Sabtu, 19 Februari 2011

TIADA SUATU PUN YANG KEKAL; KITA CUMA PINJAMAN SEMENTARA

Untuk menerima berita tentang suatu kehilangan pastinya amat sukar bagi setiap orang. Lebih-lebih lagi kehilangan tersebut bukan bersifat sementara malahan selama-lamanya. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikian kehidupan. Jika beberapa hari lepas, saya berasa begitu sukar untuk mengisahkan setiap lingkup cerita perihal kesakitan dan kedukaan, hari ini kesakitan dan kedukaan itu menjawab kepada keseluruhan mimpi-mimpi negri selama ini.
Namun kebelakangan ini, satu demi satu insan yang hampir dengan dunia saya, gugur. Meninggalkan saya mengutip daun-daun kenangan yang jatuh satu demi satu. Begitulah kehidupan. Semakin kita hitung-hitung; semakin banyak ranjau dan rintangan yang mendewasakan kita. Malam tadi, Jumaat 18 Februari saya dan suami mengambil kesempatan membantu saudara kami yang baru kehilangan anaknya; Abd.Muin b. Abd. Malek pada petang 16 Februari 2011. Membuat majlis tahlil ini bagai mengimbau berjuta memori ketika mereka kecil. Namun saya bukanlah sesiapa jika dibandingkan dengan kedua ibu bapa putera ini. Kesedihan mereka menjalani detik sukar seperti ini tentunya perlu didokong dengan tangan-tangan kita yang berhampiran.
Sebenarnya, dalam menongkah arus kehidupan kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk gelombang. Ada ketika gelombangnya begitu kuat sehingga menghempas kita semula ke permukaan pantai, lalu mengubah keseluruhan struktur pantai tersebut. Ada ketika yang lain gelombangnya hanya merupakan satu alunan kecil yang menampar-nampar sambil membawa seribu nikmat yang tidak mampu kita ucapkan. Begitulah; jika kita kuat menangani kemelut kehidupan maka lahirkan kita sebagai insanyang tabah dan cekal. Jika kita lemah menghadapi gelombang kehidupan, jadilah pula kita insan yang kecundang, yangsentiasa menangisi sukarnya meneruskan perjalanan.
Saya barangkali bukanlah insan yang cukup kuat. Saya pernah merasa begitu sukar untuk bangun ketika menghadapi saatgugurnya 3insan yang begitu hampir dengan saya ; almarhumah bonda, allahyarham ayahanda dan almarhumah kekanda saya. Begitulah saat-saat sukar ketika jatuh dan berusaha untuk bangun semula. Namun, saya sedar tiada suatu apa pun yang kekal untuk kita di dunia ini melainkan Allah dan tiada apayang kita punya melainkan semuanya dipinjamkan buat sementara. Kita cuma diamanahkan menikmati seketika saat manis atau sukar ketika bersama. Bila tiba waktunya diambil semula; kita perlu sentiasa redha kerana tiada suatu apa pun milik kita.
Moga tabah menghadapi saat-saat ini buat keluarga allahyarham Abd. Muin. Fatihah buat seluruh kekasih saya yang telah semakin jauh meninggalkan saya, sedangkan saya semakin hampir mendekati detik-detik tersebut yang akan tiba bila-bila. Kita cuma dipinjamkan dan sifatnya begitu sementara!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...