Rabu, 28 Mac 2012

Komunikasi

Mengikut takrifan Kamus Dewan (1996, hal. 698), komunikasi merupakan satu bentuk perhubungan secara langsung atau satu bentuk perhubungan dengan menggunakan perantaraan untuk berbincang, bertukar-tukar pendapat, bercakap atau berbual-bual. Manakala Oxford Fajar Dictionary (2000, hal. 344) mendefinisikan komunikasi atau dalam bahasa Inggerisnya communication sebagai suatu perbuatan menyampaikan, memancarkan, juga mengedarkan sebarang bentuk pesanan dan ingatan dengan menggunakan pelbagai bentuk jaringan atau cara untuk mewujudkan interaksi.
Bagi Mohd. Baharudin Othman dan Mohd, Khairie Ahmad (2003, hal. 3) komunikasi ditafsirkan sebagai satu proses pemahaman maksud yang disampaikan oleh pengirim kepada penerima dengan tujuan kebaikan bersama. Sesuatu proses komunikasi yang tidak mewujudkan sebarang bentuk pemahaman antara dua pihak adalah tidak membawa sebarang makna atau kerana tidak melibatkan keberkesanan dalam proses komunikasi itu sendiri. Manakala Dance (dalam Mohd. Baharudin Othman dan Mohd, Khairie Ahmad, 2003, hal. 2) membahagikan komunikasi kepada 15 aspek yang berbeza yang meliputi konsep seperti simbol, pemahaman, interaksi, pengurangan ketidakpastian, proses, replikasi memori, perubahan sikap, ransangan, niat, kuasa dan lain-lain sama ada dalam bentuk interaksi, perbincangan atau pun berdiam diri. Abdul Rashid Hj. Mohamad (2000, hal. 37), pula menjelaskan komunikasi adalah satu proses hubungan dua hala sama ada berlaku dalam bentuk lisan (verbal) atau pun bukan lisan (non-verbal) yang mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menyampaikan sesuatu mesej, perasaan, idea dan fikiran dari seorang individu (penyampai) kepada individu yang lain (penerima). Beliau juga menegaskan bahawa mesej yang disampaikan hendaklah mengandungi set-set simbol tertentu yang mengandungi makna atau maksud seperti perkataan, mimik muka, gerak geri badan, nombor, nada suara ataupun pergerakan badan secara keseluruhannya yang boleh diterjemahkan mengikut pemahaman individu yang menerima mesej tersebut.
Secara kesimpulannya, komunikasi adalah satu bentuk pertukaran idea dan maklumat sama ada secara verbal atau pun non-verbal antara individu dengan individu atau sebilangan individu bagi tujuan interaksi atau perhubungan dalam mewarnai kehidupan sehari-harian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...