Khamis, 17 Mei 2018

EMAK - IBU, GURU DAN JURURAWATKU



Mei kini datang lagi.  Setiap tahun, Mei datang dan kemudian pergi.  Bulan dengan pelbagai perayaan. Untuk  Hari Ibunya, Hari Jururawat dan juga Hari Guru.  Kedatangan Mei saban tahun sejak lebih 12 tahun lepas, kerapkalinya mengundang rasa rindu dan sayu.  Tambahan bila ketiga-tiga perayaan itu disambut.  Namun, kali ini sayunya berganda.  Kerana Mei datang bersama Ramadan Kareem.

Hanya seorang insan yang kerap menyinggah bila Mei itu tiba.  Emak.  Bagiku dialah ibu, guru dan jururawat terbaik dan terhebat.  Jasanya tidak dapat dibalas walau seribu tahun datang dan pergi. 

Emak guru pertama yang mengajar aku tentang dunia.  Cuma bezanya dia tidak pandai menggunakan pen dan kertas, kapur dan papan kapur.  Namun, apa juga tentang kehidupan, kekeluargaan, persahabatan, kesabaran, keagamaan bermula dari lidah dan tangannya yang saban waktu sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar.  Emak – cintanya pada ikatan dan ukhwah sering meletakkan semua itu ditangga teratas.  Aku kerap diajar untuk beralah dalam banyak situasi.  Memberi ruang untuk yang lebih tua.  Menghulur untuk yang memerlukan terutama saudara sendiri.  Bersyukur dengan apa yang kita ada.  Merendah diri dengan sesiapa sahaja.  Tidak lokek.  Tidak pula menunjuk-nunjuk apa yang kita ada.

Teringat beberapa tahun sebelum emak jatuh sakit dan akhirnya meninggalkan kami 6 beradik pada tahun 2006.  Emak sibuk bercerita tentang kesungguhan dia dan Pak untuk membeli sebidang tanah kebun.   Untuk anak-anak.  Agih sama banyak biar masing-masing ada nama, katanya. Usaha itu entah kenapa aku tidak setuju.  Cukuplah dengan apa yang ada.  Tidak perlu bersusah payah.  Biar anak-anak cari sendiri.  Namun kini, setelah bertahun emak dan Pak tiada, baru aku tahu kenapa.  Ilmu tersirat yang anak-anak tidak pernah terfikir kesannya.   “Bila masing-masing ada bahagian dan hak – anak-anak pasti akan pulang ke kampong walau apa juga yang terjadi.  Rumah pusaka akan dijenguk dan kubur mereka akan terus dilawati”.  Maaf emak, kerana terlambat memahaminya.

Cerita tentang emak sebagai guru hebat terlalu banyak.  Dulu masa anak-anak masih kecil dan gaji aku dan suami agak kecil serta tanggungan besar, aku kerap bersunggut apabila berdua-duaan dengan emak. 
“Gaji Jah tak berkat Mak.”
“Hish… pasal apa kata macam tu”
“Simpanan tak ada.  Tiap-tiap bulan duit habis macam tu saja”.
“Salah tu Jah ooii…. Berkat ni macam-macam.  Tu yang kamu beli susu Adi dengan Farhana tu, berkat la.  Bagi kat Mak dengan Pak lagi.  Bayar duit orang jaga budak-budak tu.  Semua tu berkat”.
“Ada kamu dengan Sobri berkelahi?  Anak-anak kamu pun sihat.  Haaa, berkatlah tu.”

Emak…, terima kasih atas ilmu dan tunjuk ajar.  Tempat untuk aku berkongsi cerita suka dan duka.  Tempat untuk aku luahkan rasa.  Namun, bila emak pergi – patah sayapku untuk terbang lebih tinggi.
Dulu ketika kecil, aku adalah anak emak yang sering alergik bila tersilap makan.  Kerapnya ketika makan daging.  Seluruh badanku akan gatal-gatal dan dipenuhi kelopak garam.  Emaklah jururawat yang akan merawat ‘alergik’ itu sehingga hilang.  Dengan air kelapa (nyior), dengan bedak sejuk dan emak juga akan memastikan aku tidak bergaru sepanjang malam.   Hebatnya emak walaupun tidak tahu membaca dan menulis. 

Selain alergik,  aku kerap juga ditumbuhi ‘bisul’ (tapi dulu-dulu emak tak sebut bisul. Cuma aku lupa nama penyakit itu apa).  Kadang-kadang bisul ini tumbuh di merata tempat – ketiak, kepala, belakang telinga.  Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu.  Tambahan ketika malam.  Tapi emak ada cara dan kaedah (Ilmu yang dipelajari entah dari mana) untuk mengatasi masalah dan penyakit aku.  Kulit pokok mempelam yang diasah dicampur dengan sagu rumbia.  Kemudian disapu di sekeliling bisul tersebut.  Dan akhirnya bisul itu akan pecah dengan darah dan nanah esoknya!!  Hebatnya emak sebagai jururawatku meskipun emak tidak pernah mengikuti sebarang kursus perubatan baik moden atau tradisional!!

Emak, jika boleh aku ingin bercerita tentang emak panjang dan berjela.  Tentang ilmu pengurusan emak.  Tentang cita-cita dan harapan emak.  Tentang wawasan emak.  Tentang emak dan puasa.  Tentang kehebatan emak memasak dan berseni. Biar seluruh dunia dan alam tahu tentang hebatnya emak di mata kami.

Ah…, banyak sungguh cerita tentang emak dan sememangnya emak layak untuk semua yang disambut sepanjang Mei di Malaysia.  Kalaulah emak masih ada, tentu aku antara anak emak yang akan duduk di hadapan emak, tidur di ribaan emak sambil mendengar cerita emak tentang susurgalur keturunan kita. Namun, satu yang emak harus tahu – Rindu pada emak tidak pernah terpadam walau seribu tahun lagi.  Al-Fatihah untuk arwah emakku – AMINAH BINTI KULOP ABDUL RAHMAN.  Semoga syurga tempatmu aduhai bonda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...