Selasa, 15 September 2020

KECELARUAN BIPOLAR

Tulisan ilmiah untuk memenuhi keperluan kursus suatu ketika dahulu 

Pengenalan

PERNAHKAH anda tiba-tiba terlalu gembira dan tidak dapat mengawal keghairahan berbelanja sehingga melebihi kemampuan? Kegembiraan keterlaluan atau ‘mania’ yang tergolong dalam gangguan mental bipolar boleh mengundang pelbagai masalah kepada pesakit sehingga mengakibatkan sesetengahnya bertindak agresif tanpa disedari.
Kecelaruan bipolar atau dikenali juga sebagai gangguan dwikutup merupakan sejenis gangguan otak yang menyebabkan perubahan luar biasa pada emosi, tenaga dan keupayaan seseorang. Menurut James N. Butsher, Susan Mineka dan Jill M. Hooley (2007), kecelaruan bipolar adalah berbeza dengan kecelaruan unipolar terutama sekali dengan kehadiran gejala-gajala manic atau hypomanic. Manakala menurut menurut Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (PPM), Prof. Maniam Thambu, (dalam http://groups.google.com.my/group/oku diakses pada 18 Ogos 2007), gangguan bipolar merupakan sejenis penyakit mental yangmenjejaskan ragam, tenaga dan keupayaan seseorang untuk berfungsi. Selain itu, seseorang individu yang mengalami kecelaruan bipolar akan melalui episod perubahan ragam atau mood yang melampau, contohnya daripada perasaan terlalu ghairah atau teruja (mania) kepada terlalu perasaan yang resah dan gelisah (kemurungan).

Selain itu, menurut Dr. Abdul Kadir Abdul Bakar (seperti yang dipetik dalam http://groups.google.com.my/group/oku diakses pada 18 Ogos 2007),setiap manusia akan merasai pelbagai jenis mood di mana perubahan mood adalah reaksi biasa terhadap perkara-perkara yang berlaku di dalam kehidupanseharian setiap individu. Namun begitu, di dalam penyakit bipolar, mood seseorang individu boleh meningkat secara tiba-tiba ke satu tahap yang terlampau tinggi (mania) atau menjunam ke tahap yang sangat rendah (kemurungan). Ia berbeza dengan rasa ‘tiada mood’ yang dialami kebanyakan orang kerana gangguan ini dianggap masalah serius dan boleh menjejaskan hubungan, prestasi kerja dan pelajaran. Gangguan bipolar menyebabkan perubahan emosi berepisod, iaitu daripada terlalu gembira kepada sedih dan hilang semangat; kemudian gembira semula di antara emosi ‘normal’. Perubahan emosi ini selalunya diikuti perubahan tenaga dan kelakuan. Keadaan berubah-ubah antara terlalu gembira dan sedih dipanggil episod mania dan kemurungan. Bagaimanapun, masalah ini sukar dikesan kerana pesakit biasanya kelihatan gembira dan progresif. Dua sifat positif ini secara tidak langsung melindungi masalah sebenar yang dihadapi pesakit, sedangkan mereka juga mengalami pelbagai gejala kemurungan yang berulang.

Pakar Psikiatri Forensik, Dr Badi’ah Yahya, berkata, masalah ini yang semakin menular di kalangan masyarakat, terutama golongan dewasa. Penyakit atau gangguan bipolar ini tidak boleh dipandang ringan bagi mengelak ia menjadi bertambah serius. Katanya, walaupun gangguan ini sukar dikesan, pesakit perlu diberi rawatan dengan mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar psikologi atau pun pakar perubatan yang sesuai kerana jika dibiarkan, lama kelamaan ia menjejaskan kesihatan mental.
Secara umumnya gejala gangguan bipolar dibahagikan kepada dua iaitu mania dan kemurungan.

