Isnin, 6 April 2009

PERMASALAHAN MORAL DI KALANGAN REMAJA; SILAP SIAPA?

Remaja tidak terkecuali dan tidak terlepas dari pelbagai isu membabitkan moral. Saya pernah membaca suatu kajian yang membuktikan bahawa kes juvana yang terjadi di kawasan Felda juga ada mengatasi kes di sesetengah kawasan bandar dan ini merupakan suatu petanda yang membimbangkan.
Sejujurnya, saya amat yakin dan percaya bahawa institusi keluarga merupakan institusi yang cukup penting dan ampuh dalam melahirkan remaja yang berkualiti dan berjaya. Saya amat menyanjung tinggi terhadap institusi kekeluargaan dan amat percaya bahawa setiap perkara yang membentuk sikap dan diri remaja itu kebanyakannya merupakan acuan ibu bapa mereka. Saya tidak menolak bahawa terdapat juga remaja yang berjaya yang datang daripada keluarga yang bermasalah, benar, tetapi bagi saya lumrahnya mereka hanyalah mewakili sebilangan kecil remaja dan berapa ramaikah remaja yang mampu bertatih menanggung onak, duri dan rintangan untuk berjaya? Mereka masih muda, mentah dan masih mendambakan perhatian yang secukupnya daripada keluarga. Mereka sewajarnya diberi kasih sayang, tunjuk ajar serta model yang terbaik ke arah pembentukan peribadi yang mulia, bukannya dengan cara mewujudkan suasana yang tidak sihat di dalam keluarga.
Saya sangat bersimpati dengan rakan-rakan remaja yang lahir dalam keluarga yang bermasalah. Mereka memiliki potensi, intelektual, bakat dan sinar yang terang, namun telah dimalapkan oleh permasalahan yang dicipta sendiri oleh kedua ibu bapa mereka. Kelak, saya bimbang bahawa gejala ini akan terus menerus berlarutan pada generasi demi generasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...