Selasa, 9 Ogos 2016

PADA SEBUAH KEBAHAGIAAN ADA SECEBIS KERINDUAN







KAWAN-KAWAN MEMAINKANPERANAN BERKESAN DALAM MEMBINA SAHSIAH

DEBAT (KERAJAAN)

Perdana Menteri
Dengan lafaz bismillahirahmanirrahim, saya membuka arena perdebatan pada hari ini. Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang Dipertua, barisan kerajaan, perwakilan pembangkang, Ahli-ahli Yang Berhormat sidang parlimen sekalian. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera dan selamat bersidang.

Tuan Yang Dipertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Saya amat bersyukur kerana berkat keamanan dan keharmonian bawah kepemimpinan kerajaan pada hari ini dewan kembali bersidang untuk membahaskan satu usul yang begitu penting untuk dilaksanakan.
Selaku Perdana Menteri, izinkan saya membentangkan usul “Kawan-Kawan Berperanan berkesan Dalam Membina Sahsiah Pelajar”. Saya percaya bahawa selepas perbahasan sidang dewan yang mulia ini, usul ini bakal diluluskan dengan sokongan suara majoriti.

Tuan Yang Dipertua, Sidang hadirin sekalian,
Terlebih dahulu izinkan saya mendefinisikan tajuk perdebatan kita pada hari ini mengikut frasa demi frasa bagi memudahkan pemahaman kita. Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 – kawan-kawan atau para sahabat ialah sekumpulan rakan sebaya yang sama umurnya,  mempunyai lingkungan latar belakang yang sama dan suka berada bersama-sama dalam pelbagai aktiviti serta mempunyai  matlamat yang sama atau dalam kata lain mereka mempunyai minat yang sama.
Manakala Menurut Sharifah Alwiah Alsagof (1987) – kawan-kawan bermaksud sekumpulan rakan sebaya @ sekumpulan sahabat daripada lingkungan umur, latar belakang dan minat yang lebih kurang sama. Atau Boleh dikatakan mereka merupakan sahabat yang selalu bersama ketika melakukan pelbagai aktiviti-aktiviti sosial.
Manakala frasa berperanan berkesan bermaksud terlibat secara langsung dan bertanggungjawab denganmenimbulkan hasil kesudahan yang diharapkan atau membawa kepada sesuatu perubahan yang efektif. Membina pula bermaksud  membentuk atau menjadikan. Frasa ‘Sahsiah pelajar’ pula menjurus kepada  keperibadian atau tingkahlaku seseorang murid, individu atau pun remaja.
Maka, tajuk perdebatan pada hari ini bolehlah kami rumuskan kepada sekumpulan sahabat atau  rakan sebaya yang selalu melakukan aktiviti-aktiviti sosial secara bersama-sama akan terlibat secara langsung serta bertanggungjawab dalam pembentukan keperibadian atau tingkahlaku seseorang murid, individu ataupun remaja dengan pembentukan yang sewajarnya.

Tuan-tuan dan puan-puan sidang dewan yang dimuliakan,
Menyusuri Hujah saya  yang pertama - Menurut Mustafa Fahmi (1971) seseorang pelajar @ remaja cenderung menuruti tingkah laku kumpulan di mana ia berada.  Pelajar @ remaja terbabit akan bersungguh-sungguh mencuba dan meniru tingkah laku ahli-ahli dalam kumpulannya.  Mereka juga akan melakukan  apa sahaja yang dilakukan atau dibuat oleh ahli kumpulannya.  Tujuannya hanya satu iaitu untuk dilihat setara atau sama taraf dengan rakan-rakannya yang lain.   Kajian juga membuktikan, seseorang yang rapat dengan rakan / kawan berbanding keluarga, sangat mudah dipegaruhi sama ada ke jalan yang benar atau ke jalan sebaliknya.   Ini kerana mereka akan saling mencabar untuk melakukan sesuatu, walaupun mereka tahu perkara itu salah atau boleh memudaratkan diri sendiri. Namun kerana “darah muda” dan untuk membuktikan kehebatan, mereka sanggup melalkukan perkara yang berbahaya dan sia-sia.Bak kata pepatah, “menang jadi arang, kalah jadi abu”.   Jadi secara kesimpulannya, jika seseorang itu bergaul dengan  rakan-rakan yang baik maka  akan wujudlah tingkahlaku yang positif dalam dirinya.  Manakala  jika seseorang itu berkawan dengan rakan-rakan yang kurang baik tingkah lakunya, maka akan terbentuklah tingkahlaku atau personaliti negative dalam dirinya seperti  kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.” Nah tuan-tuan dan puan-puan – sudah terang lagi bersuluh; tak tumbuh tak melata, tak sungguh saya tak kata – kesemua fakta yang saya nyatakan tadi  jelas membuktikan bahawa kawan-kawan atau rakan sebaya  akan memberi impak kepada pembentukan personality individu sama ada baik atau sebaliknya. Maka tidak hairanlah mengapa orang tua-tua selalu selalu mengingatkan kita  – jika ingin mengenali peribadi seseorang maka lihatlah kawan-kawannya.

