Ahad, 24 Februari 2013

KEMBARA SEBUAH PERJALANAN (2)

8 Februari 2013
Setelah melalui perjalanan yang agak panjang (kira-kira lebih 12 jam), kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah lebih kurang jam 4.00 pagi waktu tempatan.  Balai ketibaan sesak dengan jemaah yang ingin melepasi immigration.  Kesesakan memakan masa lebih satu jam.  Sebaik selesai memungut bagasi, kami menunaikan solat subuh di sudut kecil yang disediakan.  Ketibaan kami disambut wakil Suffah Travel & Tour di Jeddah (Hj. Hamdi) yang sedia menunggu.  Bas yang akan membawa kami ke Madinah al-Munawarah juga sudah sedia menunggu dengan seorang pemandu yang cukup dedikasi Hj. Bahlol.  Perjalanan ke Madinah memakan masa lebih 6 jam.


Sebenarnya sepanjang perjalanan ke Madianah al-Munawarah hanya yang dapat disaksikan adalah padang pasir - yang cukup menginsafkan.  Demikian sukar sebenarnya junjungan besar Nabi Muhamad SAW ketika berhijrah meninggalkan kota Mekah.  Tiada sebarang pokok untuk berteduh.  Hanya saujana mata memandang melihat hutan batu di kiri kanan.  Subhanallah.  Begitu menginsafkan.

Kami tiba di Hotel Mubarak Al-Madinah yang terletak lebih kurang 150m ke Masjid Nabawi kira-kira pukul 11.00 pagi.  Memandangkan bilik belum disediakan dan waktu untuk solat Jumaat semakin menghampir, kami (seramai 23 orang jemaah semuanya) bergerak ke Masjid Nabawi.  Masaallah.  Maha Suci Allah.  Keseluruhan kawasan masjid sudah dipenuhi jemaah yang datang dari seluruh pelusuk tanah air.  Dengan mengikuti jejak Pn. Ainul, kami cuba untuk masuk ke dalam masjid, sayangnya kesemua laluan sudah pun penuh meskipun waktu solat masih agak awal.  Kami terpaksa mengambil tempat di dataran yang semakin ramai orang.  Entah kenapa, kesayuan mula bertandang dalam diri.  Bersyukurb sungguh saya kerana dapat menjejakkan kaki ke masjid ini.  Ya Allah, terasa air mata tidak pula dapat saya tahan.  Terima kasih Allah kerana menerima kehadiran saya dan keluarga untuk menjejakkan kaki ke rumah kekasihMu Nabi Muhammad SAW.  Alhamdulillah.


Petang itu, setelah selesai segala urusan dan menunaikan solat asar di Masjid Nabawi, kami dibawa menziarahi makam Rasulullah SAW dan Perkuburan Baqi'.  Salam buatmu Junjungan Besar Rasulullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...