Isnin, 18 Ogos 2025

UCAPAN SEMPENA PERSARAAN PILIHAN PADA 31 OKT. 2023

(Teks Ucapan Sempena Persaraan Pilihan Pada 31 Okt. 2023)


Terima kasih Tuan Pengara Majlis.

Yang Berusaha Tuan PPD Kota Setar, Tuan Haji Wan Khalim bin Ahmad.

Yang Berusaha Pn. Murni Wati binti Abdul Karim, Kaunselor Pendidikan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah merangkap Pemangku Ketua Kaunselor Pendidikan Negeri Kedah.

Yang Berusaha Tuan-Puan Timbalan PPD Pejabat Pendidikan Kota Setar, Tuan dan Puan SIP+, Tuan dan Puan SISC+,  Rakan-Rakan Kaundelor Pendidikan Daerah dari seluruh Daerah dalam Negeri Kedah, Rakan-Rakan Pegawai PPD Kota Setar serta semua sahabat AKP PPD Kota Setar yang dikasihi sekalian.

Assalamualaikum wbh dan Salam Sejahtera.

Pertama sekalim izinkan saya merakamkan ucapan syukur dan terima kasih kerana tuan-puan jawatankuasa telah berjaya menganjur dan mengadakan majlis semeriah dan seceria ini untuk meraikan hari terakhir saya sebagai pegawai perkhidmatan awam hari ini.  Bagi saya, pengajuran majlis ini adalah satu penghormatan yang tidak ada nilainya yang pasti akan saya kenang sepanjang hayat saya.  Terima kasih semua. 

Kedua, ucapan terima kasih terutama kepada Tuan PPD Kota Setar kerana telah menerima saya seadanya (termasuk segala kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri saya) sebagai keluarga besar PPD Kota Setar selama 3 tahun 11 bulan saya menjadi sebahagian daripada keluarga ini.  Sebenarnya, jika dibandingkan dengan rakan-rakan pegawai yang lain, saya selalu merasakan kerdil dan tidak layak sehingga saya mengambil masa yang agak lama (panjang) untuk belajar banyak perkara di sini jika dibandingkan dengan orang lain.  Namun, saya amat bersyukur kerana rakan-rakan di PPD ini banyak membantu ketika proses saya belajar dan menyesuaikan diri.  Sebagai orang baru, saya kerap tertinggal di barisan paling belakang kerana saya masih terkapai-kapai mencari trek/laluan yang sesuai sedangkan orang lain sudah jauh berlari meninggalkan saya keseorangan.




Sesungguhnya saya amat bersyukur kerana memiliki rakan-rakan AKP yang banyak membantu merealisasikan tugas-tugas saya terutama yang berkaitan dengan perkhidmatan psikologi dan kaunseling.  Kesemua mereka daripada barisan tertinggi iaitu EO, Pegawai Tadbir, Akauntan, Pegawai Kewangan serta barisan tenaga kerja dari Sektor Pengurusan dan Pentadbiran PPD, telah banyak memudahkan saya menyelesaikan banyak hal  berkaitan warga pendidikan di Daerah Kota Setar.  Tanpa bantuan semua pihak ini sudah pasti saya tidak dapat menyelesaikan tugas-tugas  menyantuni warga pendidikan yang dirujuk dan memerlukan bantuan.  Terima kasih semua dan saya sangat terhutang budi.


Memandangkan saya tidak mampu bekerja sendirian dalam menyelesaikan banyak perkara, sudah pasti saya berhubung dan bekerjasama dengan pelbagai pihak.  Dalam interaksi tersebut sudah pasti tanpa sedar, ada tingkahlaku dan tutur kata yang mungkin mencalar hati insan lain tanpa saya sedari.  Izinkan saya menyusun sepuluh jari memohon ribuan kemaafan kepada semua baik dalam berbicara, bertingkah-laku atau dalam penulisan di mana-mana media sosial pejabat (wasap atau telegraam), sehingga menyinggung tuan-puan baik dalam kalangan sahabat para pegawai mahu pun sahabat-sahabat AKP sekalian.  Maafkan saya atas keterlanjuran tersebut.

Perkara ketiga yang saya ingin mohon dengan rendah hati daripada semua adalah halalkan segala-galanya sama ada saya termakan atau terminum, terambil atau terpakai (seperti ilmu, wang ringgit, tenaga dll) dari sekecil-kecil perkara sehinggalah yang paling besar.  Mungkin, pertemuan kita hari ini adalah pertemuaan terakhir dan kita tidak dipertemukan lagi walau dalam apa-apa situasi.  Jadi, dikesempatan ini tolong halalkan segala sesuatu yang tuan-puan pernah beri atau kongsikan dengan saya dan saya juga menghalalkan setiap satu apa juga yang pernah saya kongsikan dengan tuan-puan sekalian.



Apabila saya mengambil pendekatan berpencen secara pilihan, ramai juga yang datang bertanya mengapa saya berbuat demikian?  Kata orang, datanglah ketika diperlukan dan pergilah ketika orang masih suka dan sayang.  Jadi, saya mengambil keputusan meninggalkan dunia pendidikan yang telah berdarah-daging dalam diri saya ketika masih ada rakan-rakan di sini yang masih suka dan kasih kepada saya.  

Manakala sebab kedua kerana tanpa sedar, saya telah mengabdikan diri dalam dunia pendidikan ini selama hampir 35 tahun.  Sehingga saya kerap merasakan bahawa dunia dan kehidupan saya adalah sekolah dan kerjaya.  Banyak tugas-tugas hakiki sebagai isteri dan ibu terabai sepanjang tempoh 35 tahun itu kerana saya lebih memberi fokus kepada pembangunan anak-anak di sekolah berbanding dengan pembangunan anak-anak sendiri.  Jadi hari ini, izinkan saya kembali ke pangkuan suami dan anak-anak - yang mungkin telah saya abaikan sepanjang tempo 'ralitnya' saya mengejar kesempurnaan kerjaya.  Tambahan pula suami saya sendiri sudah meninggalkan kerjayanya sejak 8 tahun dahulu lagi.

Sebelum berakhir, sedikit pesanan buat semua dan juga diri saya sendiri

  • Jika kita ingin mencapai kejayaan dalam organisasi yang penting adalah kesepakatan.
  • Jika kita ingin mencapai kesepakatan dalam organisasi yang penting adalah kepercayaan
  • Dan jika kita ingin membina kepercayaan dalam organisasi  yang penting adalah penerimaan.
Kerana sesungguhnya kita semua
  • Ingin dihormati tetapi sejauh mana kita belajar menghormati orang lain
  • Ingin disayangi tetapi sejauh mana kita belajar menyayangi orang lain
  • Ingin diingati tetapi sejauh mana kita mengingati orang-orang lain yang ada di sekeliling?
Akhir kata, terima kasih Tuan PPD dan timbalan-timbalan PPD Kota Setar.  Terima kasih rakan-rakan pegawai dan rakan-rakan AKP.  Terima kasih semua.  Anda adalah sahabat terbaik saya dunia dan akhirat.



Assalamualaikum wbh. dan salam sejahtera buat semuanya.

Tanggal 31 Okt. 2023.  11.00 pagi. Ruang Legar PPD Kota Setar.

UCAPAN SEMPENA PERSARAAN PILIHAN PADA 31 OKT. 2023

(Teks Ucapan Sempena Persaraan Pilihan Pada 31 Okt. 2023) Terima kasih Tuan Pengara Majlis. Yang Berusaha Tuan PPD Kota Setar , Tuan Haji Wa...