Punca-Punca Kecelaruan Bipolar

Gangguan dwikutub atau bipolar adalah sejenis gangguan otak yang menyebabkan perubahan luar biasa pada emosi, tenaga dan keupayaan seseorang. Ia berbeza dengan rasa ‘tiada mood’ yang dialami kebanyakan orang kerana gangguan ini dianggap masalah serius dan boleh menjejaskan hubungan, prestasi kerja dan pelajaran. Mania dan kemurungan menyebabkan seseorang pesakit hilang rasional berfikir. Ia biasanya berlaku pada penghujung umur remaja dan awal dewasa. Bagaimanapun, masalah mania ini juga boleh membabitkan orang lebih tua dan kanak-kanak. Punca sebenar gangguan bipolar masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi saintis percaya gangguan bipolar disebabkan pelbagai faktor yang bertindak bersama mencetuskan masalah pada otak. Antarafaktornya ialah keturunan. Individu yang ada sejarah keluarga mengalami gangguan bipolar mempunyai risiko tinggi mendapat masalah ini.

Punca sebenar gangguan bipolar masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi saintis percaya gangguan bipolar disebabkan pelbagai faktor yang bertindak bersama mencetuskan masalah pada otak. Antara faktornya ialah keturunan. Individu yang ada sejarah keluarga mengalami gangguan bipolar mempunyai risiko tinggi mendapat masalah ini. Gangguan bipolar menyebabkan perubahan emosi berepisod, iaitu daripada terlalu gembira kepada sedih dan hilang semangat; kemudian gembira semula di antara emosi ‘normal’. Perubahan emosi ini selalunya diikuti perubahan tenaga dan kelakuan. Keadaan berubah-ubah antara terlalu gembira dan sedih dipanggil episod mania dan kemurungan. Bagaimanapun, masalah ini sukar dikesan kerana pesakit biasanya tampak gembira dan progresif. Dua sifat positif ini secara tidak langsung melindungi masalah sebenar yang dihadapi pesakit, sedangkan mereka juga mengalami pelbagai gejala kemurungan yang berulang. Menurut Pakar Psikiatri Forensik, Dr Badi’ah Yahya, masalah ini semakin menular di kalangan masyarakat, terutama terhadap golongan dewasa, dan ia tidak boleh dipandang ringan bagi mengelakkannya menjadi bertambah serius. Menurut beliau lagi, walaupun gangguan ini sukar dikesan, pesakit perlu diberi rawatan dengan mendapatkan khidmat kaunseling pakar psikologi atau perubatan sesuai kerana jika dibiarkan, lama kelamaan ia menjejaskan kesihatan mental.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri merangkap Pengerusi Psikiatri Universiti Melbourne, Profesor David Castle (seperti yang dipetik dalam www. ctimes. com.my /Current_News/HM/Sunday/Kesihatan/ 0070211130105/ sun_ artrevamp diakses pada 17 Ogos 2007) punca sebenar penyakit mental masih tidak diketahui. Saintis percaya penyakit mental disebabkan beberapa faktor yang merangsang kepada gangguan mental, termasuk ketidakseimbangan kimia otak dipanggil dopamin yang dihasilkan berlebihan hingga menjejaskan fungsi otak.

Menurut Lawrence A. Pervin dan Oliver P. John. (2000)., kecelaruan bipolar merupakan sejenis lagi penyakit keturunan di mana pesakit akan mengalami depresi dan “Mania” secara bergilir- gilir. “Mania” adalah satu keadaan di mana pesakit akan menjadi terlalu aktif hingga ia dapat merosakkan dirinya. Emosi pesakit biasanya euforik atau teruja, tetapi kadangkala “irritable”, “hostile” dan membinasakan. Daya tenaga pesakit akan bertambah dan mereka merasa tidak perlu pada tidur atau rehat. Mereka mempunyai fikiran- fikiran luar biasa yang “grandiose” dan kadang-kadang sampai ke tahap delusi. Mereka kerapkali mempunyai masalah ekonomi kerana berbelanja berlebihan dan tidak dapat memahami dan menerima akibat tindakan yang dilakukan. Pada peringkat permulaan pesakit hanya kelihatan seperti “bersemangat tinggi” terutamanya apabila ia sebelum ini mengalami episod depresi dan perlu bekerja keras untuk “menyudahkan” aktiviti- aktiviti yang tidak dilakukan semasa ia bersedih.

