Isnin, 14 September 2020

MERAUT CABARAN

Bukan sesuatu yang luarbiasa dia berada dalam lingkungan sebegitu. Memanglah dia semacam sudah terbiasa dengan suasana rencam kota yang menuntut pergerakan pantas dan berencana. Dua tahun setengah di tengah-tengah kota metropolitan ibu negara sudah cukup menjadikannya hampir sebati dengan makna berdikari. Laju tetapi hati-hati. Cepat dan bijak mengatur rancangan harian, mingguan juga bulanan. Sudah hampir terbiasa dia berubah dengan budaya kota. Lalu terikut-ikut dengan rentak yang terjadi dengan pergerakan aktiviti dan peristiwa.

Namun takdir kehidupan adalah ketentuan Ilahi. Usia remaja di penghujung dua puluh dua memanglah mekar dan menggoda. Cinta berputik bahkan adakalanya berfatamorgana. Kasih berbunga segar. Menguntum mekar. Sukma bersalut kasih dan cinta. Tiada noktah yang lebih sempurna melainkan ikatan perkahwinan. Dan peristiwa itulah yang kemudiannya banyak mengubah senario hidup dan kerjayanya juga.

Suasana perkampungan di sekolah barunya di negeri Kedah itu tidak ada sesuatu yang istimewa kepada dirinya. Armiza pun berasal dari kampung. Macam juga kampung-kampung di sekitar sekolah yang dia baru ditukarkan ini. Cuma yang agak berbeza hanyalah sawah padi. Terbentang di sana-sini. Sedangkan dia dibesarkan di daerah kebun-kebun getah di Kuala Kangsar.

Di mana pun tempat bertugas bukan perkara penting. Bumi Tuhan yang luas ini menjanjikan rezeki kepada sesiapa yang berhajat dan berusaha. Jodohnya dengan orang Kedah telah ditentukan dalam suratan Ilahi. Armiza bertukar ke Kedah kerana mengikut suami. Sekolah Kebangsaan Jabi ini bukannya berbeza sangat dengan sekolah rendahnya sewaktu memulakan pengajian awal di daerah Kati dulu. Tapi, kalau dengan Sekolah Kebangsan Jalan Batu di tengah-tengah Kuala Lumpur yang dia tinggalkan itu, sekolah baru ini sukar sekali hendak ditemukan persamaannya.

“Kutron Nada tu, nampak macam ada potensi”. Bersahaja bunyinya. Hendak dikatakan soalan pun tidak juga. Ustazah Amilah mengangguk-angguk. Mungkin bersetuju. Cikgu Mokhtar dan Cikgu Azwan macam tidak dengar saja. Armiza tahu. Kenyataan itu sengaja dilontarkannya untuk mendapat respon awal. Sebenarnya, baru minggu kedua dia di Sekolah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan yang diletakkan di bawah penyeliaan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jabi. Cuma yang Armiza dapat perhatikan gelagat Cikgu Salmah yang tiba-tiba bergegas bangun begitu saja meninggalkan bilik guru. “Mungkin ada urusan lain,” bisik hati Armiza. Ada dua puluh tiga orang murid semuanya. Semuanya rabun dan buta. Sebuah asrama dengan tiga orang petugas khusus untuk mereka. Sebenarnya bukan mudah berhadapan dengan murid-murid cacat sebegini. Namun pengalaman mengajar di Kuala Lumpur banyak memberi pendedahan kepada Armiza.

Dia bukan guru terlatih untuk program sebegitu. Bahkan bidang pengkhususan semasa di Maktab Perguruan Mohd. Khalid Johor Bahru dulu pun tiada kaitan langsung. Cuma takdir dan suratan telah membawa Armiza menjenguk ke dunia pendidikan yang dia sendiri tidak pernah membayangkannya. Dua tahun lebih dia di Kuala Lumpur. Mengajar kanak-kanak yang sama. Armiza seperti mendapat minat baru dengan bidang tersebut. Asyik dan tenggelam dalam tanggungjawab baru. Mencabar tetapi cukup memberi kesan kepada emosi dan psikologinya. Tambahan pula tujuannya sama. Membantu merealisasikan pendidikan seimbang dan berguna kepada insan-insan yang serba kekurangan itu.

