Rabu, 25 Julai 2012

SELAMAT MENGERJAKAN UMRAH SAHABATKU

Sebaik habis menamatkan pengajian, amat jarang kami bertemu. Hanya sesekali sahaja kami berhubung melalui telefon. Itu pun bercakap hanya seminit dua. Atau apabila menemui jalan buntu dalam mana-mana masalah kerja. Kami sesekali berhubung atau ber'sms' bertanya khabar. Sesekali apabila duduk merenung kenangan silam, terasa begitu indahnya nostalgia. Masa mengharung kemelut sebagai mahasiswa - dengan pelbagai tanggungjawab lain yang turut membebani diri - ibu, anak, isteri, adik, rakan malah pelajar terus digalas ketika diri begitu nekad menggenggam segulung ijazah. Masa itu segalanya bukan masalah besar. Malah persahabatan kami terus berjalan seiring dengan cita-cita untuk menuju puncak.

Sebenarnya kumpulan kami terdiri daripada 5 orang - tiga perempuan dan dua lelaki. Kami akan sama-sama ke kampus dengan menaiki sebuah kereta. Persahabatan kami amat akrab. Katalah apa sahaja, tiada yang dapat menggugat persahabatan tersebut yang terbina dengan 'aura'nya yang tersendiri. Memandangkan saya yang paling senior (dari segi usia), maka rumah sayalah yang sering dijadikan destinasi pertemuan - bincang, sembang dan juga makan-makan. Maka keluarga kami berlima sudah seperti sebuah keluarga besar. Mengenali antara satu sama lain, saling pula boleh tegur-menegur.

Sebaik habis pengajian, masing-masing kami ditempatkan di daerah masing-masing. Empat orang ke daerah Kubang Pasu manakala saya seorang sahaja yang kembali ke Kota Setar. Sememangnya di Kota Setarlah tempat saya mencari rezeki selama ini dan di sinilah saya membina sebuah keluarga bersama suami dan anak-anak. Alam pekerjaan menjadikan hubungan kami agak terjarak. Masing-masing mempunyai komitmen terhadap tugas yang diamanahkan. Jika ada kerinduan pun, terpaksa kami simpan kerinduan itu demi melunaskan semua tanggungjawab yang terpikul di bahu. Jaranglah juga kami boleh berjumpa lantaran perbezaan daerah. Dan selalunya, sayalah yang 'terpinggir' memandangkan daerah yang berbeza meskipun menyandang jawatan yang sama.

Awal Ramadhan ini, ketika itu saya sedang sibuk melayani beberapa orang, klien yang datang juga guru-guru untuk mendapatkan bantuan. Telefon saya tiba-tiba berbunyi. Kesibukan menjadikan saya tidak dapat menjawab pentas. Hanya beberapa ketika selepas itu barulah saya berjaya menjawab 'sms' tersebut dengan 'sms' juga. Hati terlonjak menghubungi. Sayangnya beberapa kes, termasuk dihubungi seorang waris perihal anaknya, menyebabkan keinginan saya sedikit terbantut. "Maybe petang ini saya agak free. Boleh jugalah saya hubungi dan bercakap panjang dengan Mona". Itu getusan hati saya - yang sebenarnya lebih kepada memujuk.

Kekalutan sepanjang hari itu, menjadikan petang saya begitu kepenatan. Terlupa saya untuk menghubungi sahabat saya itu sehinggalah hari menginjak menemui hari berikutnya. Pagi ketika ingin ke sekolah dan mencapai handphone yang dicas, hati tiba-tiba sebak. "Mona dengan keluarganya pi umrah semalam. Tak sempat pun bercakap.." Kata saya kepada suami untuk menghilangkan rasa bersalah yang teramat. Suami saya hanya mengulas sepatah dua dan perbualan kami hanya habis di situ.

Sebenarnya tulisan ini hanyalah satu tulisan yang menggambarkan kekecewaan saya - lantaran kedhaifan dan ketidakperihatinan saya sehingga keberangkatan sahabat saya yang selama ini bersusah-senang bersama tidak dapat saya raikan. Namun, di kejauhan ini saya akan sentiasa mendoakan mereka - selamat pergi dan selamat kembali. Selamat juga menunaikan umrah yang tentunya sangat meriah ketika buan Ramadhan ini. Kemaafan juga sebenarnya yang ingin saya pohonkan kerana sehingga masa pemergian kalian saya tidak langsung menghubungi. Tidak pernah melupakan kerana ikatan persahabatan kita itu terlalu besar ertinya buat saya. Salam kemaafan, salam Ramadhan sahabatku Mona Fairuz dan suami!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...