Selasa, 31 Disember 2013

SELAMAT DATANG 2014; SELAMAT PERGI 2013

Masa berlalu terasa begitu cepat sekali.  2013 hanya beberapa jam akan melabuhkan tirai.  2014 akan datang dengan misi dan visi barunya.  Entah, tidak tahu pula bagaimana kekalutan 2014 akan ditempuh bersama keluarga, teman-rakan dan sanak-saudara.  Demikian, putaran bagi sebuah kehidupan.  Masih banyak sebenarnya perancangan, impian dan angan-angan yang belum tertunai dan berjaya dilaksanakan.  Kini datang pula 2014 yang pastinya membawa pelbagai delegasi untuk turut disempunakan.
Hadiah dan Sijil Diambil Oleh Ahmad Bistamam (No.2 dari kiri) di Ipoh, Perak - Alhamdulillah

Bersyukur kerana saya memulakan tahun baru dengan berita kemenangan dalam pertandingan menulis Tazkirah Peringkatan Kebangsaan dan diikuti dengan saya dankeluarga dapat  menziarahi Kota Suci Mekah - menyusuri sejarah perjuangan baginda Rasulullah SAW.  Merasai getirnya sebuah perjuangan dan terasa pula kerinduan untuk bertandang lagi menjadi tetamu Allah dan menemui kekasihNya di Raudah.  Allah!!  Rindu sekali.  Bilakah pula masa itu akan datang lagi??
Taklimat Oleh Ustaz Azizul (Suffah Travel)
 2013 rupanya tidak terhenti di situ.  Alhamdulillah juga kerana anak saya Mawardi telah berjaya menghabiskan Ijazah Pertamanya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dalam jurusan Pengurusan Matematik Dengan Kepujian.  Sebenarnya tiada apa yang sangat-sangat dibanggakan oleh seorang ibu dan bapa melain apabila anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.  Kegembiraan berganda Allah SWT berikan apabila Mawardi ditawarkan terus bekerja di Kusatek sebaik selepas habis praktikum di situ.  Alhamdulillah, Mawardi tidak merasai nikmat menganggur seperti siswa-siswi lain yang perlu bersusah-payah memohon pekerjaan.
Bersama Meraikan Ahmad Mawardi di Majlis Konvokesyen di UiTM Arau
 Bagaimana saya ingin melupakan nikmat Allah jika Dia memberi terlalu banyak untuk saya.  Alhamdulillah, tahun 2013 menyatukan hati-hati dalam keluarga saya dengan tautan kasih sayangnya.  Itulah doa saya, dan itulah harapan dan amanat yang ditinggalkan ayahanda Mahmud sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.  Ketika Nyah terlantar sakit (meskipun terasa peritnya ketika itu) namun, janji Allah SWT ternyata tidak pernah dimugnkiri.  Seluruh keluarga bergabung - begitu juga ketika abang saya dijemput menjadi tetamu Allah menunaikan haji ke Mekah.  Dan tanggal 13 Disember 2013 - anakanda saya Aliza melangsungkan perkahwinan setelah melalui pelbagai detik sukar dalam kehidupan.  Semoga Allah SWT sentiasa memberi yang terbaik untuk seluruh keluarga saya walau di mana juga mereka berada.  
Aliza - 14 Disember 2013
2013 untuk keluargaku diakhiri dengan kegembiraan berganda pada tanggal 19 Disember apabila Farah izzati berjaya memperolehi 9A dalam PMR 2013.  Kejayaan ini sebenarnya cukup bermakna buat kami sekeluarga dan saya sangat bersyukur kerana pada masa yang sama anak-anak pelajar di SMK Sultanah Bahiyah turut mencipta sejarah mereka sendiri.  Bersyukurlah kerana Allah SWT memberi yang terbaik untuk saya dan keluarga (kesihatan, anak-anak dan keluarga) - yang cukup besar ertinya untuk saya.
Farah Izzati Bersama Suami - Selepas Menjadi Pengacara Majlis HAC SMKAK 2013
Demikian  Allah mengaturkan untuk saya sepanjang 2013 dengan pelbagai nikmatNya yang tidak mampu pula untuk saya ucapkan.  Alhamudilillah.  Syukur kerana saya dikelilingi insan-insan yang sentiasa mendokong saya untuk terus bernafas dan seterusnya bekerja dan beramal.  Saya sentiasa mengharapkan agar Allah terus memberi saya, suami saya, anak-anak saya, kakak-kakak, abang dan adik-adik saya - kasih sayang yang tiada nilainya.  Juga melimpahkan kami (termasuk para sahabat saya, rakan-rakan setugas saya, juga anak-anak murid saya) rezeki yang dapat kami manafaatkan untuk jalanMu Ya Allah.  Semoga 2014 akan menjadikan kami lebih sempurna akal dan fikiran.  In Sha Allah.

