Rabu, 16 Mei 2012

HARI GURU - 16 MEI 2012

 Detik dan tarikh keramat ini datang lagi.  Terasa begitu cepat masa berlalu.  Setahun demi setahun  menginjak begitu cepat dan pantas.  Pada detik yang sama tahun-tahun lepas saya akan mencoretkan sesuatu di sini - berkaitan Hari Guru.   
Guru - insan yang begitu mulia.  Itu pandangan peribadi saya.  Saya sangat-sangat menyintai guru-guru saya.  Meskipun sekarang usia saya sudah melebihi 40 tahun.  Tanpa mereka saya tidak mungkin akan kenal tulis baca.  Tidak mungkin akan berada pada kedudukan seperti ini.  Begitu besar pengorbanan mereka.  Sebab itulah kita perlu menghormati para guru, menjaga perhubungan dengan mereka agar ilmu yang diajar akan mendapat berkat.  Guru bukan sahaja ingin membentuk pelajar menjadi insan cemerlang intelek namun, turut cemerlang jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah mereka.  Jadi tugas guru bukan berkisar kepada mengajar tetapi lebih daripada itu.
Tahun ini, saya diberi kepercayaan menguruskan hari guru.  Jika ditanya pada diri sebenarnya tahap kerisauan saya cukup tinggi apabila diberi kepercayaan sebegitu.  Dengan beberapa isu yang timbul, ada orang mengambil kesempatan menggunakan ruang tersebut untuk memburukkan diri.  Saya hanya berserah kepada Allah SWT agar perancangan ini akan bernoktahkan sesuatu yang positif.  Hanya untuk memberi ruang kepada para pelajar belajar mengendalikan majlis formal dan saya berterima kasih kepada barisan pengawas, PRS, Tingkatan 6 juga majlis ketua-ketua tingkatan.  Tanpa mereka, (sebenarnya sokongan dan kerja kuat mereka) sudah pasti apa yang direncanakan tidak dapat berlaku.  Apa pun, kekurangan (saya lebih suka melihat kepada keupayaan dan kejayaan) dalam mengendalikan majlis Sambutan Hari Guru 2012 adalah hasil kekuatan anak-anak ini.  Saya menaruh penuh kepercayaan bahawa mereka jika diberi tanggungjawab akan berupaya merealiasikan sesuatu dengan amat sempurna.  Saya cukup bangga dengan hasil yang mereka persembahkan pada Hari Guru 2012. 
 Bermula dengan acara padang - semua guru tidak kira siapa pun mereka sama-sama menjayakan acara sukaneka.  Dengan Bowling Buah Kelapa, Tuju Tin, Bawa Bola Ping Pong, Isi Air Dalam Botol, Pecah Belon, Semakin Jauh Semakin Sayang dan Kasut Bata - ternyata memberi kelegaan dan keseronokan.  Bukan sahaja kepada murid malahan guru-guru juga.  Jamuan yang dianjurkan oleh kelas-kelas ternyata tidak membosankan.  Diikuti pula perarakan masuk guru-guru ke dewan dengan diketuai Pn. Pengetua - sambutan pelajar diluar jangka, persembahan pentas, montaj dan lain-lain - semuanya menjadikan Hari Guru 2012 amat bermakna.
Terima kasih pada anak-anak saya, yang amat saya banggakan.  Kalianlah yang bakal mewarnai dunia suatu ketika nanti.  Saya yakin, kalian akan berjaya mengharungi kemelut dunia jika yang masalah sekecil itu sudah berjaya diatasi.  Salam kasih sayang buat semua.  Selamat Hari Guru.  Terima kasih cikgu - buat semua guru-guru saya walau di mana juga mereka berada - Cikgu Kornain, Cikgu Hajar, Cikgu Othman, Cikgu Tahir, Cikgu Rahinun, Cikgu Mat Husien, Cikgu Raja (Allahyarham), Cikgu Yusuf, Cikgu Hidzir, Cikgu Jalil, Cikgu Midah (Allahyarhamah) dan semuanya. Tanpa kalian siapalah saya. Saya Sayang  akan Cikgu Saya!!

2 ulasan:

  1. Tahniah kak jah kerana berjaya menguruskan hari yang sangat bermakna buat kami guru-guru smksb dgn jayanya. Walaupun saya tidak dpt bersama pd hari tersebut, tp keseronokannya tetap saya rasai melalui cerita rakan2 yg nampaknya cukup gembira dan teruja...Syabas utk k jah dan AJK nya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. cikgu yun : Terima kasih. Yang patut menerima ucapan ini adalah anak-anak kita - pelajar Ting. 6, Pengawas dan juga PRS. Merekalah yang bekerja keras untuk menjayakan Hari Guru tahun ini. Apa pun Kak Jah juga berterima kasih kepada pengurusan sekolah kerana memberi kepercayaan penuh untuk Kak Jah melontarkan idea.

      Padam

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...