Selain itu, faktor- faktor penyebab lain kecelaruan bipolar juga adalah disebabkan oleh faktor sosial. Kajian Penelitian (life events) pada peristiwa- peristiwa menunjukkan penyakit ini boleh dikaitkan dengan peristiwa kehilangan-kehilangan pekerjaan, keluarga, sahabat, wang ringgit, kesihatan, atau status. Adalah dianggarkan bahawa peristiwa hidup yang teruk atau luar biasa di dalam masa enam bulan selepas peristiwa tersebut akan menambahkan risiko penyakit ini. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa faktor yang mempengaruhi gerakan individu terhadap peristiwa tersebut. Di antara faktor- faktor ini adalah latar belakang kelas pekerjaan, hubungan dengan teman hidup, tidak mempunyai pekerjaan, bilangan anak lebih dari tiga orang, kehilangan ibu- bapa sebelum umur 11 tahun.

3.0 Pelbagai Pandangan Dari Perspektif Teori

a) Perspektif Psikososial

Perhubungan antara manusia ataupun antara manusia dengan persekitaran yang tidak normal akan menyebabkan kecelaruan sama ada dari segi akal mahupun jiwa. Contohnya, suatu kejadian traumatik yang dialami pada zaman kanak-kanak seperti dipukul dan didera, ditimpa kemalangan dahsyat atau kematian ibu bapa akan menyebabkan satu trauma psikologikal yang sukar untuk dilupakan. Kanak-kanak ini mungkin akan bertukar menjadi pendiam, sentiasa takut akan kehilangan orang-orang yang signifikan dengannya. Situasi ini akan mendorongnya mengelak untuk berkawan dan berinteraksi sosial.

Selain itu menurut perspektif ini juga, hubungan seseorang anak dengan keluarganya adalah suatu yang amat penting. Hal inilah yang menyebabkan mereka mempunyai personaliti menarik diri daripada interaksi sosial. Pelbagai masalah sosial yang lain secara tidak langsung juga menyebabkan masalah penyakit jiwa dan kecelaruan tingkah laku boleh berlaku seperti keadaan ekonomi individu, tekanan hidup di rumah atau tempat kerja, kegagalan dalam bercinta dan sebagainya.

b) Perspektif Kemanusiaan

Menurut Ab.Alim Abdul Rahman (1994:32), penyakit mental dari sudut kemanusiaan akan berlaku apabila pertumbuhan individu itu tersekat. Sekatan iniberlaku kerana beberapa sebab:

Penggunaan mekanisme bela diri sehingga menyebabkan individu terkeluar daripada realiti.

Keadaan sosial yang negatif kerana pembelajaran yang salah.

Ketegangan yang berlebihan

Menurut Mahmood Nazar Mohamed (2005:376), pakar psikologi humanistik seperti Rogers dan Maslow tidak menyatakan bahawa individu yang mempunyai masalah jiwa itu mengalami sakit jiwa tetapi mereka percaya masalah itu wujud akibat berlaku halangan dalam usaha mereka mencapai makna kehidupan dan kesempurnaan kendiri. Individu ini akan mengalami “anxiety eksistensial” yang menyebabkan gangguan jiwa berlaku. Sebenarnya dari perspektif kemanusiaan, individu diharap akan dapat menghadapi kenyataan dan memperoleh kemahiran perhubungan yang memuaskan dengan individu lain. Kecelaruan mental dan tingkah laku berlaku apabila individu tersebut gagal mencapai potensi mereka.

c) Perspektif Psikoanalisis

Perspektif ini mengutarakan tahap kesedaran dan struktur personaliti. Konflik-konflik yang wujud dalam jiwa manusia akan menyebabkan seseorang itu mengalami masalah jiwa. Konflik yang dialami dalam bentuk motif yang tidak sedar dan sebarang peristiwa pahit yang cuba ditekankan ke dalam alam tidak sedar melalui proses represi. Hakikatnya semua konflik ini ingin keluar dari alam tidak sedar itu tetapi dikawal oleh ego dengan tindakan mekanisme helah bela diri. Maka. Mengikut pandangan psikodinamik, diri manusia ini adalah suatu medan peperangan bagi konflik-konflik tersebut dan berpunca dari inilah wujudnya simptom kecelaruan mental dan fizikal seperti hysteria, kesedihan, kemurungan, anxieti, takut dan sebagainya.

d) Perspektif Biologikal

Hampir semua penyakit ada asas biologikal dan begitu juga masalah kecelaruan bipolar. Antara faktor biologikal yang mempengaruhi keadaan kesihatan seseorang ialah genetik, ketidakeimbangan hormon, kecacatan fizikal dan pemakanan.Terdapat kajian yang menyatakan bahawa kerosakan sesetengah gen boleh juga menyebabkan pelbagai masalah jiwa.

