Khamis, 6 September 2012

PERKEMBANGAN INDIVIDU


Lama sungguh sebenarnya saya tidak menulis di ruangan ini. Banyak sebab mengapa saya tidak berupaya berbuat demikian meskipun ada ketikanya saya berasa begitu banyak idea yang ingin dikongsi bersama. Kekangan masa, kesibukan bekerja juga keadaan mata saya kerap menjadikan pergerakan saya cukup terbatas. Namun saya berasa pula rutin menulis ini perlu saya teruskan untuk mengasah kebolehan diri mengutarakan pendapat dan idea. Itu kepuasan sebenarnya.

Seperti selalunya, setiap hari saya akan diberi masa 'relief' paling tidak 1@2 masa. Sesekali apabila masuk ke kelas yang berbeza tentunya kita mempunyai pelbagai idea untuk dikongsi dengan murid-murid. Tambahan murid-murid perempuan di sekolah saya. Memandangkan saya diberi peluang memasuki Tingkatan 1A1, hari ini saya berkongsi berkaitan dengan tajuk 'Perkembangan Diri Individu' yang saya fokuskan kepada perubahan diri remaja.

Apabila berbicara tentang remaja, kita sedar semua orang akan melalui fasa remaja - suatu fasa yang menarik minat pelbagai pihak dan acapkali pula golongan cendiakawan membuat kajian berhubung golongan ini. Kita sedar bahawa remaja adalah suatu golongan yang sangat penting - menjadi aset kepada kemajuan dan pembangunan negara pada masa hadapan. Remaja menjadi tulang belakang yang akan menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Itu pandangan dan itu juga merupakan sebuah realiti yang tidak mungkin dapat disangkal.

Berbalik kepada anak-anak murid saya di kelas 1A1. Ramai yang gelak-gelak dan tidak kurang pula tunduk malu-malu apabila saya kaitkan dengan perubahan fizikal yang berlaku kepada diri remaja. Bentuk badannya, suaranya juga 'pengunjung bulanan' yang pasti akan datang. Ada juga yang mencuit teman-rakan yang masih belum dikunjungi 'pendatang bulanan'. Termasuk juga yang tertanya-tanya 'apa' yang saya maksudkan. Ternyata ada juga murid-murid saya yang begitu 'daif' - kurang pendedahan dan ternyata malu-malu apabila membahaskan perihal perubahan fizikal pada badan. Saya juga mengaitkan perubahan yang berlaku pada emosi - masa, benci, sayang dan rindu. Semuanya mula berlaku pada diri seorang remaja mulai usia 11 hinggalah 19 tahun. Perubahan itu kata saya tidak akan berhenti di situ. Jika dibiarkan tanpa diurus dengan betul akan mengundang kepada beberapa implikasi - yang positif atau barangkali juga negatif. Semuanya bergantung kepada kebolehan remaja itu mengurus dirinya dan emosi termasuk juga pengaruh teman-rakan dan juga media.

Pada saya, setiap remaja sentiasa mencari-cari identiti diri. Jika tersalah kita mencorakkan mereka maka, akan rosaklah corak tersebut. Namun, keupayaan mencorak remaja sebenarnya tidak hanya bergantung kepada ibu bapa dan guru, tetapi turut dibantu dengan persekitaran termasuk masyarakat, media elektonik dan juga media cetak. Jika kita mengimpikan sebuah negara yang di dalamnya penuh dengan keharmonian dan kasih-sayang maka, tanamkan di jiwa setiap remaja dengan elemen-elemen kasih sayang dan keharmonian juga. Perkembangan yang sihat bagi setiap remaja adalah bagaimana kita menentukan hala tuju mereka melalui acuan kita sendiri tanpa mengabaikan penerapan nilai-nilai dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sahsiah diri mereka.

Demikian saya melihat anak-anak murid saya - yang memerlukan tangan-tangan kita untuk membantu mereka membina perkembangan diri selaras dengan hasrat dan impian kita. Moga jadilah mereka individu (gadis-gadis) yang bakal melahirkan genarasi yang jauh lebih baik untuk masa hadapan. Insya'Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...