Rabu, 25 April 2012

HARI ANUGERAH CEMERLANG SMKAK

Hari ini saya mengambil CRK semata-mata untuk meraikan anak bongsu saya Farah Izzati dalam majlis Hari Anugerah Cemeralng SMK Agama Kedah.  Sebenarnya agak terlewat saya dan suami sampai namun, tetamu khas tiba sebaik kaki saya dan suami melangkah masuk ke dewan besar yang sudah dipenuhi para waris.  Bersama-sama saya melangkah masuk ke dewan selain suami juga Pn. Jelipah; Guru Besar SK Hutan Kampong.  Kami datang beriringan kebetulan Pn. Jelipah turut sama meraikan anaknya yang berada dalam Tingkatan 1.

Jika saya ingin bercerita tentang 'kegahan' dan 'kehebatan' sambutan hari anugerah cemerlang ini rasanya sekolah saya SMK Sultanah Bahiyah jauh lebih hebat dan gah.  Yalah, setiap tahun di SMK Sultanah Bahiyah tetamu utama adalah Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Sultanah Kedah.  Tentulah 'lintok' dan 'gaya' sambutannya berbeza.  Namun, apa yang saya ingin ceritakan adalah saya rasa kekaguman saya dengan cara pengendalian majlis di SMKAK tahun ini.  Berbeza dengan sambutan yang sama tahun lepas - pengacara dan pembaca doa adalah guru-guru namun kali ini majlis Hari Anugerah Cemeralang SMKAK telah dikendalikan oleh anak-anak pelajar - dari bacaan doa hingga kepada pengacaraan majlis.  Jika saya diberi peluang memberi markah saya tidak akan lokek memberi markah penuh kepada ketiga-tiga anak pengacara yang begitu fasih dan lancar mengendalikan majlis dalam 3 bahasa - Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan juga Bahasa Inggeris!

Sebenarnya seperti kata Tuan Haji Saidin bin Bakar Tuan PPD Daerah Kota Setar - proses pendidikan boleh berlaku di mana-mana walaupun secara informal.  Melalui cara inilah watak, keperibadian dan ketrampilan diri pelajar dapat dibangunkan.  Maka rasanya, majlis di SMKAK pada hari ini patut diberi pujian dan boleh dikategorikan 5 Bintang.  Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pihak pengurusan sekolah yang diterajui oleh Pn. Hjh. Salmah (Pengetua) atas kesungguhan dan keberanian beliau mengubah dan seterusnya membina jati diri anak-anak pelajar di sekolah ini.  Keupayaan melahirkan pelajar yang berkemampuan berinteraksi dan berkomunikasi di hadapan khalayak merupakan satu 'kemenangan' dan 'hadiah' buat sekolah, bangsa dan negara. 

Saya berandaian bahawa anak-anak pelajar ini mampu pergi lebih jauh dan dapat mengembangkan potensi diri jika diberi peluang berkembang sesuai dengan peranan dan fitrah mereka.  Sudah sampai masanya kita membuka sebanyak mungkin ruang untuk anak-anak pelajar di mana-mana sekolah mengendalikan majlis-majlis besar bagi membolehkan mereka berhadapan dengan kemelut dunia luar sebelum melangkah ke alam kehidupan sebenar.  Sudah sampai juga masanya guru-guru memberi kepercayaan kepada mereka kerana merekalah anak-anak yang bakal memimpin negara suatu ketika kelak.


Sekali lagi tahniah buat semua warga SMKAK atas kejayaan ini dan tahniah untuk semua penerima anugerah tahun ini terutama untuk puteri bongsu saya - Farah Izzati.  Moga Allah SWT akan terus memberkati kehidupan anakanda saya pada tahun-tahun yang akan datang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...