Rabu, 16 Februari 2011

MARI KITA SAMA-SAMA DOAKAN; ANAKKU MUIN

Saya sebenarnya tidak tahu bagaimana tulisan ini harus saya mulakan. Barangkali kedukaan yang bersarang di hati saya tidak mungkin sama dengan kesedihan, kepiluan serta kedukaan yang sedang dialami saudara saya - Pn. Marini dan Dr. Malek. Namun saya juga terasa ingin berkongsi rasa duka itu memandangkan dia lahir dan dibesarkan di depan mata saya. Tambahan dia juga sering ada di depan mata saya- sama-sama membesar dengan anak sulung saya Mawardi. Cuma bezanya dia tidak dilahirkan melalui rahim saya seorang ibu. Itulah bezanya.
Kalau ditanya soal sayang, saya juga menyayangi dia. Sayang sebagai anak; tambahan dia dan adiknya Mukmin kerap di rumah saya, belajar bersama saya dan suami dari kecil. Saya senang mendepani mereka. Malah saya turut berbangga kerana pernah menjadi guru mereka dan turut berbangga dengan kejayaan-kejayaan mereka.
Malam itu, Ahad 13 Februari 2011 lebih kurang 9.10 malam berita yang dibawa Mawardi tentang dia cukup mengejutkan saya. Malahan sebahagian jiwa saya terasa kosong. Tidak percaya. Barangkali itulah juga perasaan yang dirasai oleh Pn. Marini ketika berita yang menimpa anaknya dikhabarkan oleh suami saya. Hari-hari yang dilalui selepas malam itu merupakan hari-hari penuh penungguan. Saya tidak pernah terlali bertanya perkembangan dia setiap kali suami saya balik dari surau atau menghubungi Mawardi melalui Nazril di Kuala Terengganu.
Kereshan jiwa saya turut dirasai anak saya, Farhana. "Mak, sedihke?" soalnya malam ketika orang bercuti menyambut Maulidurasul. "Mestilah mak sedih. Dia besar depan mak. Duduk kat sini le selalu. Dah macam anak mak..", kata saya cuba menahan rasa sebak.
Begitulah saya rasa sepanjang minggu ini. Kalaulah saya diberi pilihan saya ingin terbang ke Kuala Terengganu. Sekurang-kurangnya saya mahu melihat bagaimana kesakitan yang sedang dia alami. Saya juga telah berazam untuk ke Kuala Terengganu sekiranya dia tidak dipindahkan ke sini sehingga cuti sekolah ini. Itulah antara keinginan saya dan semua keinginan tersebut telah saya suarakan kepada suami saya sejak beberapa hari lalu.
Memang dia bukan sesiapa dengan saya. Cuma dia adalah anak dalam kawasan kejiranan rumah saya. Dapur rumah keluarganya bertemu atap dengan dapur saya. Namun rasa kasih sayangitu wujud memandangkan dia menjadi sahabatanak saya sejak kecil. Membesar, mengajimalah belajar di rumah saya. Maka mana mungkin saya menafikan rasa kasih yang timbul terhadap dia. Ketika musibah ini menimpanya, saya turut merasakan sebahagian kedukaan, kesedihan, keperitan malahan kepiluan dan yang tanggung keluarganya. Malahan, saya terasa bagaimana sakitnya penderitaan yang dialaminya ketika ini.
Anakku Miun (barangkali saya boleh memanggil dia begitu), kuatkan hatimu menghadapi kesakitan dan kesukaran ini. Saya tahu Muin cukup kuat. Jangan mengaku kalah. Di sisi Muin ada ramai orang yang menyayangi Muin menunggu dan berdoa. Kuatkan hati. Terus berjuang. Kami akan terus mendoakan Muin kerana kami sangat-sangat menyayangi Muin. Saya tahu Muin kuat dan saya mahu Muin terus berjuang. Jangan biarkan kesedihan terus bersarang di jiwa setiap orang. Jangan. Bangun buka matamu; kami sedang menunggu! - (Abd. Muin bin Abd. Malek, 21 tahun pelajar Sem. 6 Uni. Sultan Zainal Abidin- terlibat dalam kemalangan jalanraya di Kuala Terengganu pada 13 Februari 2011; berada dalam keadaan koma- tolong doakan moga beliau cepat sembuh dan kembali sihat seperti sedia kala)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...