Selamat Datang 2014, Selamat Pergi 2013.  Terima kasih atas nikmatMU.



Selasa, 3 Disember 2013

MERDEKA : HABIS SUDAH SPM

Cepat masa berlalu.  Hari ini 3 Disember 2013.  Sudah cukup sebulan Fatin menduduki peperiksaan SPM.  Cepat sungguh.  Hari ini sebaik habis paper Bahasa Arab - maka merdeka lah Fatin dan rakan-rakan.  

Dulu time aku ambil SPM - sebaik habis sahaja paper akhir (aku dah lupa subjek apa) kami (aku dan beberapa orang kawan - Yatie, Mazailah, Shida, Wa, Basharah, dan lain-lain), mengayuh basikal menyusuri Pekan Kati.  Ala... Kati bukanlah pekan besar seperti Alor Setar.  Sampai sekarang pun Kati masih seperti Kati yang dulu - sunyi, aman dan terasa ketenangannya.  Kami menikmati hari-hari akhir itu bersama - singgah di kedai makan Kak No (Adik Cikgu Ali) yang terletak betul-betul di hadapan jalan masuk ke masjid Kati.  Bukan ada pun makanan istimewa seperti sekarang tapi sebenarnya menu itu sangat sedap di makan - Pecal dan Ais Kacang!  Sedapnya dan itulah kenangan terindah ketika berada di alam persekolahan.



Hari ini anakku Fatin pula menjejaki sejarah yang sama - meninggalkan bangku sekolah sebaik habis SPM 2013.  In Sha Allah jika ada rezeki yang tertulis oleh Allah SWT, Fatin dan rakan-rakan akan melangkah selangkah lagi ke kehidupan seterusnya.  Belajar ke IPT dan seterusnya bekerjaya.  Demikian mudahnya Allah merencana perjalanan kehidupan setiap hambaNya.  

Sebaik habis exam, Fatin dan rakan-rakan meraikan detik perpisahan mereka di rumah sahabatnya Safwan.  Makan-makan dan minum-minum.  Semoga perjalanan kehidupan mereka akan menjadi lebih ceria selepas ini.  Maka akan bermulalah episod kehidupan seorang remaja - belajar untuk menjadi seorang gadis dan wanita.  Apa pun yang pasti, meskipun tahun bertukar-ganti pastikan persahabtan yang terbina antara kalian akan terus utuh kerana sesungguhnya sahabt itu amat besar nilainya dalam kehidupan kita.

Selamat bercuti dan melalui detik-detik kehidupan menjejaki alam dewasa.  Pastikan jati diri kalian sentiasa utuh untuk melalui ranjau kehidupan yang pelbagai dan mencabar. 

Jumaat, 25 Oktober 2013

SEMARAK KASIH SEKALUNG BUDI - PN. RAHINUN MOHD. NOOR

Bagaimana saya ingin memulakan sebuah penceritaan tentang seorang insan yang pada saya cukup istimewa.  Yang hanya saya kenali dalam jangka masa yang agak singkat.  Sebenarnya ketika melangkah ke SMK Sultanah Bahiyah selepas tamat belajar  bukan sebuah mimpi indah untuk saya.  Ini kerana nama SMK Sultanah Bahiyah sentiasa meniti dari bibir ke bibir sebelum saya memasuki ruangnya.  Tika dihubungi  oleh seorang teman dari PPD, saya agak kaget apabila diberitahu yang saya akan ditempatkan di situ. Yalah..., siapalah saya untuk ditempatkan di sebuah sekolah cukup hebat, cukup gah namanya.  Namun kata-kata motivasi suami dan teman-rakan menjadikan saya tidak mahu berganjak ke belakang.  Saya menjejakkan kaki tanggal 1Julai 2008 tepat jam 7.20 pagi di pejabat sekolah.  Hanya selepas 40 minit barulah saya dijemput memasuki ruang kerja insan istimewa itu.

Bermula saat itu saya cuba bekerja - barangkali kadang-kala saya jatuh tersadung lantaran kebanyakan mereka 'berlari' sedangkan saya cuma 'berjalan'.  Beliau tidak pernah menidakkan ketidakupayaan saya meskipun saya tahu saya tidak mungkin dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan keseluruhan staf di SMK Sultanah Bahiyah.  Namun, saya cukup pasti sepanjang berada di SMKSB saya sentiasa berada dalam proses 'belajar' dari dulu hingga kini. 