Tingkah laku manusia dipengaruhi oleh hormon yang dikeluarkan oleh kelenjar adrenal iaitu adrenaline dan noradrenalin yang akan menukar tingkah laku manusia apabila berada dalam keadaan tegang atau tertekan. Apabila wujud gangguan dalam pengeluaran hormon ini maka akan berlaku gangguan pada sistem otak. Selain itu pemakanan juga memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku individu. Kajian menunjukkan kekurangan bahan-bahan seperti tiamina, niasin dan vitamin B12 akan menyebabkan beberapa gangguan organik otak.

e) Perpektif Behaviorisme

Pakar behaviorisme berpendapat kecelaruan mental dan fizikal disebabkan salah pembelajaran serta proses pelaziman yang tidak sesuai. Manusia ini sentiasa mempelajari perkara yang baru dan kadang kala dalam proses memperoleh pengetahuan dan pengalaman itu, sesuatu yang tidak sesuai telah dipelajari sama ada secara langsung atau tidak. Hasil daripada pembelajaran seperti inilah yang menyebabkan wujud kecelaruan jiwa seperti fobia, kemurungan dan lain-lain dalam kehidupan seseorang.

4.0 Kaedah Rawatan Kecelaruan Bipolar

Panggilan seperti ‘gila, mereng dan tidak siuman’ begitu sinonim dengan mereka yang mengidap pesakit mental sama ada jenis Skizofrenia mahu pun Kecelaruan Bipolar telah menyebabkan ramai pesakit mental tidak mendapatkan rawatan sepatutnya, walaupun menyedari mereka sebenarnya menghadapi masalah gangguan fikiran. Malah, panggilan itu membuatkan ramai rasa malu dan bimbang terhadap pandangan serong masyarakat sehingga sanggup menyembunyikan ahli keluarga yang ‘sakit’. Walaupun dunia semakin maju, sikap sesetengah masyarakat kita masih tidak berubah dan soal menyembunyikan pesakit yang mengalami gangguan mental, yang sepatutnya menjadi sejarah, tetap berlaku hingga hari ini. Perkara inilah yang dikesalkan Ketua Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Hussain Habil kerana kebanyakan pesakit hanya dirujukkan ke hospital selepas dua tahun mengalami masalah ini atau apabila keadaan menjadi semakin serius.

Sebenarnya terdapat pelbagai kaedah untuk merawat penyakit ini.Antaranya adalah menggunakan kaedah rawatan terbaru dalam bentuk ubat makan atau suntikan yang mempunyai tiga tujuan, iaitu menghilang dan membebaskan pesakit daripada gejala penyakit yang dihadapi serta memulihkan fungsi minda pesakit supaya mereka boleh menjaga diri. Ia juga membolehkan pesakit kembali ke pangkuan masyarakat, bekerja, bersekolah, tiada lagi tingkah laku agresif, bersemangat, menghargai diri dan hidup berdikari. Ubat dalam bentuk suntikan yang mulai diperkenalkan pada Ogos tahun lalu ada banyak kelebihan kerana hanya perlu diambil sekali setiap dua minggu. Kaedah ini sesuai bagi pesakit yang sukar mematuhi pengambilan ubat oral setiap hari dan kesannya bertahan selama dua minggu, selain kurang kesan sampingan. Ini bermakna pesakit hanya perlu pergi ke hospital dua kali sebulan bagi mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, pemilihan jenis ubat tertakluk kepada tindak balas badan pesakit. Kajian ke atas pesakit dewasa yang bekerja menunjukkan 18 peratus mengambil ubat anti-psikotik generasi pertama dan 46 peratus pula mengambil ubat generasi kedua.

