Khamis, 22 Mac 2012

Kesabaran

Barangkali kita semua pernah terkandas dalam kesesakan jalan.  Hingga ada yang membunyikan 'hon' tanpa henti.  Atau yang memintas kenderaan lain lantaran tidak sabar menunggu begitu lama.  Tidak kurang juga yang marah-marah kerana 'seksa' dan 'sakit'nya menunggu.  Atau barangkali ada juga yang balik ke rumah marah-marah.  Membebel sepanjang hari dengan rasa kurang selesa.  Malahan ada yang selera makannya terus berkurangan atau makan tidak cukup pinggan!  Lantaran rasa marah dan kesabarannya semakin hilang.

 Demikian situasi apabila minda kita sedikit tergugat.  Hati menjadi tidak tenang malahan jantung ketika itu bergolak kencang.   Kesabaran adalah merupakan ketenangan yang datang dari hati.  Kesabaran bukan boleh dilahirkan tiba-tiba tetapi boleh dibentuk dan dipelihara.  Dijaga dan dibelai agar dapat terus berkembang menjadi nadi sebuah kehidupan.  Menanam rasa sabar dalam diri memerlukan rasa  luhur yang lahir dari hati dan bukan dibuat-buat kerana ingin menunjuk-nunjuk.  Sekiranya rasa sabar itu hanya untuk ditunjukkan kepada orang lain maka, lama kelamaan ia akan membarah, membengkak dan menanah lalu menghasilkan sebuah tragedi - yang mungkin meledak sehingga timbulnya sebuah konflik.

Kita barangkali biasa melihat, menonton atau barangkali juga membaca - bagaimana seorang ibu yang penyayang tiba-tiba bertukar garang.  Atau seorang guru yang prihatin tiba-tiba menimbulkan kegemparan - mencederakan pelajar.  Juga seorang anak tiba-tiba mengamuk - mengugut dan membunuh.  Persoalannya mengapakah semua ini tiba-tiba meletus sedangkan sebelumnya pokok tidak langsung bergoyang?  Sepintas lalu apabila kita melihat kepada setiap insiden yang berlaku semuanya berpunca daripada tahap kesabaran yang semakin hilang.  Manusia semakin terjebak dengan konflik kehidupan yang menuntut kita berperanan serta berfungsi dalam pelbagai situasi.  Malahan perlu pula memenuhi pelbagai tanggungjawab dalam apa juga cara dan rasa.  Setiap peranan dan tanggungjawab itu sentiasa meminta hak-hak mereka tanpa memeikirkan kekuatan dan kemampuan setiap antara kita.  

Seandainya kekuatan diri tidak disemai dengan sejuta kesabaran pastinya pelbagai isu yang diutarakan di atas akan sentiasa berulang.  Malahan mungkin menjadi lebih kronik kerana ramai diantara kita tidak dapat meluahkan apa yang dirasa.  Sebenarnya sabar itu satu perkataan yang cukup ringkas namun mempunyai impak yang cukup besar kepada setiap kita.  Tanpa adanya sifat sabar itu kita akan sentiasa berada dalam keadaan keluh-kesah, resah dan gundah.  Sabar dapat 'memandu' kita berada dalam keadaan aman dan bahagia - malahan tidak sentiasa berprasangka.  Kerana; 

  1. Dengan sifat sabar ini, seorang guru mampu terus menjadi seorang guru walaupun berhadapan dengan ragam pelajar yang bermacam-macam karenah.

  2. Dengan sifat sabar ini, seorang ibu mampu membesarkan anak-anak yang ramai walaupun ketika kecil, anak-anak biasanya sangat nakal dan tidak mendengar kata kerana mereka masih tidak mengerti kata-kata ibunya.

  3. Dengan sifat sabar ini, hubungan persahabatan terus berkekalan walaupun kadang-kadang dalam bersahabat, kita selalu diuji dengan sikap rakan yang mengundang rasa kecil hati.

  4. Dengan sifat sabar ini, ramai manusia telah berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya melalui pelbagai kesusahan ketika menuntut ilmu.

  5. Dengan sifat sabar ini juga, suami dan isteri terus bahagia menjalani kehidupan walaupun setiap pasangan biasanya akan diuji sepanjang berada di alam rumah tangga. Kata orang, 'sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'.

Justeru marilah kita menanam rasa sabar kerana kesabaran itu mengandungi nikmat yang tidak dapat diucap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...