Ahad, 6 Januari 2013

TERUSKAN LANGKAHMU: PN. SHARIFAH SUHARNY


Barangkali tidak ada kata-kata yang boleh menggambarkan bagaimana terkejutnya aku ketika menerima berita kenaikan pangkat Pn. Sharifah Suharny pada 24 Disember 2012 yang lalu.  Aku sendiri tidak tahu mengapa  hati dan kaki begitu ingin ke sekolah meskipun pada hari yang sama aku baru sahaja selesai berkursus dan menduduki temuduga pengesahan kaunselor berdaftar di Hotel Bustani bermula 23 - 24 Disember.  Sebaik menjejak kaki di pejabat, Mak Tok (panggilan untuk salah seorang petugas di pejabat) membisikkan ke telinga yang Pn. Sharifah Suharny (Kami di sekolah lebih mesra memanggilnya Kak Pah) baru sahaja menerima memo kenaikan pangkat sebagai Penolong Kanan Kurikulum di SMK Muazzam pada sebelah paginya.

Entah kenapa, kesedihan tiba-tiba bersarang dalam hati.  Rasanya kesedihan itu bukan sahaja bertandang di jiwa aku seorang malahan kesemua warga SMK Sultanah Bahiyah.  Beliau sebenarnya begitu rapat dengan kami semua.  Terutama yang mempunyai kaitan dengan Unit HalEhwal Murid.  Sikapnya yang cepat mesra, prihatin, tabah, berjiwa kental, suka mendengar dan banyak lagi sifat-sifat dedikasi dan karismanya yang menjadikan kami begitu hampir, dekat malah selalunya bekerja dalam satu pasukan yang saling melengkapi.  Itulah barangkali yang menjadikan setiap warga SMKSB begitu menyenangi beliau.

Namun, sebagai insan kita perlu menyedari dan seterusnya merelakan bahawa setiap pertemuan pasti ada perpisahan.  Setiap yang bermula pasti akan ada penamatnya.  Kak Pah telah memulakan satu langkah lagi perjalanan kerjayanya ke arah yang lebih cemerlang.  Walau bagaimana sekali pun kita tidak merelakan namun kita harus pasrah demi sebuah kelangsungan pendidikan.  Semoga Pn. Sharifah Suharny akan terus cemerlang walau di mana juga beliau berada.  Sesungguhnya hanya doa yang akan mengiringi semoga beliau akan meniti kejayaan demi kejayaan dalam kerjaya yang pasti amat-amat dicintainya.  Teruskan melangkah dengan bergaya agar kejayaan akan terus bersama hingga ke puncak. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...