“Cikgu Armiza, saya rasa bersemangat dengan cikgu. Saya suka sangat kalau cikgu dapat latih budak-budak ni... Bagi kemahiran pada mereka,” Ustazah Amilah yang berusia lingkungan 50-an itu meluahkan harapannya sewaktu masa rehat di kantin pagi itu. Guru Besar juga pernah meluahkan suara yang sama sewaktu Armiza mula-mula melapor diri dulu. Katanya prestasi akademik murid-murid khas ini memang tidak dapat diharapkan jika mengikut unjuran tahun-tahun lepas. Cuma program-program kemahiran atau ko-korikulum boleh diperkemaskan supaya mereka boleh melibatkan diri.

Teruja juga Armiza dengan pengharapan yang dipikulkan ke bahunya itu. Memang itu juga yang menjadi cita-citanya. Kalau di Kuala Lumpur boleh, mengapa tidak di sini? Dia ingin melihat kejayaan dan membuat sedikit kejutan kepada anak-anak kampung yang cacat dan susah ini. Armiza ingin memulakan tindakan untuk melakukan perubahan. Dia pernah buktikan sewaktu di ibukota dulu. Tetapi di sana ibubapa dan waris adalah mereka yang berpendidikan bahkan ada yang berkerjaya tinggi. Laluan untuknya membuat perubahan ternyata tidak begitu sukar. Di sini cabarannya memerlukan kesabaran dan komitmen yang lebih barangkali.

“Baru masuk dah nak memandai-mandai.” Tajam dan sinis. Tersentak Armiza pagi itu sewaktu mengumpulkan murid untuk aktiviti jasmani. Sindiran itu jelas dari mulut cikgu Salmah yang berjalan menuju bilik guru. Seperti ditujukan kepada cikgu Azwan yang berada tidak berapa jauh di hadapan. Perlahan tetapi memang jelas. Terasa sangat sembilunya.

Cabaran ternyata bermula. Memang dari awal lagi cikgu Salmah semacam tidak suka dengan kehadirannya. Armiza pernah juga menduga-duga hal itu. Tetapi dibuangnya jauh-jauh. Lagipun tidak elok membuat tuduhan tanpa sebarang bukti. Selalu juga dia menegur dan tersenyum dengan cikgu Salmah. Namun sapaan dan senyumannya jarang berbalas. Walaupun ada persoalan yang tidak berjawab, Armiza tidak suka memanjangkan hal-hal sebegitu. Biarkanlah. Kebenaran akan terserlah juga jika kita berteguh dengannya. Dia utuh dengan prinsipnya.

Armiza sentiasa bersedia merakam semua aktiviti murid-murid dengan kamera kepunyaannya. Dia tahu semua bukti aktiviti kecerdasan dan kecergasan itu paling penting untuknya melakukan pemantauan dan penambahbaikan. Kutron Nada, murid tahun lima itu memang berbakat. Armiza seperti sudah mendapat satu kepastian bahawa muridnya yang satu ini boleh pergi lebih jauh dari lokasinya di sini. Armiza telah memulakannya. Itu yang pasti. Murid-murid buta di situ pun seperti seronok sangat menghadapi kehidupan harian mereka. Ustazah Amilah banyak memberi sokongan. Sesekali cikgu Azwan dan cikgu Mokhtar bersikap ringan tulang. Banyak perkara berjalan lancar. Dalam masa dua bulan, lebih separuh murid sudah boleh menulis dan membaca braille. Sebelum ini hanya ada beberapa orang saja. Di padang, mereka seperti tidak pernah puas dengan aktiviti dan gaya permainan yang baru dan pelbagai.

“Sebenarnya, murid kita ni banyak bakat terpendam, cikgu. Kalau kita cungkil bakat mereka tentu banyak keistimewaan yang terserlah”. Armiza pernah mengajukan pandangannya. Cikgu Mokhtar selamba. Sekadar mengangguk-angguk kecil. Sudah lima tahun cikgu Mokhtar di situ. Dia sudah mengajar murid-murid buta dengan kaedah dan strategi yang dia pelajari. Tapi apalah sangatnya kebolehan mereka. Kalau pandai pun dalam akademik, sejauh mana mereka boleh pergi. Ada yang buta teruk. Buta biasa. Rabun. Cukuplah boleh kira 1,2,3. Bukannya hendak ke mana.

Ustazah Amilah ada pendirian yang berbeza. “Miza, memang betul kata hang. Budak-budak ni memang ada kelebihan. Depa ni mudah hafal. Ada yang senang faham. Terang hati perut.” Ustazah Amilah selalu berbincang dengan Armiza dengan loghat utaranya yang pekat. Dialah yang mengajar mereka tentang agama. Dan itulah kemampuan yang dia boleh sumbangkan. “Ustazah, boleh ke kita buat Quran Braille untuk budak-budak kita ni?” soal Armiza. Ustazah Amilah diam. Macam ada yang difikirkannya. Rupanya, diam Ustazah Amilah diam berisi. Beberapa bulan selepas itu, sebuah al-Quran Braille berjaya dihasilkannya. Bangga sungguh Guru Besar dengan perkembangan terbaru itu.

