Khamis, 24 November 2011

MARI BERTEKA-TEKI BERSAMA SAYA

Sesekali apabila duduk-duduk menghabiskan masa bercuti sambil menjaga anak ketiga saya (Fatin Naimah) yang diserang demam sejak beberapa hari lalu, tangan dan minda saya tergerak untuk berkongsi teka-teki - sebahagian daripada warisan puisi lama kita. Dulu semasa arwah bapa saya masih ada, beliau kerap berteka-teki dan keluarga kami seringkali riauh-rendah menjawab setiap teka-teki yang diajukan arwah. Seronoknya masa itu, sambil gelak-gelak ada ilmu yang ayahanda saya terapkan. Sayangnya masa itu tidak mungkin akan berulang. Rindu saya pada arwah yang kaya dengan ilmu puisi lama(tradisional). Alfatihah untuk kedua-dua ayahanda dan bonda saya yang sudah pergi jauh meninggalkan saya dan keluarga - moga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang bertaqwa.

PANTUN TEKA-TEKI

Burung nuri burung dara
Terbang ke sisi taman kayangan
Cubalah teka wahai saudara
Semakin diisi makin ringan?

Bunga orkid indah warnanya
Penyeri taman dan juga hutan
Ramai orang datang bertanya
Bintang apa hidup di lautan?

Kelip-kelip kusangka api
Kalau api mana asapnya?
Hilang ghaib disangkakan mati
Kalau mati mana kuburnya?

Budak-budak bermain batu
Batu dikira satu persatu
Badannya lurus bermata satu
Ekornya tajam apakah itu?

Masak tumis sambal petai
Makan kenyang sambil sendawa
Anda menziarah sahabat handai
Buah apakah yang akan dibawa?

Belayar perahu dari Bentan
Menyusur tepi Selat Melaka
Lebar kepala dari badan
Apakah ikan cubalah teka?

Mak Minah menanak minyak
Kemenyan dibakar dengan setanggi
Dua peha beranak banyak
Untuk mendaki tempat yang tinggi?

Orang bekerja diberikan upah
Hidangan disaji dalam talam
Gajah putih ditengah rumah
Layar terkembang di waktu malam?

Gigi berduri tatah bersigai
Pembelah kayu ia berguna
Jika tuan orang yang pandai
Benda apakah makannya dua cara?

Jika ke kedai pergi berbelanja
Belikan saya sudu dan senduk
Jika pandai katakan ia
Semakin berisi semakin menunduk?

Senarai Jawapan

Jawapan 1 : Belon
Jawapan 2 : Tapak Sulaiman
Jawapan 3 : Kilat
Jawapan 4: Jarum
Jawapan 5: Buah Tangan
Jawapan 6: Ikan Pari
Jawapan 7: Tangga
Jawapan 8: Kelambu
Jawapan 9: Gergaji
Jawapan 10: Padi



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...