Jumaat, 25 Januari 2013

BERITA GEMBIRA MAULIDUR RASUL

Tergesa-gesa ke dapur lantaran saya agak kelewatan menyediakan juadah untuk anak-anak saya yang akan saya lawati di asrama.  Ketika tangan begitu rancak 'mengacau' nasi goreng di dalam kuali, handphone saya tiba-tiba pula berbunyi.  Barangkali memahami kekalutan saya, suami bergegas menjawab panggilan tersebut.

"Panggilan dari KPM ni"  katanya dan telefon bertukar tangan.  Dalam kekalutan dan tertanya-tanya segera pula tangan saya memadam api dapur  sebelum meninggalkan tugas memasukkan nasi goreng ke dalam bekas kecil kepada suami saya.

"Saya dari Sektor Pendidikan Agama - Urusetia ...." perkenal suara di hujung talian dan saya segera menangkap siapa yang sedang berbicara dengan saya ketika itu.  Keresahan mula bertapak di hati.  Namun, pantas mulut saya melafazkan ucapan 'alhamdulillah' dan sememangnya selawat dan syukur itu hanya untukMu Ya Allah.  

Saya sebenarnya tidak tahu bagaimana ingin berkata-kata.  Malahan ternyata lidah saya tiba-tiba terasa begitu kelu.  Agak lama sebenarnya perbualan itu. Lebih daripada 5 minit.  Tentunya pula berkisar tentang kejayaan saya (yang saya sendiri tidak tahu tempat ke berapa) dalam pertandingan menulis Tazkirah Sempena Maulidur Rasul Peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia yang saya sertai pada bulan September yang lalu.  Sebenarnya jika ditanya pada saya ketika ini, pertandingan itu saya sertai lebih kepada untuk mencuba mengasah semula bakat diri bukan untuk menang.  Namun, jika kemenangan itu untuk saya walau di tempat ke berapa sekali pun itu merupakan nilai tambah yang tidak terhingga nikmatnya.

Sebaik telefon diletakkan, segera saya memeluk suami yang masih di dapur.  Terpinga-pinga dia.  Namun, sebaik diberitahu berita gembira itu senyumnya dapat dilihat dan ucapan tahniah serta alhamdulillah menyusul kemudiannya.

Saya sebenarnya ingin merakamkan ucapan terima kasih terutama buat suami yang turut memurnikan tulisan saya itu, juga anak-anak serta keluarga yang sentiasa memberi sokongan buat saya.  Terima kasih buat Pn.Pengetua Pn. Hjh. Rahinun bt. Mohd. Noor yang tidak pernah berhenti memberi galakan dan memahami bakat saya.  Semua yang berlaku hari ini adalah berkat doa dan kasih-sayang semua yang tidak pernah saya nafikan.  Terima kasih Ya Allah, kerana Kauberikan saya kejayaan meskipun saya tidak bertanya apakah kedudukan dan tempat yang saya perolehi.  Biarlah semuanya menjadi rahsia sehingga surat rasmi menyusul daripada Urusetia Pertandingan dalam masa terdekat ini.  Apa yang penting bagi saya adalah kepuasan dan pastinya nama SMK Sultanah Bahiyah akan berkumandang di Kolej Kesihatan Bersekutu Tanjung Rambutan, Perak  pada 8 Februari 2013 yang akan datang.

Alhamdulillah.  Terima Kasih Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...