Khamis, 13 Januari 2011

JANGAN BERTANGGUH; MARI KITA MULAKAN SEKARANG


Januari 2011, sudah hampir separuh bulan berlalu. Terasa begitu cepat masa beredar meninggalkan kita. Jika dihitung-hitung sepanjang tahun 2011 ini banyak sungguh yang perlu diselesaikan. Hingga kadang-kala tidak terlarat dek tangan untuk menyelesaikan segala macam tugasan yang bertimbun di dada meja. Namun, hakikat kehidupan mana mungkin kita tolak begitu sahaja. Selagi kita bergelar seorang pelajar, pekerja; maka selagi itulah rutin kerja-kerja seharian itu perlu kita langsaikan.

Sepanjang dua (2) minggu ini, pelbagai aktiviti dan program berjalan begitu baik. Pelajar-pelajar Tingkatan 1 yang baru menginjakkan kaki ke duni persekolahan menengah telah didedahkan dengan pelbagai perkara sepanjang minggu orentasi. Tujuannya Cuma satu untuk memberi peluang, ruang malah kesempatan kepada pelajar-pelajar ini mengenali dunia persekolahan menengah yang tentunya berbeza dengan dunia persekolahan rendah.

Selain itu, pelajar-pelajar yang baru mendapat keputusan PMR didedahkan pula dengan pakej pelajaran yang ditawarkan di peringkat menengah atas. Selain perlu membuat pilihan yang tepat berdasarkan keputusan peperiksaan PMR 2010, mereka juga perlu memikirkan kelayakan dari segi personaliti yang mereka miliki. Seperti juga adik-adik di Tingkatan 1, tujuan minggu orentasi untuk pelajar-pelajar Tingkatan 4 adalah merupakan suatu pendedahan untuk mereka mengenalpasti kemampuan diri dan peluang yang boleh mereka rebut demi masa depan mereka yang masih panjang.

Apabila kita melihat rentetan-rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang dua minggu ini, banyak sungguh ‘pendidikan ‘ yang cuba diterapkan para guru. Kadang-kala ketika termenung saya sering memikirkan mengapa ketika saya berada di peringkat umur seperti pelajar-pelajar saya tidak berpeluang mendapat semua itu. Terlalu banyak pendedahan berunsur pendidikan dan pembangunan diri yang diterapkan oleh guru-guru untuk membangunkan modal insaneyang bakal mewarisi negara pada masa hadapan. Namun, mengapa masih ada ruang-ruang kosong yang dibiarkan terabai tanpa sebarang usaha untuk diisi?

Bersandarkan semua itu, saya ingin menyeru kepada semua agar merebut setiap peluang yang ada untuk meningkatkan potensi diri. Jangan biarkan hanya orang lain merebut dan mendapat semua peluang yang ditaburkan di sepanjang perjalanan yang kita lalui. Kerana jika biarkan semua peluang yang bertaburan itu dikutip orang, apakah lagi yang tinggal untuk kita? Jadi, marilah. Jangan bertangguh. Kita perlu mulakan sekarang. Mari kita sama-sama mengutip batu-batu hitam yang bertaburan kerana batu itu cukup bernilai untuk kita semua. SIAPA SANGKA!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...