mereka mengubat lara di hati dan juga melepaskan segala kelelahan sama ada dari segi mental
mahu pun fizikal. Sesuai dengan peranan komunikasi yang bertindak sebagai alat hiburan, pantun juga memainkan peranan yang sama terutama untuk menimbulkan rasa keriangan dalam kehidupan sehari-harian. Beberapa contoh pantun di bawah dapat memperjelaskan lagi secara lebih terperinci bagaimana pantun amat berguna terutama dalam membayangkan rasa gembira yang dialami oleh seseorang, meninggalkan perasaan seronok dan riang terutama di kalangan kanak-kanak serta menimbulkan unsur-unsur jenaka dalam kehidupan. Contohnya;

Anak kera pandai meniti,
Anak ayam disambar helang;
Tidak terkira besarnya hati,
Melihat ibu sudah pulang.

Rawa bangun jalan berliku,
Penuh onak makanan badak;
Gelak senyum rupa kakakku,
Melihat nenek duduk berbedak. (Ismail Hamid, 1987, hal. 236-237)

Selain itu, pantun juga digunakan dalam interaksi antara individu terutama untuk menguji minda seseorang. Selain dapat mencabar ketangkasan seseorang berfikir, pantun dalam konteks ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara individu kerana ia disampaikan dalam besuasana santai. Contohnya dalam perbualan di antara seorang ayah dengan anak, datuk dengan cucu atau pun sesama rakan sebaya. Ini dapat dilihat terutama sekali dalam pantun teka-teki seperti pantun yang diberikan di bawah ini;

Kalau tuan tombak rencana,
Ambil gantang sukatkan pulut;
Kalau tuan bijak laksana,
Apa binatang tiada perut? (Mohd. Yusof Md. Nor, 1984. hal. 84)

Sehari-hari adik ditatih,
Dibawa dia ke rumah abang;
Berapa tinggi terbang Cik Putih,
Ke kerbau juga atau ke kubang. (Dussek dalam Harun Mat Piah, 1989, hal. 347)

Bagi melengkapkan fungsi pantun sebagai alat hiburan, pantun selain digunakan dalam acara berbalas pantun sesama anggota masyarakat, pantun turut juga dinyanyikan sama ada oleh kanak-kanak, pasangan teruna dan dara yang sadang asyik masyhuk dalam alam percintaan mahu pun oleh golongan rang tua. Di dalam nyanyian rakyat contohnya seperti lagu “Rasa Sayang” dan “Suriram” contohnya, penggunaan pantun sebagai lirik lagu ternyata dapat memberikan hiburan yang tidak sedikit kepada seluruh masyarakat Melayu.

Suriram (ram ram)
Suriram yang manis
Aduhai suriram sayang
Makin dipandang semakin manis.

Tinggilah tingggi si matahari (suriram)
Anak kerbau mati tertambat (suriram)
Sudahlah lama hamba mencari – sayang
Baru sekarang hamba mendapat.

Suriram (ram ram)
Suriram yang manis
Aduhai suriram sayang
Makin dipandang semakin manis.

Dualah tiga kucing berlari (suriram)
Mana nak sama si kucing belang (suriram)
Dualah tiga sudah kucari – sayang
Mana nak sama abang seorang. (Utusan Pengguna, Jan-Feb. 2008, hal. 14)

Selain pantun digunakan sebagai lirik lagu dalam lagu-lagu rakyat, berikut diketengahkan pula beberapa rangkap pantun yang begitu popular digunakan sebagai sebahagian daripada lirik lagu sehingga menjadi siulan anggota masyarakat dan masih segar dinyanyikan oleh pelbagai lapisan masyarakat berdasarkan kedudukannya.

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan. (Dipetik dari filem Gurindam Jiwa)

Timang tinggi-tinggi,
Sampai pucuk atap;
Belum tumbuh gigi,
Sudah pandai baca kitab.

Tepuk amai-amai,
Belalang kupu-kupu;
Tepuk adik pandai,
Upah minum susu. (Ismail Hamid, 1987, hal. 243)

Secara keseluruhannya, pantun telah berjaya memainkan peranannya sebagai hiburan dalam konteks komunikasi dalam kehidupan masyarakat Melayu dengan memasukkan beberapa unsur lain bagi memastikan nilai-nilai estetika di dalam pantun terus terpelihara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...