Sebenarnya banyak yang saya pelajari sepanjang berada di bawah pimpinan beliau. Tunjuk ajar malah teguran bagi saya adalah satu proses - yang kadang-kala menjadikan saya malah teman-rakan yang lain lebih matang untuk berfikir dan bertindak. Sejujurnya, seperti teman-rakan yang lain, ada ketikanya hati berdetik tidak bersetuju pada sesetengah pendapat dan idea.  Namun, selalunya selepas beberapa ketika ada juga idea dan pandangan  yang diusulkan diterimapakai seandainya idea tersebut mempunyai hujah yang cukup bernas.  Suatu yang tidak mungkin saya lupa adalah kepercayaan beliau memberi saya mengendalikan sambutan Hari Guru selepas saya menulis di laman blog tentang keinginan menjadikan Hari Guru satu sambutan yang akan dikenang guru dan murid sepanjang zaman!

Begitu juga sebenarnya ketika saya membentangkan perancangan aktiviti untuk pelajar-pelajar selepas PMR pada tahun 2009 (ketika kali pertama saya diberi kepercayaan mengendalikannya) - ternyata pendapat dan saranan saya diterima dengan sedikit pindaan kerana saya selalu berpendapat proses pembelajaran dan pengajaran tidak hanya berlangsung di bilik darjah.  Malahan yang berlaku diluar bilik darjah yang dilakukan secara pratikal dan amali akan mudah diingati dan difahami sampai bila-bila.  Rasanya pandangan saya itu agak selari dengan pandangan beliau dan ini menjadikan susunan langkah saya lebih mudah pada hari-hari seterusnya.
 Sebenarnya jika ingin diceritakan terlalu banyak memori dan kenangan yang boleh dicatat sepanjang berada di bawah satu bumbung pimpinan beliau. Namun,sebagai manusia kita tidak pernah boleh lari daripada fitrah kehidupan - yang sentiasa mengajar kita untuk terus belajar dan memahami erti sebuah kebenaran. Barangkali jika dilihat pada kemuncak kecemerlangan dan keupayaan, beliau sepatutnya masih boleh meneruskan legasi memimpin dan berkhidmat.  Walau bagaimanapun, apa yang berlaku sebenarnya adalah apa yang kita seluruh warga SMK Sultanah Bahiyah lihat, alami dan rasai sendiri pada tanggal 22 Oktober 2013 yang yang lalu.  Itulah sebuah kebenaran - realiti dari sebuah kehidupan!!

22 Oktober 2013, maka melangkah pergilah seorang insan yang telah mengorbankan lebih separuh usianya kepada dunia pendidikan. Seluruh warga pendidikan 'kehilangan'seorang pemimpin berjiwa besar yang mengabdikan seluruh kehidupannya untuk mendidik anak bangsa, melahirkan ratusan malahan ribuan cerdik pandai, yang kini tumbuh melata di seluruh pelusuk negara juga merebak ke seluruh dunia. 

Kini, meskipun saya dan seluruh warga SMK Sultanah Bahiyah merasakan suatu kehilangan kita kembalikan semula 'dia' kepada keluarganya juga kepada suaminya yang tercinta.


Selamat menjalani kehidupan sebagai seorang pesara, menjadi surirumah sepenuhnya, bonda kepada putera-puteri anda malahan nenek kepada cucu-cucu tercinta. Semoga kehidupan terus diwarnai warna-warna ceria - dunia dan akhirat jua.  Salam Kemaafan, Salam Penuh Keinsafan dari saya untuk Puan Rahinun sekeluarga!!

Rabu, 23 Oktober 2013

AKTIVITI UBK YANG DIJALANKAN

Banyak sungguh aktiviti yang berlangsung di SMK Sultanah Bahiyah, yang melibatkan Unit Bimbingan dan Kaunseling tidak dapat saya kongsikan di blog ini.  Sibuk.., sememangnya kesibukan itu menjadikan saya kadang-kala tidak dapat mengetuk papan kekunci komputer untuk berkongsi maklumat dan pengalaman.  Jumaat dan Sabtu kadang-kala terasa bagai tidak wujud.  Hari bekerja bukan hanya 5 hari seminggu malahan terasa bagaikan tiada rehatnya. Barangkali bukan saya sahaja yang merasakan begitu.  Seluruh warga Bahiyah merasakan kesibukan itu. Namun, alhamdulillah dalam kalutnya kami masih diberi kekuatan untuk tersenyum malahan kadang-kala tertawa juga.


 Aktiviti anjuran Clean & Clear - Kaedah Mencuci Muka yang betul di Dewan Makan Siti Fatimah SMKSB.  Aktiviti ini sebenarnya sudah agak lama iaitu pada 31Julai 2013,cuma kesempatan hanya pada ketika inilah...




  Kursus PRS peringkat daerah anjuran SMSains Pokok Sena pada 8 September 2013.