Sebenarnya kaedah rawatan secara berterusan akan memberi kesan lebih baik kepada pesakit berbanding rawatan sekali sekala. Pun begitu, walaupun menjalani rawatan berterusan, pesakit masih boleh mengalami perubahan emosi dan jika ini berlaku, ahli keluarga perlu segera melaporkannya kepada doktor.Pada masa sama, ahli keluarga perlu banyak bersabar dan memainkan fungsi penting untuk membantu pesakit. Mereka memerlukan sokongan berterusan dan penjaga yang sentiasa bersedia membawa pesakit mendapatkan rawatan. Antara cara yang boleh dilakukan ialah menyertai kumpulan sokongan bagi masalah berkenaan. Rawatan untuk penyakit mental ini biasanya merangkumi rawatan fizikal, psikologi dan sosial. Rawatan psikologi kepada pesakit ini, termasuklah rawatan kaunseling, psikoterapi dan tingkah laku.

4.1 Kaedah Rawatan Psikologi (Kaunseling)

Kaunseling yang dilakukan termasuklah :

Pendidikan yang menjelaskan berhubung dengan simptom-simptom yang dihadapi pesakit.

Aspek pengambilan ubat

Konsep tekanan, cara menanganinya, motivasi diri dan harga diri.

Aspek perhubungan kekeluargaan, rakan kerja dan lain-lain.

4.2 Kaedah Rawatan Psikologi (Psikoterapi)

Psikoterapi pula merupakan rawatan psikologi bersifat dua hala iaitu antara doktor

dan pesakit. Bentuk-bentuk psikoterapi yang dilakukan ialah:

Psikoterapi dinamik

Psikoterapi kognitif

Psikoanalitik psikoterapi

Walau bagaimanapun tidak semua pesakit sesuai menjalani rawatan psikoterapi seumpama ini. Hanya difokuskan kepada pesakit neurosis tertentu dan pesakit mestilah bermotivasi tinggi, berfikiran terbuka, bijak dan penyakit yang dihadapi tidaklah terlalu kronik. Hubungan pesakit pada masa lampau mewarnai persepsi dan tingkah laku pesakit pada masa kini. Dalam menjalani rawatan psikoterapi ini, doktor akan menjelaskan punca (dinamik) sesuatu konflik itu terjadi atau bermula. Konflik yang dihadapi oleh seseorang ada hubungan dengan ibu bapa atau keluarga banyak mencorakkan cara pesakit berinteraksi dengan individu lain.

Rawatan jenis ini dilakukan secara individu atau berkumpulan seramai empat ke enam orang. Julat umur mestilah sama di samping persamaan personaliti dan permasalahan yang hampir serupa. Melalui kaedah ini, pesakit akan bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain dan cuba belajar menangani masalah yang mereka hadapi.

4.3 Kaedah Rawatan Psikologi (Tingkah laku)

Menurut Dr. Ramli Hassan (1990), terapi tingkahlaku adalah suatu pendekatan dalam rawatan yang melibatkan prinsip-prinsip pembelajaran dan pelaziman bagi menganalisis, mengubah serta merawat gangguan tingkah laku atau simptom-simptom penyakit mental. Menurut Bahagian Pendidikan kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman web http;//www.sabah.org.my/bm/nasihat/artikel kesihatan/penyakit mental.htm memaparkan bahawa rawatan jenis ini memberi tumpuan kepada membantu pesakit mengubah cara berfikir atau tingkahlaku yang tertentu yang mengganggu dan menimbulkan gejala penyakit. Teknik releksasi adalah merupakan satu contoh rawatan jenis ini. Pendekatan tingkah laku ini lebih berfokus kepada tingkah laku nyata yang objektif dan yang dapat dinilai secara kuantitatif. Para pesakit akan diberi beberapa latihan dan hasil yang diperolehi pesakit akan diberikan penghargaan.

4.4 Kaedah Rawatan Fizikal

Menurut Menurut Dr. Ramli Hassan (1990), rawatan fizikal penyakit mental terbahagi kepada rawatan kemoterapi, terapi elektrokonvulsif (ETC) dan juga rawatan ubat-ubatan. Sebagai contohnya ubat lithium karbonat digunakan untuk mengawal penyakit afektif yang berulang-ulang. Kaedah ini menggunakan arus elektrik terutamanya dalam rawatan kemurungan yang teruk sehingga apabila pesakit berasa hendak membunuh diri atau pun mengabaikan makan dan minumnya. Pesakit yang mengalami mania yang sukar dikawal dengan ubat-ubatan juga dapat dirawat dengan berkesan menggunakan ETC ini.

