Ahad, 7 November 2010

BANJIR 0H BANJIR

Sebenarnya hujan yang melanda negeri-negeri Utara hanya berlaku selama 2 hari iaitu pada 31 Oktober dan 1 November. Pagi 2 November sebaik sampai di Maktab Mahmud untuk memberi sedikit pendedahan berkaitan Personaliti dan Kerjaya, aku terkejut melihat keadaan di sekolah tersebut. Air menaiki laluan ke blok B.
Jam 11.30 pg, dalam perjalanan balik ke sekolah, aku menerima telefon daripada PPD Kota Setar. Diminta berkhidmat dalam team Smart Supporting di SK Titi Gajah membantu mangsa banjir di sana. Dengan izin pengetua terus ke tempat duty. Air naik membuak-buak di situ. Kaki terendam selama lebih 3 jam dalam air. Mengumpul pelajar-pelajar di bawah Dewan Terbuka. Sedikit taklimat dan pesanan selain mengenali mangsa-mangsa banjir yang rata-rata pelajar sekolah rendah.
Suasana agak kelam kabut. Jabatan Kebajikan Masyarakat membuat pemdaftaran baru. Bilangan mangsa bertambah. Beberapa badan NGO, persendirian, parti politik tampil menghulur bantuan. Air yang naik memaksa beberapa mangsa di penempatan bawah (Bilik Prasekolah dan sekitar) mencari tempat selamat. Bilik-bilik darjah di ruang atas telah dipenuhi mengsa terawal. Di atas pentas dewan terlantar mangsa yang sakit (lumpuh) serta beberapa keluarga lain. Pihak JKM memaklumkan satu lagi penempatan baru dibuka di SK Wawasan Taman Aman. Aku dan Ustaz Hazman ditempatkan pula di situ. Air di semua kawasan telah terputus, termasuk di rumahku.
Malam 10.00 malam 2 November, aku tidak dapat memasuki SK Wawasan Taman Aman. Jalan ditutup. Air melimpah hingga ke jalan besar. Aku balik dengan harapan esok dapat memasuki kawasan penempatan itu.
Rakan-rakan sekolahku di Jitra telah menerima 'kemurkaan' ini lebih awal. Azlin, Roslina, Ustaz Lamin malahan teman-teman guru yang lain. Semuanya sedang bertarung menghadapi bencana dan peringatan Allah ini.

3 November 2010
Seawal 7.15 pg aku sudah bersesak-sesak dengan pengguna lain untuk ke SK Wawasan Taman Aman. Kenderaan beratur panjang. Air yang naik semakin tinggi. Aku terpaksa berpatah balik ke SMK sultanah Bahiyah. Berada di sekolah dalam suasana cukup tidak selesa. Panggilan Mawardi menceritakan keadaannya di Arau (UiTM) menambah kebimbangan tambahan bila hujan dikhabar masih turun di daerah itu. Pukul 10.00 pg, suami memberitahu 'ban' di Bohor pecah. Di sekolah terasa tidak selamat. Semua guru berada dalam kegusaran. Apabila sampai ke rumah, jalan Bohor untuk ke Kepala Batas telah ditutup. Air naik begitu cepat. Sahabatku Paziah tidak dapat pulang ke rumah. Kesian.
Petang anakku Fatin Naimah balik seawal 4.00 ptg. Air di asrama tidak ada dan semua penghuni asrama terpaksa pulang ke rumah. Kami masih boleh bertahan memandangkan air di dalam kolah rumah masih berbaki.

