Rabu, 5 Oktober 2011

DARI HARI KE HARI

Dari hari ke hari, rasa keseronokan itu sebenarnya sudah hilang. Tiada lagi gelak tawa yang dulunya kerap mengisi kekalutan dalam bekerja. Malah tegur sapa juga sudah tidak semeriah dan semesra dulu. Yang tinggal kini hanyalah sisa tanggungjawab. Yang perlu dilunaskan walau dalam apa juga situasi.

Sebenarnya jika ditanya pada diri – aku sudah puas mencari. Namun pencarian itu masih belum ternoktah. Aku sebenarnya tidak pasti mengapa. Malah di mana silapnya. Kadang-kadang keadaan ini benar-benar melunturkan semangat kerjaku. Malah aku dapat rasakan momentum aku semakin berkurangan.

Sesekali aku bertanya diri – semakin tidak profesionalkah aku dalam menangani setiap kemelut yang datang? Aku ingin bertindakbalas secara positif. Malah berfikir juga secara positif. Bukan meletakkan kesalahan membabi buta sehingga tidak terlihat sebarang kebaikan bagi pihak yang lain. Namun, hakikat kehidupan harus aku akui. Bahawa kita tidak selalunya mendapat apa yang kita impikan. Malah yang tidak pernah terlinatas di fikiran itulah yang selalunya kita perolehi.

Cuma sesekali aku merasakan perlu untuk bertegas. Menyatakan apa kemahuan dan kehendakku. Biar aku dapat meneruskan setiap kerja buat dengan langkah penuh bergaya. Bukan dalam keadaan akal dan fikiran terus dipenjara. Dibelenggu dan sentiasa menyimpan syak-wasangka. Bukan aku orangnya begitu. Aku ingin terus berjalan. Juga kadang-kadang berlari. Atau turut melompat jika diberi peluang. Pun semua itu perlu aku lakukan tanpa menguris malah menyinggung perasaan dan jiwa orang-orang lain. Yang begitu hampir dan dekat dengan aku.

Apa guna jika aku sampai ke puncak jika di kiri kanan jalanku akan ada hati-hati yang terguris dan terluka. Seperti hari ini – akukah yang bersalah mengundang kepada suatu ketegangan?

1 ulasan:

  1. Jah, Tuhan menentukan segalanya, terkadang teringat cerita ustaz pada malam qiamullail tingkatn 5 hari tu, kita mengakui itulah yang terbaik, walaupun sebenarnya kita tidak diperlihatkan lagi kebaikan yang Tuhan saja yang mengetahuinya, sehinggalah Tuhan menunjukkan kebenaran yang sebenar kepada kita, baru kita faham akan rahmat sesuatu ketentuan Tuhan kepada kita. Sama-samalah kita bersabar, marilah kita kuatkan semangat.

    BalasPadam

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...