Sabtu, 10 Ogos 2013

HARI RAYA KALI INI

Raya kali ini kami hanya berjaya mengumpul 3 beradik daripada 6 beradik yang sepatutnya kami punya.  Kebetulan kedua-dua adik lelaki kami mempunyai urusan masing-masing.  Seorang berhari raya di rumah keluarga mertuanya di Sungai Petani Kedah.  Manakala seorang lagi terpaksa bertugas di hari raya demi kebajikan semua pengguna Lebuhraya PLUS memandangkan tugas yang ditanggungnya sebagai salah seorang kakitangan PROPEL.  Manakala abangku pula menerima kunjungan tetamu sehingga menggagalkan dirinya untuk turut serta.

Sebenarnya selepas kepergian Allahyarhamah bondaku Aminah dan kemudian diikuti ayahandaku Mahmud 2 tahun kemudian, selalunya kami akan berkumpul di rumah kakak sulungku yang kami panggil 'Nyah'.  Di sinilah kami sering berkongsi cerita malah kadangkala mengimbau nostalgia bersama seluruh anak-anak buah yang semakin meningkat dewasa.  Banyak sebenarnya kenangan suka duka sepanjang membesar dan seterusnya membina keluarga yang sepatutnya menjadikan kami lebih matang dalam setiap tindak dan perbuatan.

Sehari berada di Kuala Kangsar - mengunjungi emak-emak saudara sebelah ibu dan ayah, mengunjungi keluarga abang dan adikku menjadikan setiap hari raya yang kami sambut sangat bermakna.  Meskipun setelah ketiadaan kedua-dua insan yang sangat besar maknanya dalam kehidupan kami namun, kami masih mampu menyambut kedatangan Syawal dengan cara tersendiri meskipun rentaknya mungkin sedikit berbeza.  

Untuk bondaku, ayahandaku juga kedua-dua kekandaku - Yusuf dan Latifah; kehadiran Syawal sentiasa menjadikan ingatan kami tidak pernah padam buat kalian.  Semoga kalian tenang di sana dan Hari Raya kali ini tidak pernah memadamkan ingatan kami kepada kalian. 

Salam Syawal buat seluruh keluarga. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...