Rabu, 13 Mac 2013

CERITA IBU 1

Saya didatangi seorang ibu muda dengan mengendong anaknya kira-kira dua minggu lalu di bilik saya.  Seperti biasa, saya  menyambut kedatangan itu dengan hati terbuka.  Sambil mempersilakan dia duduk tangan saya segera pula menyantuni anak kecil yang dikendungnya.  Dari loghat tutur katanya, minda saya terus menangkap bahawa wanita di hadapan saya ini bukanlah orang tempatan.  Maksudnya bukanlah orang dari kawasan saya mengajar ini.

Selain bertanya khabar, bertanya nama saya juga memperkenalkan diri saya kepadanya.  Sebaik ternampak sedikit kekenduran pada wajahnya saya lantas bertanya;
"Sebenarnya apa yang saya boleh tolong puan.."
Tiba-tiba matanya berkaca.  Saya tahu ada yang ingin dikongsinya dengan saya. 

Itulah sebahagian cerita kira-kira dua minggu lalu.  Akhirnya sesi demi sesi saya lalui dengan anaknya.  Kerapkali saya menunggu di pintu pagar melihat dan menanti kehadiran anaknya ke sekolah.  Melihat apakah akan ada perubahan dari sikap dan tingkahlaku anak itu selepas menjalani beberapa sesi kaunseling tersebut.

Hari ini dan beberapa hari sejak kebelakangan ini saya diburu kekalutan.  Sebaik habis program pelajar bersama Puan Pengetua, saya ke pejabat mengambil surat yang diminitkan pihak pengurusan kepada saya.  Ketika menandatangani surat akaun terima, telefon saya tiba-tiba berdering.  Saya tidak pula mengambil masa yang lama.  Sebaik diangkat, sipemanggil memperkenalkan dirinya.  Cepat minda saya menangkap namun, keceriaan dari suaranya mengubah terus persepsi saya yang datang tiba-tiba.

"Terima kasih cikgu.  Alhamdulillah dah selesai semuanya.  Terima kasih atas bantuan cikgu"

Kenapa saya sendiri tidak tahu, air mata saya cepat pula bergenang.  Segera saya menyuruh ibu itu sujud syukur atas segala yang berlaku.  Sungguh, saya terasa puas dan sangat-sangat bersyukur kerana kemelut keluarga ini sudahpun berakhir.  Siapalah saya sebenarnya untuk menidakkan apa yang telah dijanjikan Allah untuk mereka.

Hanya satu yang saya minta moga Allah suburkan kasih sayang antara keluarga ini dan lembutkan hati anak-anak keluarga ini untuk saling berkasih-sayang sesama mereka.  Hanya kasih sayang sahaja yang bakal merapatkan jurang yang terpisah dan kekusutan yang semakin bernanah.  Saya sentiasa mendoakan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...