Isnin, 3 Ogos 2009

MENYUSUR KENANGAN

Sungai Perak yang kukenal 20 tahun lalu ternyata sudah berubah wajah. Airnya tidak sejernih dahulu. Ikan kaloi sebesar kanak-kanak berusia 1 tahun tidak lagi kelihatan berenang-renang di dasarnya. Dasar Sungai Perak yang dulunya ditumbuhi rumpai langsung tidak kelihatan. Malah tidak ada barang seekor pun anak ikan saling melompat di dada air. Semuanya nampak usang dan kusam. Tidak ada juga anak kecil seusia 8 hingga 12 tahun melompat terjun ke dalam air sambil menjerit kesukaan. Semuanya sudah berubah. 

Sepanjang perjalanan dari Kati hingga ke pekan Kuak juga sebenarnya sudah berubah benar.  Jalan simpang-siur sehingga menyebabkan isi perut terburai keluar dahulu, kini digantikan dengan Lebuhraya Kuala Kangsar - Gerik. Cantik dan canggih. Perjalanan yang dulunya memakan masa sejam hanya tinggal 30 minit cuma. 

Cepat sungguh masa beredar. Pekan kecil ini pun sudah berubah. Seluruh bangunan kedai di kanan jalan lenyap ditelan api kebakaran. Tidak ada usaha membuat bangunan baru walaupun tragedi itu sudah lama berlaku. 

Di hujung selekoh jalan ini adalah sekolahku. Sekolah Kebangsaan Raban. Cuma sekolah itu yang masih gah di situ. Tersergam gagah dengan beberapa bangunan baru. Di situlah aku mendapat pendidikan awal ketika tinggal bersama Toki Karim dan Pan Saodah dua puluh tahun dahulu. 

 Toki Karim. Pan Saodah. Dua nama yang besar ertinya dalam hidupku.. Dua nama yang telah mengubah seluruh takdir hidupku. Aku tidak pasti sama ada hendak berterima kasih atau marah. Aku juga tidak tahu sama ada hendak menyesali takdir atau mensyukurinya. Memang aku tidak tahu. 

“Merajuk le tu. Tengok, orang makan dia tidur!! Asyik nak seronok saja. Tak tahu yang orang ni susah. Dah tak ada orang nak pergi tengok televisyen sudahlah. Yang merajuk tak mahu makan tu kenapa? Kalau sakit nanti kita juga yang salah.” 

Suara bebelan Pan Soadah pada malam kejadian itu masih terngiang-ngiang di cuping telingaku hingga kini. Aku yang kesakitan terus menutup kepala dengan selimut. Entah kenapa rasa benci pada Pan Saodah tiba-tiba membuak. Kesakitan di mata kananku akibat dibaling dengan limau oleh Hassan anak lelakinya tiba-tiba terasa begitu menyucuk. Tidak sedar air mata mengalir lagi. Entah untuk kali ke berapa. Nasib baik Kak Piah dan Mak Cik Senah nampak apa yang berlaku senja tadi. Merekalah yang mendemah dan menahan darah daripada keluar. 

“Nasib tak kena biji mata, kalau tak buta,” kata Mak Cik Senah ketika membasuh luka di mata kananku. Dan jari jemari tua itulah yang meletakkan ubat di kelopak mataku yang luka. 

Perancangan untuk menonton siri Combat di rumah Kartina terpaksa dibatalkan. Aku balik ke rumah dengan berhati-hati. Naik melalui pintu dapur dan terus memerap diri di dalam bilik. (Sebenarnya bilik ini hanyalah sebuah sudut yang dihadang dengan sebidang kain dan diletakkan sebuah katil untuk aku tidur. Tidak ada apa-apa di dalam bilik ini. Hanya terdapat sebuah para daripada papan di sebelah kiri katil dijadikan tempat aku menyusun buku-buku dan pakaian). 

Aku meraba-raba mata kananku yang masih berdenyut. Tiba-tiba rasa marah, benci dan kecewa datang bersilih-ganti. Marah pada Hassan dan benci pada Pan Saodah. Kenapalah aku yang dipilih untuk tinggal dengan Toki Karim? Kenapa tidak kakak? Semuanya kerana Toki Karim yang terlalu ingin akan anak perempuan. 

