Isnin, 3 Ogos 2009

KEKELUARGAAN DAN REMAJA

SUASANA keluarga yang tidak mesra dan selesa menyebabkan anak berasakan lebih baik bergaul dengan rakan sebaya daripada ibu bapa. Maka sudah tentu remaja akan patuh kepada budaya rakan sebaya. Rakan sebaya dijadikan sumber rujukan untuk apa sekali pun (masalah dan pendapat). Jika boleh kita ingin melihat ahli keluarga sendiri yang dianggap penting dan kerap dijadikan sumber rujukan untuk membantu remaja.
Jika remaja sudah menjadikan ahli keluarga sendiri sebagai orang penting dalam hidup mereka, maka remaja tidak akan salah laku. Mereka tidak akan terikut-ikut dengan salah laku remaja lain. Namun ini semua bergantung kepada sejauh mana ibu bapa boleh wujudkan suasana mesra dan selesa dalam keluarga mereka sendiri

Kemesraan dalam keluarga (terutama antara ibu bapa dan anak) boleh meningkatkan motivasi pelajar yang secara tidak langsung akan meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Kemesraan dalam keluarga juga ada hubungan yang positif dengan harga diri pelajar (self-esteem). Kita mestilah menerima hakikat bahawa tidak semua ibu bapa boleh wujudkan kemesraan dan keselesaan dalam keluarga sendiri. Tetapi kita mesti cuba wujudkan suasana mesra dan selesa.
Ibu bapa mestilah cekap mengurus keluarga sendiri. Ketidakcekapan ibu bapa mengurus keluarga dan kurangnya tumpuan sekolah kepada mereka yang mungkin menunjukkan tanda salah laku merupakan satu peluang yang amat baik bagi rakan sebaya atau golongan lain untuk mempengaruhi kaum remaja berkenaan. Oleh itu, tidak menghairankan kita jika seseorang kanak-kanak mempunyai budi pekerti yang membanggakan guru dan juga ibu bapa ketika berada di sekolah rendah berubah dengan cara mendadak menjadi remaja yang tidak menghormati orang yang lebih tua, mengambil dadah dan terbabit dengan kumpulan samseng sekolah.
Setiap kita mestilah sedar bahawa pengaruh rakan sebaya pada peringkat keremajaan amat kuat. Biasanya pengaruh yang membawa ke arah tindakan negatif yang begitu menonjol dan menjadi ikutan anak remaja. Segala aktiviti yang dipandang tidak baik oleh ibu bapa tidak pula dipandang sedemikian oleh rakan sebaya. Remaja mendapat sokongan padu daripada rakan sebaya untuk melakukan aktiviti devian. Ada kemungkinan remaja bertindak di luar tatasusila dengan rasa hati yang berat. Namun demi menjaga subbudaya remaja dan kerana ingin bersama dengan rakan sebaya, remaja berkenaan tidak teragak-agak lagi bertindak sebagaimana yang dikehendaki oleh kumpulannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...