Isnin, 6 April 2009

Pendidikan Agama Akar Tunjang Kekuatan Remaja (Siri 3)

Penyelesaian perlu ditumpukan pada peringkat awal iaitu bermula dengan pengukuhan sistem kekeluargaan yang menitikberatkan pengukuhan nilai murni ke arah melahirkan keluarga stabil. Pendidikan tidak formal oleh ibu bapa yang bermula dari rumah iaitu meliputi bimbingan, muhasabah dua hala dan pemantauan berterusan untuk meningkatkan etika dan peranan remaja perlu dilaksanakan oleh setiap keluarga. Pembangunan nilai berasaskan agama, persediaan memasuki alam remaja dan ketahanan diri menghadapi pergolakan sosial perlu ditanam dalam institusi keluarga. Perkara ini dilakukan melalui hubungan mesra dan semangat bertanggungjawab bagi membantu remaja melawan anasir sosial yang tidak sihat. Kehidupan dan pendidikan berasaskan agama mestilah diterapkan kepada remaja bagi menjamin kemantapan dan pemeliharaan akidah serta jati diri sempurna. Nilai baik dan etika hidup sihat perlu menjadi budaya kehidupan sesebuah institusi kekeluargaan. Andainya penjagaan dan pendidikan remaja dapat dilihat sebagai sebatang pokok, maka pendidikan agama adalah akar tunjang kepada kekuatan remaja. Sementara institusi kekeluargaan mantap dan mampu memainkan peranan yang disebutkan tadi akan menjadi batang kukuh dalam membangunkan jati diri remaja. Sekolah dan rakan sebaya juga berperanan dalam membina jati diri remaja. Kedua-dua unsur ini berfungsi sebagai dahan yang akan menjadi pelindung kepada pembentukan jati diri remaja. Sekolah patut memainkan peranan sebagai pusat sumber ilmu, tempat memupuk kemahiran dan institusi yang mengamalkan interaksi sosial terkawal. Rakan sebaya sempurna perlu dirapati dengan membentuk identiti kumpulan rakan sebaya yang ceria, berfikiran matang dan bertindak mengikut norma dibenarkan. Rasulullah pernah berpesan terhadap keperluan mencari teman yang baik umpama berkawan dengan penjual minyak wangi. Jika kita tidak dapat membeli minyak wanginya, pasti akan dapat mencium bau wangian jualannya. Tetapi, jika berkawan dengan si tukang besi, pasti akan terkena percikan kepanasan api yang digunakan ketika bertukang besi. Masyarakat dan media massa berperanan menjadi daun rimbun yang melindungi dan memayungi pohon jati diri remaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...