Malam itu tidurku bertemankan air mata yang tidak kusedari bila ianya kering. Seawal pagi, dengan berbekal semangat ingin bertemu Cikgu Khairi, cikgu kesayanganku, aku bingkas bangun menuju ke tepian Sungai Perak. Di situlah selalunya aku mandi. Di situ jugalah aku sering termenung mengenang nasib diri.

Luasnya Sungai Perak di depanku sama seperti luasnya harapanku pagi itu. Sejuknya air Sungai Perak samalah seperti sejuknya hatiku yang telah dipanaskan semalam. Semua kesakitan yang kurasa kucuba buang jauh-jauh. Perhitungan perlu kubuat segera. Aku tidak sanggup lagi hari-hari berdepan dengan Hassan. Kerap benar dia membuliku. 

Beberapa hari lepas, beg sekolahku diselongkarnya. Majalah Bujal yang kupinjam dari Adibah, kawan sekelasku diconteng. Gambar emak yang kubawa bersama dikoyaknya. Malah pemadam yang dihadiahkan Cikgu Alawiyah guru Bahasa Inggerisku diambilnya. Marah benar aku pada Hassan. Budak lelaki berbadan besar dan suka bergaduh. Usianya baru 11 tahun. Setahun lebih tua daripadaku.

Aku tahu memang ramai yang takut akan Hassan. Rambutnya yang tercacak jarang bersikat. Tidak pernah berminyak. Pipinya berparut di sebelah kanan. Ada juga kesan luka di lengan kanannya. Dia suka mengusik budak-budak perempuan. Malah budak-budak lelaki Darjah Enam sekolah aku juga takut dengan Hassan.

Aku pun memang tidak suka akan Hassan. Banyak betul perbuatannya yang aku tidak berkenan. Termasuk memecahkan pasu bunga Pan Soadah. Tapi Hassan kata Si Mail anak Kak Joyah Jongang yang buat. Pandai betul Hassan berbohong. Itulah sebabnya aku tidak suka tinggal di sini. 

Lagi pun aku tahu, Hassan anak Pan Saodah. Bukan anak Toki Karim. Toki Karim mana ada anak. Dia sudah tua. Pan Saodah masih muda. Dalam tiga puluhan. Masa Toki Karim kahwin dengan Pan Saodah, Hassan sudah ada. Suami Pan Saodah mati lemas. Lemas dalam Sungai Perak itulah. Perahunya tenggelam. Sebenarnya aku tahu banyak perkara. Termasuk Toki Karim yang kahwin lagi bila isterinya mati dipatuk ular. 

“Saya nak balik dengan cikgu hari ni. Sa... saya...” 

Air mata merembes keluar sebaik bertemu Cikgu Khairi. Sebenarnya Cikgu Khairi tinggal sekampung dengan keluargaku di Kati. Kepada dialah aku diamanahkan oleh bapa ketika ingin balik ke kampung. Dialah yang akan bersusah payah membonceng aku dengan basikalnya sehingga sampai ke rumah. 

 Ramai orang kata Cikgu Khairi ada masalah jiwa tetapi aku tahu Cikgu Khairi baik. Dia yang selalu membelikan aku makanan ketika Toki Karim tidak memberi duit belanja sekolah. Dia juga yang beria-ia meminta persetujuan guru besar agar aku diberi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah. Pada aku Cikgu Khairi segala-galanya. Apa orang lain kata aku tidak peduli. Yang penting Cikgu Khairi faham aku. 

“Hassan yang buat. Saya tak kacau dia. Saya tak mahu duduk kat situ lagi cikgu. Tak mahu.” 

Kali ini esakanku makin meninggi. Cikgu Khairi mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Nanti cikgu jumpa Toki dan Pan dulu. Salina tak boleh balik macam tu saja. Kena bagi tau dulu. Nanti cikgu kena tangkap polis,” pujukan Cikgu Khairi berbekas juga di hati walaupun terasa berat hendak menerima semua itu. 