“Apa yang Armiza tu nak buat! Menyusahkan kita saja! Dulu tak ada pun kita teruk-teruk macam ni. Nak kena buat tulah. Nilah. Alah! Kerja patut padan dahlah. Budak-budak tu buta. Bukannya boleh belajar sangat. Kalau boleh urus diri sendiri pun dah cukup bagus!” Cikgu Salmah meluahkan rimasnya pada Cikgu Azwan.

“Orang muda macam tulah! Aku muda-muda dulu pun macam tu juga. Nanti dah dekat-dekat nak pencen macam aku ni, dah tak mau nak kisah dah!!” balas cikgu Azwan. Cikgu Salmah bungkam. Rasa terpukul dengan jawapan cikgu Azwan. Tapi, meluat sungguh dia dengan Armiza. Pandai-pandai buat itu, buat ini. Perubahan konon.

“Kamu jaga sikit mulut kamu. Jangan suka jaga tepi kain orang!” Terlepas juga api kemarahan cikgu Salmah tengah hari itu. Terkejut Armiza bukan main. 

“Minta maaf cikgu Salmah. Saya tak faham. Apa yang saya buat sampai cikgu marah-marah macam ni?”

“Sudah gaharu cendana pulak! Pandai-pandai report kat guru besar. Aku ni tak masuk kelaslah. Tak mau mengajarlah. Selalu keluar sekolah…,” jerit cikgu Salmah. Hampir terbeliak biji matanya.

“Bertenang cikgu. Bertenang. Jangan tuduh saya macam tu. Saya tak pernah buat semua tu, cikgu. Betul.” Armiza mempertahankan diri.

“Siapa lagi, kalau bukan kamu!!” Herdik Cikgu Salmah. Dia semacam hilang akal saja. Dan semenjak peristiwa itu hubungan mereka semakin terjarak. Armiza cuba bersemuka untuk memohon maaf. Bukan kemaafan atas kesilapannya. Cuma sekadar mengalah. Tapi, cikgu Salmah tidak pernah pun mahu memandang wajahnya. Jijik sungguh muka bujur sirih Armiza mahu dipandangannya.

Dari cerita kawan-kawan, baru Armiza tahu. Rupa-rupanya sebelum kejadian itu cikgu Salmah dipanggil mengadap Guru Besar. Sikap dan kelakuannya telah ditegur. Bukan sehari dua Cikgu Bahadon memantau gelagatnya. Untuk apa dia sebagai Guru Besar jika dia tidak mengambil tahu hal ehwal anak buahnya. Cikgu Bahadon tahu semua pergerakan dan karenah cikgu Salmah. Armiza tidak ada kena mengena dalam perkara itu. Cikgu-cikgu lain pun. Ramai cikgu yang faham. Termasuk cikgu-cikgu biasa. Mereka kenal dengan cikgu Salmah. Bahkan sesetengahnya masak benar dengan kelakuannya. Bukan seorang dua yang pernah bermasam muka dengannya. Malah ada yang tidak bertegur-sapa. Tapi peribadi itu bukan mudah dilembutkan dengan nasihat dan teguran. Tidak mudah tunduk dengan perdebatan atau maaf sekalipun. Jika diikut rasa sedih dan pilu yang meruntun emosi, mahu saja Armiza bertukar ke sekolah lain. Namun kesabaran dan semangatnya tidak mudah luntur. Perjuangannya baru separuh jalan. Hasilnya masih belum boleh dituai. Dia perlu meredah juga lurah belantara yang meranjau di hadapannya. Armiza nekad. Pelbagai usaha dilakukan. Bakat dan kebolehan kanak-kanak diketengah. Mana-mana program disertai. Ramai orang mula kenal program khas. Banyak tetamu datang melawat. Bagi macam-macam sumbangan. Ada yang bagi wang. Ada bagi barang. Termasuk majlis berbuka puasa anjuran korporat. Besar-besaran. 

Dalam tempoh setahun banyak sungguh kenangan manis yang berlaku. Pelbagai perubahan positif berlaku. Termasuk akademik pelajar. Yang paling menonjol tentunya Kutron Nada. Bakatnya cukup besar. Mengatasi kawan rakannya yang lain. Dia mampu memperlihatkan kebolehannya dalam bidang syarahan. Tidak kurang juga keupayaannya dalam aspek kesenian. Nyanyian, tarian, dan anyaman.

