Selasa, 25 Ogos 2009

Semangat Ramadan Menjana Kecemerlangan Di Dunia dan Akhirat

Assalamualaikum wbh dan salam sejahtera.
Yang saya hormati pengetua, penolong-penolong kanan serta seluruh warga SMK Sultanah Bahiyah sekalian. Alhamdulillah, syukur kerana kini tibalah giliran saya Pn. Halijah binti Mahmud dan Pn. Zaiton bt. Mansor untuk melaksanakan tugasan sebagai guru bertugas sepanjang minggu ini. Untuk itu izinkan saya untuk berkongsi sedikit idea berhubung dengan tema kita pada minggu ini – “Semangat Ramadan Menjana Kecemerlangan di Dunia dan Akhirat”.

Para pelajar yang dikasihi sekalian,
Ramadhan bakal kembali mengungguli carta ibadah setiap Muslim yang menanti-nantikannya dalam tempoh enam hari lagi. Penantian sebuah bulan yang dijanjikan dengan lautan rahmat , curahan keberkatan dan anugerah sejuta keampunan adalah detik-detik penuh bermakna kepada setiap insan yang dapat memahami dan mengenali hakikat diri yang senantiasa lemah, banyak dosa dan amat berhajat kepada Tuhannya.

Jika kita mudah teruja dan cepat bergegas ke pasaraya-pasaraya atau gedung-gegung membeli belah kerana terliur dan tergiur dengan ‘sale’ atau tawaran-tawaran hebatnya; sesungguhnya Ramadhan bakal menjelma dengan tawaran yang sejuta kali lebih mengkagumkan! Ramadhan bakal tiba dengan beraneka kelebihan dan keistimewaan paling hebat yang mesti kita rebut! Jangan sampai terlepas!! Dan usah ketinggalan!!

Ibadah sunat yang dilaksanakan bakal diberi ganjaran berganda menyamai ibadah wajib manakala ibadah wajib pula dilipatgandakan sehingga melebihi tujuh puluh kali bahkan lebih. Satu malam bernama Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan itu adalah anugerah menyamai ibadah seribu bulan!

Inilah masanya kita mula melangkah dengan penuh ikhlas mencari reda dan rahmatNya dengan berjinak dan menekuni ibadah solat - bertarawih & bertahajud dll - sedekah, berselawat , beristighfar. Basahkan lidah kita dengan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir – Subhanalllah – walhamdulillah – wala-ilahaillalah – walla –huakbar.

Memperuntukkan masa buat mentartil al-quran saban hari dan malammya. Membuka ruang-ruang hati yang terkesan dengan cahaya iman lalu menyuluh nilai-nilai kebaikan sesama insan – ringankan tulang anda buat menghulur bantuan, bocorkan kocek anda untuk menjadi dermawan.

Berbuat baiklah sesama manusia meskipun berlainan agama dan warna kulit dan berbeza budaya hidupnya. Tauladanilah manusia lain dengan kebenaran dan keadilan. Demikianlah semangat dan toleransi yang ditiupkan oleh Ramadhan Karim!

Sungguh! Ramadhan menjadi simbol penuh kesyahduan buat insan seluruh alam. Dimana-mana juga kita berbuka puasa dengan penuh kesyukuran diatas nikmat yang tidak ternilaikan. Kita sadar dan insaf kepada insan-insan lain yang kurang bernasib baik. Kita juga akan segera bangun bersahur kerana detik itu penuh barakah biar dengan seteguk air cuma. Kita mahu menjadi hambaNya. Kita mahu pasrah dibawah lembayung taufik dan hidayahNya.

Kita cuba mendidik diri dan hati kita dengan nilai keinsanan yang kian terhakis dalam abad moden ini. Nilai-nilai yang semakin terlerai itu bakal terbina dengan dengan motivasi & acuan Ramadhan. Satu bulan tarbiyyah dan latihan yang bakal menempa mercutanda taqwa.

Sebuah nilai Taqwa yang membina dan mengembangkan kemuliaan. Itulah kemuliaan insan muslim yang seharusnya menjadi umat unggul yang dilahirkan sebagai model dan icon kepada umat manusia seluruhnya. Inilah satu satu asas kecemerlangan yang memperkasa umat Islam didunia dan InsyaAllah nantinya akan dijemput lalu dipersilakan menduduki singgahsana syurga Allah yang penuh kenikmatan diakhirat kelak.

Secara umumnya terdapat empat faktor pengajaran yang boleh mengubah dan membentuk diri kita menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat hasil daripada pendidikan Ramadan iaitu:

Pertama : Semakin tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Maksudnya ialah ketaatan di sepanjang Ramadan mendorong kita untuk tetap melakukan setiap aspek pekerjaan seharian mematuhi garis panduan dan kehendak syarak di samping mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Kedua : Mensyukuri nikmat makanan dan minuman. Ramadan juga menjadikan kita umat yang tahu bersyukur atas nikmat rezeki makan dan minum. Dengan nikmat ini kita rajin beribadah, banyak bersedekah dan suka menghulurkan bantuan kepada golongan yang lemah.

Ketiga : Tabah hati dalam menghadapi pelbagai ujian, cabaran dan dugaan. Asas penting untuk memperoleh sifat ini ialah sifat sabar sepanjang Ramadan. Sifat sabar tersebut telah meningkatkan mutu ibadah, akhlak terpuji, semangat tolong menolong dalam perkara kebaikan, melahirkan pemimpin yang berkualiti, pekerja yang produktif dan seumpamanya.

Keempat : Ketekunan dalam mengerjakan ibadah. Sifat tekun ini datangnya daripada kesungguhan kita melakukan solat taraweh dan bertadarus al-Qur’an. Natijah daripada amalan-amalan tersebut mampu melahirkan modal insan yang bertanggungjawab, adil, berintegriti tinggi, amanah dan mempunyai Haibah dalam apa jua lapangan yang diamanahkan kelak.

Menurut Imam
Abu Hamid al-Ghazali puasa boleh dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu;


1. Puasanya orang awam : menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
2. Puasanya orang khusus : turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk
dosa.
3. Puasanya orang istimewa, super khusus: turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan
Pembahagian di atas memberikan umat Islam ruang untuk berfikir dan menelaah tingkat manakah mereka berada.
Akhir kata, sempena dengan kedatangan Ramadan yang berkat ini, saya menyeru kepada para pelajar agar dapat mengambil peluang untuk mendidik nafsu dan membersihkan jiwa daripada kekotoran dan dosa agar istiqamah melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan tegahan-Nya. Bersamalah kita meningkatkan azam untuk menjadikan Ramadan kali ini sebagai medan mempertingkatkan kualiti modal insan dan kuantiti ibadah kita kepada Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...