Selasa, 27 Mac 2012

Penyakit Mental

Sejak kebelakangan ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai kejadian trajis akibat tekanan perasaan dan emosi baik di kalangan wanita yang bergelar ibu mahupun di kalangan lelaki sebagai seorang anak, bapa juga anggota masyarakat. Tentunya masih segar di ingatan erhubung dengan kematian Muhammad Alif Hakimi, 6, dan Muhammad Alif Hazimi, 2, yang mati dibunuh oleh ibunya sendiri. Kejadian seumpama itu bukan yang pertama dan yang terakhir dalam masyarakat kita. Belumpun reda kejadian yang menimpa dua beradik itu, kita sekali lagi dikejutkan dengan satu lagi insiden terbaru iaitu seorang bayi telah dijatuhkan ke dalam air oleh bapa saudaranya sendiri. Sebenarnya jika diteliti secara terperinci banyak lagi kejadian-kejadian lain yang meninggalkan kesan begitu mendalam dalam jiwa kemanusiaan kita yang normal akibat kecelaruan psikologikal yang dihadapi oleh individu yang lain.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (dalam laman web infosihat.gov.my diakses pada 30 Julai 2007), prevalen pesakit mental dan masalah mental di kalangan orang dewasa adalah 10.7% di mana golongan wanita mencatatkan 1.5 kali kadar prevalen lebih tinggi berbanding dengan lelaki dewasa. Prevalen penyakit mental dan masalah mental di kalangan warga tua adalah 26.0 peratus, manakala di kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 15.5 peratus. Perangkaan dan peratusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini membuktikan bahawa penyakit mental dan masalah mental menjadi satu wabak yang jika tidak ditangani dengan bijak akan menjadi penyakit yang kronik.

Kajian membuktikan bahawa seseorang individu yang mempunyai harga diri yang tinggi, boleh berkomunikasi secara bijak dan efektif, mendapat sokongan sosial yang kuat daripada orang-orang yang signifikan dengannya akan mempunyai kemampuan untuk mempromosikan kesihatan mentalnya dengan baik. Sebenarnya kesihatan mental yang kurang dalam diri seseorang individu akan menghasilkan impak negatif sama ada kepada individu itu sendiri, keluarganya juga masyarakat di sekeliling individu tersebut.

Seperti yang semua ketahui, kesihatan adalah satu anugerah Allah SWT yang amat berharga kepada setiap individu. Oleh itu,tahap kesihatan seseorang harus diberikan perhatian dan penjagaan sebaik mungkin. Menurut Syed Hassan Al-Mashoor dan Raihanah Abdullah (1993), kesihatan merangkumi tiga aspek penting iaitu kesihatan fizikal atau jasmani, kesihatan mental atau rohani dan kesihatan sosial. Ini bermakna individu yang ingin mencapai tahap kesihatan optimum, haruslah sihat dalam ketiga-tiga aspek ini. Buktinya, individu yang mengalami gangguan emosi atau mental akan memberikan kesan kepada aspek fizikalnya. Begitu jugalah sebaliknya.

Dewasa ini penyakit mental sudah menjadi suatu senario serius yang membelenggu kehidupan masyarakat moden pasca merdeka. Gelaran “orang gila”, “orang sewel”, “kepala tidak betul”,“mereng”, “tiga suku” dan pelbagai nama lain yang sering dikaitkan dengan mereka yang mempunyai masalah mental. Malah Bandar Tampoi di Johor dan Tanjung Rambutan di Perak terlalu sinomim sebagai tempat orang sakit mental. Manakala menurut sumber internet berkaitan penyakit mental ini http://www.geocities.com/HotSpring/Oasis/5150/azh.html, Alexander dan Selesnick dalam buku mereka “History of Psychiatry” pada tahun 1966 menyatakan pesakit-pesakit mental wujud untuk ditakuti, dimarahi, diketawakan dan disiksa. Sayangnya hampir 30 tahun kemudian sikap manusia terhadap pesakit mental masih tidak berubah. Inilah pandangan negatif yang dilemparkan oleh masyarakat terhadap mereka yang mengalami masalah mental ini. Pada persepsi kanak-kanak pula, orang yang berpenyakit mental ini perlu dijauhi kerana mereka telah diserapkan pengetahuan yang salah bahawa ‘orang gila’ adalah berbahaya.
Stigma masyarakat terhadap penyakit mental kadang kala menyebabkan ahli keluarga mengalami tekanan. Ini kerana akibat dari salah faham mengenai penyakit mental, pesakit dan keluarga mereka kadang-kadang dicemuh dan disisih dalam masyarakat. Situasi inilah yang menyebabkan kebanyakan ahli keluarga rasa malu untuk menerima ketentuan bahawa ada ahli keluarga yang menghidapi penyakit mental. Stigma ini berlaku disebabkan kurangnya kefahaman, pengetahuaan dan salah anggapan masyarakat terhadap penyakit dan gangguan yang dialami mereka. Menurut Wagner dan Tan dalam Mahmood Nazar Mohamed (2005), masyarakat kita sering menghubungkaitkan penyakit mental dengan kuasa di luar kawalan manusia seperti hantu, jin, syaitan dan makhluk-makhluk halus. Maka, seorang bomoh atau dukun dijadikan pakar rujuk mereka yang ‘dirasuk’ ini.
Penyakit mental adalah istilah umum yang merujuk kepada sekumpulan penyakit-penyakit mental. Individu yang mendapat penyakit mental akan mengalami gangguan fungsi mentalnya. Penyakit mental ini boleh berbeza dari segi tahap keterukannya, jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian. Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulang-ulang di sepanjang hayat seseorang. Kebanyakan pengidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan. Persoalannya mengapakah penyakit mental ini terjadi? Jika ditinjau pendapat sesetengah pihak pada zaman dahulu, penyakit mental atau sakit otak adalah berpunca daripada roh jahat yang terdapat di dalam otak seseorang individu. Namun begitu menurut Alexander FG, Selesnick S.T (dalam geocities.com diakses pada 21 Ogos 2007), penyakit mental merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh faktor genetik atau keturunan. Pesakit-pesakit mental selalunya amat ditakuti, sering dimarahi, diketawakan, serta disiksa sama ada oleh kaum keluarga mahupun oleh anggota masyarakat.

Oleh kerana pandangan anggota keluarga dan masyarakat terhadap pesakit-pesakit mental sebagai negatif maka mereka selalunya dikurung di tempat-tempat tertentu untuk diasingkan daripada masyarakat selain menghindarkan perasaan malu di kalangan ahli keluarga. Manakala menurut Sigmund Freud (1882), manusia banyak menyimpan ingatan dan perasaan tersembunyi dalam otak mereka. Ingatan dan perasan yang buruk akan tertanam jauh di dalam otaknya dan biasanya ingatan serta perasaan itu tidak dapat diingati. Ini merupakan salah satu punca mengapa seseorang itu kemudiannya mendapat penyakit otak atau pun penyakit mental.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...