4.5 Kaedah Rawatan Sosial

Menurut Nor Shamsinor Baharin (dalam http://www.geocities.com/HotSpring/Oasis/5150/ azh.html), rawatan sosial penyakit mental adalah melibatkan semua pembabitan masyarakat. Ini mengikut Akta Kesihatan Mental 2001 dengan membuka ruang yang luas terhadap penglibatan msyarakat dalam usaha memulihkan pesakit mental. Keutamaan program kesihatan dalam komuniti dengan melibatkan pertubuhan sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai penggerak kepada ke arah pemulihan pesakit mental semakin diberi peranan yang luas. Sebagai contohnya klinik Psikatri Hospital Tengku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan telah menganjurkan aktiviti yang melibatkan hubungan komunikasi dan interaksi di antara pesakit mental dengan keluarga serta masyarakat. Para pelatih juga diajar berdikari seperti membasuh kain, memasak serta mengendalikan peralatan tertentu.

Menurut Dr Nor Hayati Ali (dalam http://www.geocities.com/HotSpring/ Oasis/5150/ azh.html) kesedaran masyarakat khususnya keluarga haruslah merujuk ahli keluarga yang mengalami gangguan mental untk mendapatkan rawatan. Masyarakat perlu sedar dan faham bahawa tidak semua yang bertemu dengan pakar psikatri dikategorikan sebagai gila. Untuk itu, masyarakat dan ahli keluarga perlulah berusaha untuk mendapatkan maklumat mengenai gejala masalah mental supaya mereka yang berada pada peringkat awal gejala ini dapat diubati dan seterusnya menjalani kehidupan normal sebagaimana masyarakat biasa. Bahagian Perkhidmatan Psikologi melalui sumber internet yang diakses melalui laman web J:www.jpa.gov.my/psikologi/jmis/, menyarankan masyarakat agar menukar persepsi yang mengaitkana penyakit mental dengan gila dan menghentikan sikap diskriminasi serta menghapuskan stigma yang hanya merendahkan maruah pesakit mental. Pesakit bipolar sering dianggap gila sedangkan mereka tidak gila sebaliknya mengalami gangguan disebabkan banyak faktor seperti masalah dalam keluarga dan tekanan persekitaran.

4.6 Kaedah Rawatan Islam

Syed Hassan Al-Mashor dan Raihanah Abdullah (1994), menjelaskan bahawa rawatan menurut Islam meliputi aspek jasmani dan rohani. Tahap pencapaian moral dan akhlak yang tinggi dapat membantu pesakit dalam menghadapi setiap penyakit. Keimanan dan keyakinan boleh menjadikan seseorang lebih tenang dan dapat membantu proses penyembuhan. Firman Allah yang bermaksud ’Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah.Ingatlah dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram’.(Surah Al-Rad, ayat 28).Secara keseluruhannya, kesempurnaan rohani dan jiwa adalah satu aspek penting dalam Islam. Manusia digalakkan sentiasa mengingati Allah agar jiwa menjadi tenang. Perubatan dan kesihatan dalam konteks Islam adalah satu jaminan yang saintifik. Perkara itu adalah nyata. Al-Quran dan sunah Nabi Muhammmad SAW telah menjadi buktinya. Selain itu keluarga adalah orang yang paling berpengaruh dalam menentukan pilihan terbaik untuk ahli keluarga mereka. Sokongan yang berterusan daripada ahli keluarga lambat laun akan memberikan impak yang positif hasil daripada rawatan yang diterima. Pada umumnya pesakit bipolar juga mengharapkan timbang rasa daripada keluarga dan masyarakat. Pesakit bipolar juga sebenarnya memerlukan yang terbaik untuk diri mereka.