Program Mengapai Impian di SMK Tunku Abdul Malik pada 11.9. 2013


 Program Peningkatan Profesionalisme Guru-Guru Bimbingan dan Kaunseling Daerah Kota Setar di Kampus OUM Cawangan Kedah pada 1.7.2013


 18.9.2013 Bersama Cikgu Samsudin bin Mahmud Kaunselor Kolej Mara Kuala Nerang - Peluang Melanjutkan Pelajaran Selepas SPM dan Tajaan Biasiswa


 Jamuan Akhir tahun PRS di Holiday Villapada 21.9.2013. Terimakasih diatas kesudian Puan Pengetua untuk turut hadir bersama meraikan anak-anak PRS pada kaliini.




 Majlis Penyerahan Sumbangan Kami Warga Penyayang kepada beberapa orang pelajar terpilih di bilik Puan Pengetua pada 24.9.2013.  Semoga anda terus berkembang menjadi insan berjaya.


 Kem Sukan - Slot Ice Breaking yang saya kendalikan pada 26. 9. 2013 di Dewan SMK Sultanah Bahiyah.  Bukan main seronoknya semua pelajar yang terlibat.




Bermulanya Program Selepas PMR. Sesi Taklimat Disiplin oleh Puan Norazlin binti Mohammad Nasir di bawah Anjung Petah Bicara pada pagi 13 Oktober 2013 dan diikuti dengan aktiviti pemulangan buku teks.  Terima kasih kepada semua yang terlibat.



 Hala Tuju Selepas PMR (14.10.2013) - Jemputan Khas dari Kolej Vokasional Jalan Stadium En.Nasaruddin dan Cikgu Mohd.Sharif dari SM Sains Pokok Sena (SAINA). Jasa anda pasti dikenang.

Jambangan bunga sumbangan Ezee sempena Majlis Persaraan Puan Pengetua pada 22 Okt. 2013. Selamat Bersara Cikgu.

Sebahagian program dan aktiviti yang dikendalikan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Sultanah Bahiyah.  Ada lagi, nanti ada ketika yang sesuai akan saya kongsikan.

Sabtu, 5 Oktober 2013

KEM KEPIMPINAN

Berlangsung sekali lagi kem kepimpinan untuk pelajar-pelajar SMKSultanah Bahiyah.  Kali ini di Kem 6 Rejimen Askar Melayu, Tok Jalai.  Pendekatan yang barangkali sedikit berbeza namun meninggalkan impak cukup besar baik kepada peserta mahu pun guru-guru terlibat.  Rupa-rupanya di sebalik ketebalan tembok batu yang memisahkan warga tentera dengan dunia luar,tersimpan berjuta khazanah yang perlu diterokai dan dikongsi bersama. 





Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh warga kerja 6 Melayu terutama kepada Sarjan Sharizan,Sarjan Johari, En.Zamri dan semua yang terlibat bertungkus-lumus memastikan programberjalan lancar.  Semoga anak-anak SMK Sultanah Bahiyah yang terlibat akan terus berkembang menjadi insan berjiwa kental - punya jati diri!




Jumaat, 13 September 2013

PROGRAM PENGANTARABANGSAAN BUDAYA

SMK Sultanah Bahiyah terus mengorak langkah ke peringkat antarabangsa dengan mengetengahkan Program Pengantarabangsaan Budaya bersama Maktab Duli, Brunei dan SMK Bekenu, Miri, Sarawak bermula pada 28 - 31 Ogos yang lalu.  Tahniah atas komitmen semua.  Semoga SMK Sultanah Bahiyah terus berkembang menjadi salah sebuah sekolah terkemuka.


 Sesi perkongsian Program Penerapan Nilai di ruangan VVIP Maktab Duli.  SMK Sultanah Bahiyah memperkenalkan Program-Program Penerapan Nilai yang disampaikan oleh Pn. Hajah Rahinun Mohd. Noor (Pengetua Cemerlang SMKSB).  Maktab Duli berkaitan Program Mentor-Mentee yang disampaikan oleh Penolong Kanan HEM maktab berkenaan.
Menikmati nasi lemak berwarna hijau sebaik selesai taklimat dan perkongsian ilmu.  Enak!!  Terima kasih warga Maktab Duli.



 

 Kenangan sebelum meninggalkan Bandar Seri Bagawan yang pasti kekal dalam ingatan.  Bandar yang bersih dengan aura keislaman yang begitu tinggi.  Semoga berpeluang untuk datang lagi bersama keluarga suatu ketika nanti.



Di Gua Niah dan SMK Bekenu, Miri, Sarawak.  Bangga denagn sambutan warga SMK Bekenu.  Segala jasa dan budi baik kalian pasti akan dikenang selamanya.  Indahnya kenangan, moga Allah SWT akan terus memberkati persaudaraan ang sudah terjalin.

Tahniah warga SMK Sultanah Bahiyah.  Terima kasih Maktab Duli dan SMK Bekenu serta seluruh warganya.

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...