“Saya tak tahu cikgu. Pagi-pagi lagi budak tu dah ke sekolah. Manalah saya tau kerja budak-budak.” 

Aku mendengar suara Pan Saodah membela diri sebaik Cikgu Khairi dan Cikgu Saderi bertanya. Sedikit pun dia tidak bertanya keadaan mataku. 

“Saya ni sibuk cikgu. Bukannya nak tengok dia seorang saja. Anak saya dah dua. Lagipun Hassan tu memang dah macam tu perangainya. Nak saya buat macam mana?"

Sedihnya hati mendengar ungkapan Pan Saodah. Jelas Pan Saodah tidak rela menerima aku. Hanya Toki Karim yang beria-ia. 

“Saya ni cikgu bukan tak sukakan dia. Suka. Dia pun rajin tolong saya. Tak apalah cikgu. Nanti saya tengok dia macam mana. Alah..., cikgu ni, macam tak ada anak. Budak-budak macam tulah perangainya.” 

Perbincangan Cikgu Khairi dan Cikgu Saderi habis di situ. Aku tidak tahu kenapa Pan Saodah tidak mahu menghantar aku balik ke Kati. Cikgu Khairi dan Cikgu Saderi pulang sebaik tangan mereka kujabat. Berat sungguh aku melepaskan mereka pergi. Kereta Datsun 120Y milik Cikgu Saderi bergerak perlahan meninggalkan rumah Pan Saodah. Terasa seperti diriku yang dibawa pergi bersama. 

Deruan enjin kereta Cikgu Saderi sama seperti deruan hatiku yang tidak keruan. Aku tercegat memandang sehingga kelibat kereta putih Cikgu Saderi hilang dari pandangan. Seluruh harapanku turut hilang bersama lesapnya kereta itu dari pandangan. 

“Kecil-kecil dah pandai mengadu. Cuba awak tengok. Saya dah kata jangan ambil anak orang. Susah. Bukannya teruk mana pun. Tu, Kak Senah dengan Piah dah bubuh ubat semalam. Buat malukan kita saja."

Sayangnya Toki Karim tetap membisu. Tidak ada sepatah kata. Aku yang mendengar berasa sakitnya hati. Malam itu aku nekad. Esok pagi-pagi aku mesti lari. Mesti. 

Dengan wang seringgit yang diberi Cikgu Khairi aku balik ke Kati. Itulah tindakan nekad yang pernah aku buat. Akibatnya emak dan Toki Karim tidak bertegur selama setahun. Aku tidak peduli semua itu. Riuh semua keluarga bila aku balik ke rumah tidak aku pedulikan. 

Di Kati, aku bersekolah seperti biasa. Bersama kawan-kawan kayuh basikal ke sekolah. Setiap hujung minggu tolong emak kutip kacang hijau dan kutip getah sekerap. Sesekali kutip cili padi dan jual di kedai Pak Haji Deris. Aku belajar dan belajar sehingga dapat 5A dalam Penilaian Darjah Lima. Emak bangga bukan main. Begitu juga bapa. Aku dapat menyambung pengajian ke Sekolah Menengah Agama Ta’ayah, Ipoh. 

Aku tidak mahu lagi menoleh ke belakang. Melihat kisah silamku yang penuh dengan kemuraman. Cukuplah setahun aku merasa betapa “manis”nya menjadi sebahagian daripada keluarga Toki Karim dan Pan Saodah. Malah nama Hassan juga ingin kubuang jauh-jauh. Biar hanyut dibawa arus deras Sungai Perak hingga ke kuala. 

“Mak…” 

 Suara Farah Izzati mengejutkan aku dari lamunan. Aku merenung ke arahnya yang berlari dengan ais krim di tangan. Aku bangun. Melemparkan senyuman. Kemudian memandang sekali lagi ke arah Sungai Perak. Melihat wajah Toki Karim dan Pan Saodah terapung-apung di dada air. Lalu tenggelam satu-satu. Aku beristighfar. Toki Karim dan Pan Saodah. Sudah lama keduanya tidur dalam lena yang panjang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...