Kesan Kecelaruan Bipolar Kepada Pesakit

Seperti yang diperkatakan di atas, kecelaruan bipolar menyebabkan perubahan emosi berepisod, iaitu daripada terlalu gembira kepada sedih dan hilang semangat; kemudian gembira semula di antara emosi ‘normal’. Perubahan emosi ini selalunya diikuti perubahan tenaga dan kelakuan. Keadaan berubah-ubah antara terlalu gembira dan sedih dipanggil episod mania dan kemurungan.kebanyakan pihak menganggap gangguan mania sebagai sesuatu yang positif kerana membuatkan mereka aktif dan gembira melayan perasaan sendiri. Apa yang membimbangkan, keadaan itu boleh membuatkan seseorang tidak dapat mengawal pemikiran, sekali gus mempengaruhi tingkah laku masing-masing sehingga menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku. Ini kerana kecelaruan bipolar akibat ganguan mania akan menjejaskan otak dan boleh mempengaruhi perasaan seseorang dan pada masa sama individu terbabit akan mempamerkan tindakan drastik. Ia berikutan keupayaan seseorang individu yang mengalami mania meningkat mendadak sehingga mengakibatkan mereka terlalu gembira dan ada di dunia sendiri. Selain itu, individu yang mengalami gangguan bipolar boleh ‘diserang’ kemurungan. Mereka sering kelihatan sedih, mudah putus asa dan lebih suka menyendiri. Malah, mereka juga hilang minat untuk melakukan kegiatan digemari. Ada kalanya episod mania dan kemurungan yang serius turut mempunyai simptom psikosis seperti halusinasi (mendengar suara ghaib) atau delusi (mempercayai perkara yang tidak wujud). Keadaan ini timbul apabila pesakit dalam keadaan ekstrem. Seseorang pesakit boleh mengalami beberapa gejala pada satu masa. Mereka mungkin menghadapi masalah sukar tidur, selera makan berubah, resah, psikosis dan ada fikiran mahu membunuh diri. Mereka mungkin sangat sedih dan tidak berguna, tetapi pada masa sama pesakit berasakan sangat bertenaga. Walaupun gangguan bipolar kerap berlaku pada peringkat awal dewasa, ia boleh melanda kanak-kanak. Kanak-kanak yang mengalami gangguan bipolar menunjukkan perubahan emosi yang begitu ketara antara riang dan murung dalam masa sehari. Mereka lebih mudah terganggu dan cenderung menunjukkan sikap pemarah daripada sikap riang. Pesakit juga lebih cenderung untuk hilang minat terhadap apa jua aktiviti dilakukan. Sebaliknya mereka lebih gemar menyendiri dan kurang selesa dengan kehidupan dijalani,
tumpuan pesakit juga merosot dan sukar membuat keputusan. Gejala seperti ini akhirnya menjejaskan kualiti hidup pesakit, manakala prestasi kerja atau pelajaran turut merosot.
6.0 Rumusan

Sebenarnya dalam kita membicarakan kategori penyakit mental tidak kira dari kategori mana sekalipun, kita tidak boleh terkecuali daripada merujuk Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM) yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Psikiatri Amerika (APA) pada tahun 1952. Melalui DSM, satu klasifikasi penyakit mental telah diberikan dan diguna pakai oleh seluruh dunia sebagai suatu kaedah dianogsis penyakit mental. Hasil pengubahsuaian sistem klasifikasi ini, maka APA telah mengasaskan versi baru DSM pada tahun 1994 yang dikenali dengan DSM-1V yang menggunakan sistem multipaksi. Menurut klasifikasi yang telah dibuat melalui DSM-IV, kecelaruan bipolar sama ada Kecelaruan Bipolar 1 ataupun Kecelaruan Bipolar 2 adalah di bawah kategori Kecelaruan Mood iaitu satu daripada empatbelas jenis penyakit mental yang dikategorikan oleh Persatuan Psikiatri Amerika (APA) melalui DSM-IV.

1.

Kecelaruan mood

  • Major depressive disorders
  • Dysthymic disorders
  • Bipolar I disorders
  • Bipolar II disorders
  • Cyclothymic

