Jumaat, 15 April 2011

KAWAN VS SAHABAT

Hidup ini memerlukan orang lain. Orang untuk kita berkongsi cerita. Berkongsi suka. Berkongsi rasa. Ada orang kita jadikan sebagai kawan. Ada juga kita jadikan sahabat. Semuanya berdasarkan sejauhmana kita menilai mereka di hati kita. Kalau ditanya berapa ramai kawan yang kita miliki? Tentunya tidak mampu kita hitung dengan jari.


Namun tentunya jawapan akan berbeza jika ditanya berapa ramai jumlah sahabat yang anda miliki. Adakah masih tidak boleh dihitung dengan jari? Kita boleh bercerita dengan kawan-kawan. Cerita seronok, cerita suka kita. Kawan selalunya kita boleh ajak datang ke rumah. Kita mungkin jemput dan menerima kawan di tepi pagar, di halaman atau mungkin di ruang tamu rumah kita. Sesekali kita juga mungkin makan bersama-sama kawan-kawan kita.


Demikian pentingnya kawan. Bagaimana pula dengan sahabat? Kita selalunya bercerita yang lebih peribadi dengan sahabat. Banyak luahan hati dikongsi bersama. Sahabat juga diajak ke rumah. Tempatnya mungkin lebih istimewa – boleh masuk ke bilik kita! Malah kita sering makan bersamanya. Berkongsi cerita, berkongsi suka, berkongsi duka dan segala-galanya.


Kehidupan menjadikan kita sentiasa memerlukan antara satu sama lain. Ketika di bangku sekolah, bekerja malahan mungkin sudah tua. Kawan dan sahabat; dua insan yang memainkan peranan cukup penting kepada pembangunan diri kita. Bagaimana seorang individu akan berjaya jika ada kawan atau sahabat yang saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Sesungguhnya jika kita ingin mengenali diri seseorang secara lebih jelas – yang baik tanyalah sahabat baiknya, manakala yang buruk tanyalah musuhnya…


KITA HANYALAH MERANCANG; ALLAHLAH YANG MENENTUKAN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...