Sabtu, 24 Mac 2012

PEKAN KATI

Jika saya bertanya pada orang tentu ramai yang kurang tahu di mana letaknya Pekan Kati. Ya lah, Kati hanya sebuah pekan kecil yang entah-entah tidak ada dalam capaian satelit. Namun sebagai anak yang dilahirkan dan dibesarkan di pekan ini, saya berbangga kerana menjadi warga Pekan Kati. Pekan kecil yang penuh dengan keharmonian dan kasih sayang.
Saya masih ingat, dulu-dulu ketika saya kecil berusia 7 tahun, saya di hantar bersekolah rendah di Pekan Kati. Bangunan sekolah rendah darjah 1 terletak betul-betul di tengah Pekan Kati. Bangunan sekolah itu bersebelahan dengan rumah Cikgu Zainah (kalau tidak silap saya itulah namanya - sudah lama Cikgu Zainah kembali ke rahmatullah). Tapi sekarang tapak yang dulunya menjadi bangunan sekolah sudah pun berubah. Namun rumah Cikgu Zainah masih utuh di situ walau pun cikgu saya itu sudah lama tiada.
Pekan Kati hanya sebuah pekan kecil. Dulu masa sekolah (rendah dan menengah) kami kerap singgah di Pekan Kati. Terutama waktu pulang dari sekolah. Sambil menunggu bas kami sempat singgah di Kedah Ah Ba, kedai Bala Krishnan dan juga kedai yang menjual ais kacang di situ (lupa pulak siapa nama tuan kedai itu). Seronoknya sebab kami sudah biasa dengan tuan punya kedai dan mereka juga turut mengenali kami termasuk ibu bapa walau pun jarak Kati dengan rumah agak jauh.
Sebenarnya banyak nostalgia yang tertinggal di pekan kecil ini. Kawan-kawan saya, dari sekolah rendah hingga menengah berasal dari pekan ini. Shida, Basha, Maizah, Mazailah, Zakiah, Hayati, dan ramai lagi adalah teman-teman suka duka ketika di sekolah. Kemudian datang kawan-kawan baru dari sekolah rendah berhampiran - Yati, Kamariah, Akma, Puteh, Maznah, Zukiah, Umi dan lain-lain. Termasuk teman-teman lelaki yang bijak dan pandai mengaji seperti Rauf, Hassan, Johari, Junaidi, Azizan, Hatta dan banyak lagi nama yang tidak dapat saya tuliskan. Kami membesar bersama-sama tanpa ada persengketaan. Seronok masa itu sehinggalah masing-masing di antara kami membawa haluan selepas tamat SPM. Ada yang menyambung pengajian ke tingkatan 6 dan tidak kurang juga yang terus ke menara gading. Masing-masing membawa haluan - meninggalkan Pekan Kati yang begitu banyak kenangan jika ingin dinukilkan.
Kini Pekan Kati seumpama sebuah pekan mati. Sebaik lebuhraya timur barat yang menghubungkan Kuala Kangsar, Lenggong dan Grik dibuka, Pekan Kati hanya dikunjungi penduduk setempat. Untuk ke Kuala Kangsar juga nampaknya penduduk Pekan Kati menghadapi sedikit masalah. Jika dulu ada bas 'red-yellow' yang singgah saban waktu, kini perkhidmatan itu tidak semeriah dahulu. Begitu juga bas yang melalui kampong Berala, Temong, Ribu dan Beluru - nampaknya bas henti-henti itu juga semakin 'malas' berfungsi. Jika ingin ke Kuala Kangsar dari Pekan Kati ada penduduk yang terpaksa menyewa kereta atau pergi sendiri.
Sebenarnya bukan itu sahaja yang berubah, rumah anak-anak yatim di atas bukit berhadapan dengan rumah Shida juga tidak semeriah pentadbirannya yang dahulu. Entah kenapa ketika balik kampong kali ini saya melihat rumah itu seperti sudah hilang seri. Banyak sebenarnya yang telah berubah di Pekan Kati. Bukan setakat bangunan malahan penduduknya juga. Sesekali saya amat teringin menyusuri Pekan Kati - menikmati 'pecal' di gerai Kak Nor seperti mana kami menikmatinya sebaik habis peperiksaan SPM puluhan tahun dahulu.
Pernah sekali keharmonian Pekan Kati tergugat tiba-tiba beberapa tahun lalu. Itu pun ketika berlaku peristiwa Al Maunah yang membawa Kati ke seluruh negara. Gempar seketika dan kemudian Kati balik kepada kehidupannya yang sediakala. Tenang, damai dan penuh keharmonian. Namun saya sentiasa berharap agar Pekan Kati terus berkembang, aman dan damai tanpa sebarang gangguan hasil kerancakan pertumbuhan pembangunan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...