Rentetan dari pelbagai pendedahan yang diketengahkan di atas, ternyata gejala gangguan mental semakin menular dalam kehidupan masyarakat kini.Pelbagai punca boleh dikenalpasti mengapa ramai individu mula terarah kepada permasalahan mental yang teruk sehingga mengundang kepada kecederaan sama ada kepada diri pesakit itu sendiri mahupun orang-orang yang signifikan dengannya ataupun masyarakat yang terdapat di sekelilingnya. Justeru, sebagai seorang yang peka terhadap kesihatan diri dan keluarga beberapa ciri kesihatan mental yang positif perlu dikenalpasti. Antara ciri-ciri kesihatan mental yang positif terutama terhadap diri sendiri adalah seseorang individu itu perlu menyedari kelemahan dan kekuatan dirinya sendiri, berupaya mengawal perasaan dalam apa juga situasi, sanggup menerima sebarang kegagalan secara positif dan sihat, mempu menghindari kegiatan yang tidak bermoral dan belajar menghargai diri sendiri. Selain itu seseorang individu juga perlu memberi perhatian terhadap kemampuannya berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain kerana ini secara tidak langsung dapat menggambarkan sama ada individu tersebut mempunyai kesihatan mental yang baik dan positif. Antara ciri-ciri yang perlu diberi perhatian adalah keupayaan dan kemampuan berkomunikasi secara berkesan dengan individu lain, mampu menerima dan memberi kasih sayang dengan baik, tahu menghargai dan dapat mempercayai orang lain serta boleh menerima pendapat yang diberi oleh orang lain secara terbuka. Selain itu, bagi mengukuhkan lagi kesihatan mental seseorang keupayaan menghadapi cabaran juga perlu diberi perhatian serius. Individu yang sihat mentalnya akan berupaya menghadapi dan menyelesaikan masalah yang datang, memapu mengatasi konflik dengan bijaksana, mampu membuat keputusan untuk diri sendiri serta bersedia mendapatkan pertolongan sekiranya menghadapi kebuntuan dalam menyelesaikan pelbagai masalah harian.

Sebagai rumusannya, semua individu pasti menginginkan kehidupan yang sihat sama ada sihat dari segi fikikal mahupun kesihatan mental. Oleh yang demikian, setiap individu perlu mempunyai kemahiran hidup bagi memastikan mereka dapat mengekalkan tahap kesihatan mental mereka. Antara lain saranan tersebut merangkumi latihan tegas diri, belajar menghargai diri sendiri, membina persahabatan dengan orang lain, sentiasa berfikiran positif, berinteraksi dan berkomunikasi secara berkesan, belajar menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, menguruskan konflik dan kemarahan dengan cara bijaksana, setiap ibubapa mempunyai kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak-anak, mempunyai pengetahuan untuk menguruskan masa dengan baik dan berkesan serta berpengetahuan tentang teknik-teknik relaksasi untuk mengawal stress..Walau bagaimanapun, dalam menghadapi kehidupan era langit terbuka yang terdedah dengan pelbagai risiko serta kekangan, setiap individu memainkan peranan sama penting ke arah kesihatan mental individu yang lain. Oleh yang demikian, ibu bapa, masyarakat, institusi pendidikan malah semua individu yang signifikan dengan individu yang lain perlu berganding bahu bagi memastikan gejala penyakit mental tidak merebak dan menjadi wabak. Apa yang pasti komitmen dan kerjasama amat diperlukan agar permasalahan ini boleh diatasi dengan waras dan bijaksana.

RUJUKAN

Ab. Alim Abdul Rahim. (1994). Pengantar psikologi bilazim. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

American Psychiatric Association . (1994). Diagnostic and statistical manual of mental disorder, fourth edition: DSM-IVWashingtonDC: American Psychiatric Association.

James N. Butcher, Susan Mineka dan Jill M. Hooley. (2007). Abnormal psychology core

concepts. United states of America. Pearson Education, Inc.

Lawrence A. Pervin dan Oliver P. John. (2000). Personality theory and research eighth

Edition. United states of America: John. Wiley & Sons, Inc.

Mahmood Nazar Mohamed.. (2005). Pengantar psikologi: Satu pengenalan asas kepada

jiwa dan tingkah laku manusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ramli Hassan. (1990). Pengantar Psikiatri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Hassan Al-Mashoor dan Raihanah Abdullah. (1993). Gangguan Mental.

Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sd. Bhd.

www. ctimes. com.my /Current_News/HM/Sunday/Kesihatan/ 0070211130105/sun_ artrevamp diakses pada 17 Ogos 2007

http://groups.google.com.my/group/oku diakses pada 18 Ogos 2007

http://www.geocities.com/HotSpring/Oasis/5150/azh.html diakses pada 18 Ogos 2007

http://www.jpa.gov.my/psikologi/jmis/koleksi%20JMIS7202005/Memahami MentalDis.pps diakses pada 9 Ogos 2007

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...