Ahad, 8 Ogos 2010

GURU JUTAWAN AKHIRAT

Menghadiri Kursus Dalam Perkhidmatan sehari di Dewan SMK Sultanah Bahiyah pada kali ini memberi satu kepuasan dalam diri. Sebenarnya aku memang kurang berminat menghadiri majlis-majlis berbentuk bual bicara yang menghubungkaitkan tentang buku. Memang aku kurang berminat dengan bicara buku mengikut sudut pandangan penulis sendiri kerana aku berpendapat setiap orang mempunyai sudut pandangan yang berbeza terhadap bahan yang dibaca. Itu pandanganku sebelum mengikuti kupasan idea oleh Tuan Haji Shopuan Anuar Haji Ahmad dari Unit Dakwah Sektor Pendidikan Islam dan Moral Jabatan Pelajaran Negeri Selangor.

Seusai program sehari yang dihadiri hampir 200 orang peserta dari lima (5) buah sekolah berhampiran, aku merasai satu kepuasan. Secara ikhlasnya kupasan Tn. Haji Shopuan bukan menjurus kepada buku tulisannya “Guru Jutawan Akhirat”. Itu fahamanku. Tetapi lebih kepada bagaimana seorang guru boleh melangkah dalam ruang yang cukup luas dan terbuka kepada seorang jutawan ketika di akhirat dengan segala kerjabuatnya ketika menjadi seorang guru. Itulah yang menyebabkan pesepsiku dari awal tersasar jauh. Itu juga menyebabkan aku merasakan bahawa bicara buku yang kuhadiri kali ini amat berbeza dengan yang sebelumnya.

Sebenarnya, awal mengikutinya program yang bermula jam 9.00 pagi dengan sedikit kekalutan teknikal kerana masalah vision komputer berbeza antara penceramah dengan yang disediakan oleh jawatankuasa program, aku menjangkakan program ini pasti tidak menjadi. Yalah, awal sudah macam-macam yang berlaku tambahan ketika Tn. Haji Shopuan memperkenalkan buku-buku yang telah berjaya diterbitkan oleh beliau, aku menjadi sedikit rimas. Namun sebaik Tn. Haji Shopuan memanjangkan mukaddimah dengan memperkatakan mengapa kita perlu belajar dalam apa juga situasi sama ada jahil, mengetahui atau yang alim, aku merasakan aku juga perlu berbuat demikian. Prasangka dan pesepsi awal yang telah aku bentuk, aku buang jauh-jauh kerana sesungguhnya aku tidak sepatutnya ‘melabel’ sebelum mengenali sesuatu dengan lebih dekat. Sebenarnya itulah yang telah aku pelajari sebelum ini dan aku berasa cukup bersalah kerana membiarkan emosi menguasai diri.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa guru merupakan insan yang amat mulia di sisi Allah SWT tidak kira apa juga subjek yang diajarinya. Namun kemuliaan guru akan lebih terserlah sekiranya guru sentiasa beriman kepada Allah SWT. Demikian mulianya seorang guru!! Jadi aku merasakan bahawa seorang guru yang mulia dan hebat perlu sentiasa punya kekuatan diri, tidak merendah diri, perlu sentiasa hebat di mata dan di hati setiap muridnya, sentiasa menghubungkan ilmu dengan iqra dan bersedia membina manusia agar setiap perkataan yang ajar akan menjadi ‘nur’ untuknya di akhirat. Oleh itu, guru-guru tidak seharusnya mengajar hanya jasad ilmu sahaja sebaliknya selit dan kaitkan setiap apa yang ajar dengan ketuhanan dan keagamaan. Allahuakbar! Subhanallah!! Maha hebat Allah menjadikan kita dan menyusun atur kehidupan kita.

Menghadiri kursus seperti ini yang sering mengingatkan aku, menjadikan aku cukup insaf dengan situasi di sekolah. Sebagai graduan dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling dan seterusnya menjadi kaunselor pelajar di sekolah aku sering berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia. Baik guru-guru, para pelajar mahupun kadang kala ibu bapa. Yang pastinya mempunyai seribu satu macam karektor. Sering berhadapan dengan rakan sejawat yang menggunakan pendekatan yang jauh tersasar seperti saranan Dr. Uthman El-Muhammadi, aku merasakan betapa mereka menjadi insan yang rugi. Bukanlah bererti aku memenuhi kesemua lima (5) kateria yang disarankan namun, sedikit keinsafan sebenarnya timbul kerana ramai guru hanya menjadi mudarris sahaja tetapi tidak menjadi muallim, muaddib, murabbi dan mursyid. Hanya segelintir yang boleh dihitung dengan jari menjadi al-walid dan dai’e seperti tambahan tugas dan peranan guru oleh Iman Al-Ghazali!!

Aku merenung jauh dalam diri dan merasakan begitu kerdilnya seorang aku dalam lautan perguruan yang di hadapannya terbentang hamparan permaidani luas untuk kami jejaki. Alangkah ruginya seorang guru jika tidak merebut peluang yang telah dihamparkan untuknya. Betapa insafnya aku kerana selama ini aku juga insan guru yang tidak pernah berlapang dada mendoakan anak-anak muridku sedangkan aku sering meminta-minta agar orang lain mendoakan aku. Alangkah insafnya aku kerana selama ini aku tidak menghiaskan diriku luar dan dalam untuk anak-anak muridku menuju jalan ke puncak. Dan alangkah malangnya aku kerana tidak menunjukkan sesuatu yang baik yang bermula dari aku untuk anak-anak muridku. Ternyata aku selama ini tenggelam dalam egoku sendiri kerana sering merasakan bahawa akulah guru hebat yang tidak mahu menundukkan diri memandang tanah.

Terima kasih Tn. Haji Shopuan, kerana merintis jalan dan membuka segala yang suram selama ini. Maaf kerana membuat pesepsi awal sebelum mengikuti bual biacara yang pada aku mampu menginsafkan diri. Moga akan terbik satu titik keinsafan bagi semua guru yang leka dan menjadikan kerja ini sebagai satu ibadat yang perlu diqadakan untuk menampung mana-mana yang tertinggal kerana insya’Allah jalan untuk ke syurga terbentang luas di hadapan kita!!

27 Julai 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...