Isnin, 8 November 2010

IKTIBAR BANJIR 2010

Apabila banjir melanda Negeri-negeri Utara Semenanjung bermula 1 November 2010 pelbagai suara kita dengar. Banyak pihak memberikan pendapat dan pandangan melalui media-media cetak dan elektronik. Kadang-kala pendapat dan pandangan yang diberikan begitu memualkan. Persoalan yang timbul sekarang adalah cara membantu mangsa. Bukan menunding jari kepada pihak-pihak tertentu. Pengalaman bertugas seketika di pusat penempatan banjir memberi banyak kesedaran. Manusia selalunya tidak pernah belajar menginsafi diri. Kesukaran menghadapi banjir tidak mengajar sesuatu kepada mangsa. Terasa begitu daifnya manusia. Persoalan makanan tidak cukup untuk mangsa bukan persoalan baru. Apabila terlalu ramai mangsa ditempatkan bagi satu-satu tempat penempatan, pelbagai isu dan permasalahan timbul. Sikap pentingkan diri sendiri begitu sinonim dengan insan-insan sebegini. Dalam situasi darurat begitu masih ada yang mengambil makanan dan menyorok dalai beg-beg persendirian. Ada yang mementingkan keluarga – makan seperti di rumah sendiri, ikan nak 2@3 ekor seorang, telur tidak cukup sebiji, roti dan air diambil secara berlebihan. Akibatnya ada orang yang tidak dapat bahagian. Lebih menyedihkan apabila ada yang tidak dapat makanan kerana tidak berupaya berebut-rebut dan beratur mendapatkan makanan yang disediakan. Kasihan sungguh..
Kesukaran menyalurkan makanan dan bantuan bukan disebabkan pihak-pihak teertentu lepas tangan. Kejadian banjir yang diluar jangka, menyebabkan ramai orang menjadi kelam-kabut. Kejadian 2005 berbeza berbanding 2010. Air naik mendadak dan melimpah ke merata-rata tempat yang tidak terjangkau di fikiran. Bayangkan Hutan Kampung yang tidak pernah dimasuki air, ditenggelami melebihi 1 meter. Begitu juga Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Langgar. Semuanya dilimpahi dan dibanjiri air. Keadaan menjadi terlalu tidak terkawal. Bukan tidak ada bantuan tetapi kesukaran pengagihan berlaku di mana-mana. Tidak ada kenderaan yang sesuai, perhubungan terputus, air yang mengalir terlalu deras dan laju. Amat menakutkan. Bagaikan tsunami; walaupun tidak dilanda badai seumpamanya tetapi impaknya cukup besar.
Dalam kegawatan itu, elektrik dan air bersih juga menjadi terlalu sukar. Giant dan Tesco kehabisan air mineral. Malahan lilin juga. Kedai-kedai kecil di kampong-kampung ditutup kerana air melimpah hingga ke kampung. Ada satu, dua kedai runcit yang menyediakan bekalan, menjual dengan harga berlipat ganda. Ambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Lilin menjadi RM3.50 untuk 6 batang. Ikan kering, bilis, minyak masak juga dijual sekali ganda. Semua makanan kering ‘sold out’ dan taukeh cina di kedai-kedai runcit yang tidak dimasuki air untung besar dalam masa 2 hari. Kesukaran sebenarnya tidak saja dialami mangsa tetapi orang-orang berhampiran yang merasai tempias banjir itu sendiri. Impaknya tidak sedikit malahan cukup besar.
Apapun yang berlaku sebenarnya, dalam kekalutan menghadapi bencana alam ini sepatutnya semua pihak sama ada kerajaan, badan NGO malahan orang perseorangan perlulah sentiasa berbaik sangka. Tidak meletakkan sentimen politik dalam membicarakan sebarang isu. Ini kerana implikasinya amat besar kepada rakyat yang menanggung bebanan dari kesengsaraan yang mereka alami. Media-media elektronik tidak perlu membangkit-bangkitkan ruang kemarahan rakyat kerana dalam situasi yang begitu menekan seperti apa yang berlaku di utara Tanah Air yang perlu adalah kata-kata perangsang – dapat menghidupkan semula jiwa yang hampir kontang, hati yang sudah gersang malahan kehidupan yang terasa hilang. Menjadi tanggungjawab moral setiap badan (individu mahupun kerajaan) menghulurkan tangan agar mereka sentiasa yakin bahawa diri mereka masih ada yang sayang. Subhanallah. Alhamdulillah. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja yang tahu nikmat disebalik apa yang berlaku dari musibah banjir ini. Insya’Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...