Armiza tidak melihat kosong ruang berharga itu. Semua rakaman fotografi dikumpulkan dalam koleksi khas. Perkembangan Kutron Nada diikuti dengan piawaian yang tinggi. Satu laporan khas telah dihantar kepada lembaga pemilihan Tokoh Kanak-Kanak Kategori Cacat Penglihatan peringkat negeri Kedah sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia. Titik peluh dan hasil usahanya bersama beberapa orang guru di sekolah khas itu kini membuah hasil. Kutron Nada akhirnya terpilih menjadi Tokoh Kanak-Kanak Khas kategori cacat penglihatan tahun itu.

Cikgu Salmah muncul bersama Kutron Nada sebagai guru pengiring bagi menerima hadiah di peringkat negeri. “Biarlah Armiza yang pergi.” Dia menolak pelawaan Ustazah Amilah dengan bersopan dan malu-malu ketika diminta menjadi guru pengiring. Dihatinya memang teringin sangat hendak menerima pelawaan itu. Bukan senang mendapat peluang masuk ke istana. Mengadap Sultan. Menjunjung duli menerima hadiah mengiringi Tokoh Kanak-Kanak tahun itu.
Dia benar-benar serba-salah. Bukan sedikit sindiran dan cemuhan yang pernah dilemparkan. Bukan sahaja kepada Armiza malah kepada keupayaan murid-murid cacat dan miskin itu. Halangan-halangan yang dibuatnya juga banyak. Masih terbayang-bayang. Terutama kepada Cikgu Armiza. “Armiza yang minta hang pi iring Kutron masuk istana ambik hadiah. Dia ada kursus di Kuala Lumpur,” Ustazah Amilah berterus-terang. Terasa berbahang mukanya menahan rasa malu yang amat menebal. Rupanya Armiza bukan seperti yang dia sangkakan. Terasa sesalan atas sikapnya yang keterlaluan terhadap Armiza.

Tuah menjadi-jadi tahun itu. Siapa sangka Tokoh Kanak-Kanak Cacat Penglihatan Negeri Kedah telah dinobatkan sebagai Tokoh Kanak-kanak peringkat kebangsaan. Kejayaan berganda itu telah memberi impak besar kepada imej sekolah juga. Guru Besar tersenyum bangga. Apatah lagi cikgu-cikgu di situ. Kali ini Armiza diminta mengiringi Kutron Nada menerima hadiah dari Raja Permaisuri Agung di Stadium Negara. Dia mengesat perlahan air mata yang mengenangi kelopaknya. Menangis penuh keyukuran. Bangga yang tidak terucapkan. Tidak ada yang mustahil dalam hidup ini jika kita berani merempuh cabaran. Dia pasrah dan reda pada ketentuan.
Pulang dari Kuala Lumpur, cikgu Salmahlah orang pertama yang menerpa sebaik sahaja kelibat Armiza kelihatan. Mereka saling berpelukan. Walaupun tiada kata-kata yang terucap, Armiza dapat rasakan siratannya.

Januari tahun berikutnya, semua cikgu dan murid Sekolah Kebangsaan Jabi gempar. Cikgu Salmah pun terkejut bukan main. Ustazah Amilah diam tidak terkata. Guru Besar pun turut kecewa. Cikgu Armiza mendapat surat pertukaran. Semua tidak menyangka. Dalam senyap rupanya Armiza bertindak. Namun, tidak ada sesiapa pun yang dapat menghalangnya. Majlis perpisahan hari itu berakhir dengan airmata. Agak lama dan erat memeluknya ialah cikgu Salmah. Terdengar juga sedikit raungan suaranya. Pun kekesalannya kini tidak lagi bermakna. Armiza melangkah pergi dengan perancangannya sendiri. Memang dia yang memohon pertukaran itu tahun lalu. Tanpa pengetahuan sesiapa. Termasuk Cikgu Besar. Nekad, Armiza memilih untuk kembali ke sekolah biasa. Mencari sinar baru dalam hidupnya. Meninggalkan seribu malah sejuta memori bersama kanak-kanak istimewa. Biarlah, walaupun hati terlalu berat melakukannya. Biarlah, hanya kenangan yang akan terus terukir bersama rima dan bait kehidupan. Armiza tidak akan menoleh kembali ke belakang. Bukan kecewa sebenarnya. Cuma, kehidupan terpaksa juga diteruskan selagi nyawa masih di badan.

#karya ini dipost ke blog hally3003 pada 2 Jun 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...