Ahad, 13 Mac 2011

Pertemuan Luar Jangka

Jika diikutkan badan yang agak keletihan, saya rasanya mahu sahaja bersenang-senang berbaring di atas tilam sambil membaca sehelai dua novel di pagi Jumaat 11 Mac 2011. Namun, kepulangan anak-anak dari asrama menuntut saya untuk mengetepikan rasa letih dan keinginan untuk bermalas-malas. Mahu tidak mahu sebaik menghantar anak kedua saya menghadiri kelas MUET, saya terus ke pasar mencari barangan basah untuk dimasak. Sebenarnya sepanjang minggu lepas, saya tidak mempunyai sebarang stok ikan, ayam atau sayuran. Semuanya kerana kelewatan saya pulang ke rumah dan rasa malas saya untuk menyediakan makanan.

Seusai membeli ikan dan sedikit sayur, saya menghampiri suami yang menunggu di ruang hadapan pasar. Sedang menikmati roti canai dan secangkir kopi panas. Mengambil raung di sebelah, secangkir air yang sememangnya menjadi kegemaran saya dudah di’order’. Saya mengambil keputusan untuk duduk sambil mata memandang ke hadapan. Benar-benar di hadapan saya. Yang duduk di meja sama. Barangkali saya terkedu atau terpegun. Seorang guru lama. Yang tentunya saya kenal walaupun saya tidak pernah berkhidmat di bawah seliaannya. Namu, nama beliau begitu gah di bibir guru-guru lantaran ‘kehebatan’nya menerajui para guru di bawah pentadbirannya.

Berbual dengan seorang tokoh yang hebat. Berkongsi idea dan maklumat menjadikan pagi saya bergerak begitu cepat. Pemimpin lama yang penuh dengan ilmu dan pastinya dedikasi kepada anak buah dan para pelajar. Menurunkan banyak ilmu dalam pertemuan yang begitu singkat. Kepimpinan, keterbukaan, kepercayaan dan penerimaan menjadikan ruang litup kehidupan seorang guru sangat bererti di mata semua orang baik guru-guru, para pekarja mahupun pelajar. Apabila berhadapan dengan tokoh ini, saya bagai melihat ke dalam diri malahan dunia pendidikan itu sendiri. Banyak sungguh ruang-ruang kosong yang perlu diisi untuk menyuntik kemenjadian seorang guru dan pelajar dengan satu pendekatan walaupun tegas tapi penuh kasih sayang. Sebaik ingin meninggalkan meja dan kerusi yang agak panas lantaran lamanya masa yang saya dan suami ambil untuk mendengar pelbagai idea, beliau sempat menasihati saya dengan satu kata-kata walau pun terasa mudah tetapi begitu tinggi maknanya, “ Berilah mereka makan apabila tiba waktunya; jangan biarkan waktu itu terlepas kerana makanan tersebut sudah hilang sedapnya!!”

Terima kasih Cikgu, barangkali waktu itu tidak akan berulang untuk kesekian kalinya.

1 ulasan:

  1. Suka saya, dapat menikmati tulisan yang sangat manis. Tahnian dan teruskan

    BalasPadam

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...