4 November 2010
Terkejut bila sampai di pintu pagar sekolah. Air melimpah sehingga ke Shell dan Esso. Jalan Sutanah dilimpahi air sehingga paras lutut. SMK Sultanah Bahiyah?? Kami diarahkan pulang. Inilah sejarah terbesar air membanjiri sehingga kesini. Semua kawasan sudah dilimpahi air. Balik ke rumah. Ambil keputusan mengangkut air dari tali air di sebelah rumah. Tidak tahu bila bekalan air akan pulih semula.
11.00 pg, Jalan Sultanah ditutup untuk lalu lintas. Keadaan menjadi sedikit cemas, anakku Farhana hanya akan dilepaskan dari sekolah pada pukul 12.30 tgh. Suamiku membebel kerana kesukaran untuk ke SMK Agama Kedah. Melalui Maktab Mahmud dan pusing balik untuk membawa anakku pulang ke rumah. Kesukaran mula dirasai. Tapi setakat ini bersyukur kerana kawasan kami masih lagi selamat. Di hadapan rumahku berpuluh kenderaan diparking. Kesian.., tapi syukurlah masih ada tempat untuk meletak kenderaan.
Malam beberapa taman di sekitar jalan Langgar mula dinaiki air. Banyak kampung di sekitar sudah mula tenggelam 1 kaki ke 2 kaki dan ada yang sampai 1 meter. Malam elektrik terputus. Anak-anak datang ke hadapan, berkumpul tidur berhampiran aku. Beberapa batang lilin kupasang untuk menghilangkan kerisauan di hati anak-anak.

5 November 2010
Sebaik suami balik dari masjid, suatu berita mengejutkan. Air naik di Jalan Hutan Kampung. Tidak ada kenderaan boleh melalui Jalan Hutan Kampung lagi!! Kami terkepung di tengah-tengah. Air sekarang melimpah hingga ke persimpangan highway, rumah MB malahan sebahagian Jalan Langgar - Pokok Sena. Musibah apakah ini?? Banyak sungguh mangsa yang perlu dibantu. Semua orang memerlukan bantuan. Makanan, air bersih dan sebagainya.
Aku dan anak-anak mengambil keputusan mengumpul baju-baju lama untuk diagihkan kepada mangsa si SMK Hutan Kampung. Ramai yang datang sehelai sepinggang. Ada yang sakit dan banyak keperluan tidak dapat disalurkan kerana kesukaran bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Makanan basah dan kering kebanyakannya habis di kedai-kedai dan pasaraya. Kalau ada pun ada yang tidak mampu membeli kerana tidak dapat membawa wang bersama ketika diarahkan berpindah. Allah bersyukur sangat kerana kami terselamat walaupun kesukaran tetap terasa. Namun.., kesukaran itu ternyata lebih baik jika dibandingkan dengan mangsa-mangsa di tempat pemindahan yang kehilangan segala-galanya.

6 November 2010
Keadaan masih tidak berubah. Air dikatakan memasuki bandaraya Alor Setar. Kami hanya di rumah. aku mengambil kesempatan memasak makanan yang mudah. Boleh makan 2@3 kali. Dalam kaedaan sukar, perut masih perlu diisi. Anak-anak ternyata belajar dari kesusahan, ambil masa basuh, bilas dan sidai baju. Aku melihat kesungguhan dan keikhlasan anak-anak dalam situasi sukar seperti ini. Lilin dalam rumah sudah habis. suami mengajak kami meninjau-ninjau jalan-jalan yang boleh dilalui untuk mencari lilin dan sedikit makanan kering. stok dalam rumah hanya tinggal telur. Tidak ada apa yang berbaki. Kami melalui lebuhraya untuk ke alor Setar Selatan. Melalui kesesakan lalulintas, kesesakan pemikiran dan kerisauan yang agak tinggi. Mencari lampu guna bateri dan beli sedikit keperluan. Makan malam dan sempat solat di masjid persimpangan ke Kuala Kedah. Balik melalui jalan dalam bandaraya; kerisauan kembali memuncak. Air kelihatan di mana-mana. Hebat sungguh banjir kali ini.
Akhirnya kami kembali ke lebuh raya, menyusuri jalan yang dikiri-kanan dileimpahi air membuak-buak. Ketakutan, kerisauan. Allah... hanya doa moga semua ini akan segera reda.
Kami sampai ke rumah setelah melalui segala kesukaran dalam perjalanaan. Melalui sesuatu yang sebelum ini tidak pernah kami lalui. Dua puluh tahun di Alor Setar inilah saat-saat sukar yang kami lalui. Kesukaran yang diberi Allah SWT sebagai satu peringatan. Maha suci Allah kerana aku tahu disebalik segala apa yang berlaku ada hikmatMu yang tidak ternilai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...