Selasa, 20 April 2010

Alangkah Indahnya Kejayaan

Hari ini dan semalam saya terus didatangi anak-anak pelajar yang bakal menjadi mahasiswa dalam masa terdekat ini. Apabila melihat mereka yang datang tanpa mengenal putus asa serta semangat berkobar-kobar, saya teringat ketika saya berusia sebaya mereka suatu ketika dulu. Saya juga pernah melalui detik-detik manis apabila dipanggil menghadiri temuduga untuk melanjutkan pelajaran. Malah saya juga pernah menduduki temuduga sama ada berbentuk lisan mahupun bertulis. Sayangnya meskipun saya berjaya mendapat tempat di IPTA ketika itu, saya memilih ke tingkatan 6 dan seterusnya ke maktab perguruan. Semuanya kerana kemiskinan.

Tapi semuanya sudah lama berlalu. Saya sudah menjadi guru sejak 1989 sehingga kini. Berkat usaha gigih serta motivasi diri yang tinggi ditambah dengan semangat yang diberi oleh suami, saya juga berjaya melanjutkan pelajaran dan menggenggam ijazah kelas pertama dalam bidang bimbingan dan kaunseling. Saya merasakan kejayaan yang saya kecapi adalah detik paling manis walaupun ketika ingin menghabiskan pengajian saya kehilangan 2 insan yang saya sayangi iaitu ibu saya Aminah dan kekanda saya Latifah. Enam bulan selepas itu saya kehilangan seorang lagi insan yang memberi erti dalam kehidupan saya iaitu ayahanda saya Mahmud.

Namun, semua itu tidak pernah melemahkan semangat saya. Kawan-kawan di keliling saya ketika itu banyak menyuntik semangat sehingga membolehkan saya mengecapi kejayaan demi kejayaan. Dengan anugerah dekan saban semester, menjadikan impian saya semakin menjadi kenyataan. Saya amat berterima kasih kepad suami saya Mohammad Sobri serta putera saya Mawardi dan puteri-puteri saya Farhana, Fatin dan Farah yang menjadi sumber kekuatan utama saya. Tanpa pengorbanan mereka terutama suami saya yang menanggung kos pengajian saya sudah pasti saya tidak akan berada di kemuncak ketika ini.

Alhamdulillah, kejayaan-kejayaan yang saya nikmati merupakan saat-saat paling manis dan saya berharap agar anak-anak saya Mawardi, Farhana, Fatin dan Farah akan mencipta kejayaan demi kejayaan dalam kehidupan mereka sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Begitu juga dengan anak-anak didik saya yang sekarang sedang menanti peluang melanjutkan pelajaran, semoga kejayaan menjadi milik anda. Sesungguhnya apabila kita berjaya, itulah saat paling indah untuk kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...