Sabtu, 30 Mac 2013

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN TARIKH KELAHIRAN - HALIJAH

3O  Mac - suami, anak-anak, kakak, adik-adik, teman-rakan malah anak-anak murid; yang rapat mahu pun yang jauh sama-sama mengucapkan "Selamat hari lahir" untukku.  Seronok?  Gembira?  Macam-macam rasa bersilih-ganti ketika sedetik lagi usia menginjak dari satu angka ke suatu angka yang lain.  Sedar mahu pun tidak, rela atau mungkin suka, detik itu akan berlalu saat demi saat membawa kepada minit, jam dan kemudian hari terus pula berubah.  Demikian cepatnya masa berlalu.  Begitu cepat sehingga terasa tidak sedar bahawa usia semakin menghampiri ke noktahnya  yang ditentukan Illahi.

Sememangnya aku begitu teruja apabila melihat 'wall fb'ku penuh dengan mesej dan pesanan yang ditinggalkan.  Menunjukkan betapa aku 'disayangi' (barangkali) dan 'diingati (tentunya) oleh ramai orang.  Namun, dalam meniti bait demi bait yang ditinggalkan hati sering terdetik apakah akan ada lagi ucapan yang bakal aku terima pada tahun-tahun yang akan datang.  Setiap kali bergeraknya masa dan menginjaknya usia bererti semakin kita menghampiri usia kematian dan begitulah seperti mana arwah ibuku sering mengingatkan aku suatu ketika dulu.  Barangkali kerana itulah setiap manusia ketika usianya menjangkau 40-an, akan sentiasa mengingati mati.  Teringat fasa kehidupan manusia ketika aku mempelajari ilmu ini ketika di universiti dahulu.

Aku sebenarnya masih jauh mencari diri.  Masih dalam rangka belajar dan berusaha.  Pastinya dengan satu niat untuk khatam al-Quran - yang cuba aku praktikkan setiap habis waktu solat meskipun semuka-dua.  Demikian azam dan niatku dalam usia yang semakin tua.  Aku juga dalam rangka untuk membuat sebanyak mungkin amal - jika cita-citaku dulu ingin menerbitkan buku tidak mungkin mampu tercapai, aku ingin menulis walaupun sebaris dalam blogku untuk kukongsi bersama para pengunjung yang dahagakan satu perkongsian.  Aku juga dalam proses berkira-kira untuk bersedakah jariah dengan mengadakan kenduri walaupun dengan seringgit wang gajiku pada setiap bulan.  Demikian sebahagian angan-anganku dalam usia sebegini.  Sebenarnya terlalu banyak dan aku sendiri tidak pasti apakah aku termampu melunaskan semua itu.

Dalam usia yang semakin banyak, aku sebenarnya cukup bersyukur dengan pelbagai limpahan kurnia yang Allah SWT berikan untukku ketika ini.  Memang jika dibandingkan dengan teman-rakan yang lain, aku tidak punya harta bertimbun atau aset berlonggok dengan simpan berjuta - namun cukuplah untuk aku mensyukuri segala nikmat Allah SWT dengan memberikan aku sebuah keluarga - yang di dalamnya mekar dengan kasih-sayang; suami yang cukup setia, prihatin malah bagiku yang terbaik yang aku miliki, anak-anak yang sihat dan pastinya punya rasa kasih-sayang cukup besar untuk setiap anggota dan ahli keluarganya, kakak, abang dan adik-adik (baik ipar-duai) yang saling menyokong dan bergandingan, malahan teman-rakan dan pekerjaan yang cukup baik serta pastinya sentiasa menyenangkan.  Apalah lagi yang harus aku dustakan daripada apa yang telah Allah kurniakan untuk diriku??


Aku ingin merakamkan rasa syukurkan atas segala yang aku miliki kini.  Alhamdulillah.  Aku juga ingin merakamkan terima kasihku kepada semua (sahabat, teman-rakan, kaum keluarga dan yang paling penting suamiku Sobri dan anak-anakku Mawardi, Farhana, Fatin Naimah serta Farah Izzati) yang sering menyokong jatuh-bangunku selama ini.  Tanpa kehebatan kalian memberi dorongan dan bimbingan pastinya aku tidak akan terus berdiri sebegini pada saat dan tika ini pada usia menginjak ke angka 46.  Pastinya kerinduaan dan terima kasih ini untuk insan yang cukup istimewa dalam kehidupanku selama-lamaya - Ayahandaku Allahyarham Mahmud dan Bondaku Allahyarhamah Aminah - KALIANLAH INSAN YANG MEMBERI AKU PELUANG UNTUK BERNAFAS SEHINGGA SAAT INI.  

Kasih sayangku untuk kedua kekandaku yang telah tiada (Yusuf dan Latifah) - moga hari tuaku ini akan menjadikan aku lebih dewasa dan matang dalam kehidupan.  Terima kasih semua!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...