Sabtu, 30 Jun 2012

Teks Ucapan Perhimpunan Mingguan

Bagi yang memerlukan, ini adalah teks ucapan dalam suatu perhimpunan mingguan pada tahun 2011. Jika boleh digunapakai untuk memudahkan urusan guru-guru bertugas bolehlah berkongsi jika suka.

Para pelajar
yang dikasihi,

Hari ini 4 September 2011 bersamaan dengan 6 Syawal. Saya tahu rata-rata pelajar dan guru masih dalam ‘mood’ raya – justeru saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat hari raya dan maaf zahir batin. Namun, dalam kemeriahan kita berhari raya, setiap kita mempunyai peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Begitu juga semua pelajar yang berada di hadapan saya pada hari ini. Memandangkan peperiksaan PMR juga semakin hampir maka sudah sewajarnya kita lebih cenderung merasa risau untuk berhadapan dengan PMR berbanding berhadapan dengan kemeriahan menyambut Aidil Fitri ini.

Jadi pada kesempatan ini saya suka untuk berkongsi idea dan maklumat berkaitan dengan Persediaan Menghadapi PMR 2011. Sekuarang-kurangnya para pelajar dapat menjadikan maklumat ini sebagai garispanduan sebelum tibanya hari bersejarah iaitu Peperiksaan PMR pada 3 Oktober 2011 nanti.

Jangan ambil keputusan untuk tidak hadir ke sekolah pada saat-saat akhir sebelum peperiksaan tiba dengan alas an remeh-temeh dan tidak munasabah. Contohnya mengikut ibu bapa menghadiri kenduri atau majlis rumah terbuka. Sebenarnya pada saat-saat akhir banyak maklumat dan juga tips yang akan dikongsi bersama oleh para guru.

Jaga diri anda terutama dari segi keselamatan, kesihatan fizikal dan kesihatan emosi. Jika keselamatan diri terganggu, kesihatan fizikal dan emosi tergugat para pelajar berkemungkinan berhadapan dengan masalah ketidakhadiran ke sekolah. Atau dalam istilah yang lain ‘ponteng’ sekolah.

Jangan lakukan dan cuba elakkan diri anda melakukan sebarang aktiviti yang boleh membawa kepada kecelakaan dan kecederaan seperti menunggang motosikal dan makan secara berlebihan. Saya pasti semua pelajar sudah tentu tidak mahu mengambil peperiksaan di dalam wad di hospital. Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau kita tidak berhati-hati kita sebenarnya mendedahkan diri kita kepada pelbagai kemungkinan. Jadi sebaik-baiknya para pelajar berada di rumah dalam musim menjelangnya peperiksaan ini.

Selain itu kesihatan mental juga perlu dijaga sebaik-baiknya. Saya tahu semakin hamper dengan peperiksaan semakin ramai pelajar merasa takut akan kegagalan. Tambahan pula harapan kedua-dua ibu bapa dan guru begitu tinggi terhadap anda. Bagi mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah berfikiran positif. Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan. Tidak perlu anda bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya. Sekiranya anda memikirkan kegagalan maka anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan halangan. Ini akan melemahkan semangat anda. Ia juga membuatkan anda meragui kebolehan diri anda.

Dalam saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk gangguan terhadap emosi. Beberapa perkara perlu dielakkan. Antaranya adalah:

  • Pertengkaran dengan rakan-rakan – elakkan sebarang bentuk situasi yang boleh menimbulkan ketidaksenangan di hati semua pihak terutama rakan-rakan
  • Melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa marah – sekiranya ibu bapa marah perasaan dan konsentrasi kita akan terganggu.
  • Cinta monyet yang mungkin kecundang disaat-saat peperiksaan – abaikan semua perasaan yang boleh menganggu diri anda.
  • Bersikap terlalu yakin - "overconfident". Jangan bersikap overconfident kerana ini akan menjejaskan rasa ingin menyemak semula apa yang anda lakukan.
  • Berprasangka buruk terhadap orang lain – elakkan daripada sifat prasangka lebihkan kepada berbaiksangka kerana ini dapatmembersihkan diri anda,

Selain dari persediaan fizikal, mental dan emosi, persediaan rohani juga perlu. Anda perlu faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allah lah yang menentukannya. Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu disaat-saat menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu untuk meraih ketenangan ini seperti bermunajaat, mohon restu ibu bapa dan guru, berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan elakkan maksiat.

Para pelajar sekalian,

Apapun yang penting sepanjang lebih kurang sebulan sebelum peperiksaan PMR ini berlangsung, saya menyeru kepada para pelajar marilah kita sama-sama menguatkan semangat dan azam kita untuk meraih kejayaan cemerlang kerana sesungguhnya kecemerlangan itu adalah milik semua orang yang berusaha.

Sekian, terima kasih.

1 ulasan:

  1. teks ini bagus saya akan jadikannya sebagai panduan dalam ucapan saya.thaks cikgu

    BalasPadam

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...