Menteri 2
Tuan Yang DiPertua, memegang mandat selaku Menteri Kedua pada hari ini, saya tetap berdiri teguh di belakang Y.A.B Perdana Menteri dalam menyokong gagasan usul, Kawan-kawan Berperanan berkesan Dalam Membentuk Sahsiah Pelajar. Maka, sememangnya kami di pihak kerajaan sudah pasti menolak definisi usul yang telah dipinda oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi. Seterusnya, saya akan teruskan hujah-hujah konkrit kami di meja kerajaan. Harapannya semoga pihak pembangkang akan terbuka matanya serta tercelik mindanya untuk menerima kenyataan bahawa usul yang digagaskan pada hari ini sememangnya benar.

Tuan Yang Dipertua serta warga dewan kesemuanya,
Hujah kedua kami di meja perwakilan kerajaan ialah  – Lumrah remaja untuk berkawan. Namun begitu pilih rakan yang boleh dipercayai. Rakan / kawan merupakan tempat untuk  berkongsi masalah dan rahsia atau bercerita tentang sesuatu perkara termasuk masalah yang bersifat peribadi.   Jika dibiarkan mudah terikut-ikut akan perlakuan rakan. - jika rakan baik – peribadi remaja juga akan baik. - jika terpilih rakan yang negatif, mereka akan membentuk peribadi yang negatif.  Ibu bapa harus tahu latar belakang dan rakan-rakan anak-anak mereka.Bak kata pepatah; ‘sayangkan anak, tangan-tangankan’.Menurut YB Dato’ Sri Rohani binti Hj. Abd. Karim Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat penglibatan pelajar /remaja dengan rakan sebaya tanpa pengawasan yang sewajarnya daripada keluarga dan ibu mengakibatkan kadar keruntuhan akhlak dan jenayah dalam kalangan remaja / pelajar semakin meningkat. Menurut statistik Bukit Aman pengaruh rakan sebaya merupakan punca berlakunya gejala sosial black metal, buli, vandalisme, ragut dan lain-lain.  Hal ini dapat dibuktikan melalui pergaulan bebas remaja yang menyebabkan mereka terjebak dalam kancah negatif dan aktiviti - aktiviti yang tidak berfaedah.Pergaulan rapat dengan rakan yang rendah kedudukan moralnya menyumbangkan pengaruh terhadap remaja.Hal ini kerana remaja lebih suka menghabiskan masa bersama kawan-kawan berbanding dengan ibu bapa kerana kekangan tertentu.Selain itu, remaja lebih selesa menceritakan masalah mereka kepada rakan-rakan kerana hubungan yang terjalin melahirkan dasar kepercayaan melalui pengalaman yang boleh dikongsi bersama.Secara tidak langsung, keperibadian seseorang remaja di pengaruhi oleh rakan sebaya. Pasti tuan-puan sidang dewan masih terbayang-bayang akan filem ‘Anakku Sazali’?  Nah tuan-tuan dan puan-puan, filem ‘Anakku Sazali’ merupakan salah satu bukti bagaimana rakan sebaya mempengaruhi tingkahlaku sehingga mencorak keperibadian Sazali yang jauh menyimpang daripada tingkahlaku dan keperibadian bapanya.Terlalu banyak sikap-sikap negative yang ditonjolkan watak Sazali akibat terpengaruh dengan rakan antaranya termasuklah kegiatan vandalisme seperti merosakkan harta benda awam untuk memenuhi masa lapang mereka, membuli, merogol, memeras ugut dan lain-lain termasuk melibatkan diri dalam kegiatan kongsi gelap.Konkulsinya ingin saya tegaskan sekali lagi “Kawan-Kawan Sememangnya Berperanan berkesan Dalam Membina Sahsiah Pelajar”.

Tuan Yang Dipertua serta warga dewan sekalian,
Jika tadi kita melihat pembentukan sahsiah yang negatif akibat penagaruh kawan-kawan, tidak kurang juga para rakan turut membantu pembentukan sahsiah ke arah positif seseorang pelajar atau remaja. Menurut Teori Perkembangan Kohlberg, rakan sebaya dapat membentuk satu perlakuan serta keperibadian mulia seseorang individu.  Contohnya mendorong kepada pencapaian yang cemerlang dalam satu satu mata pelajaran kerana sikap, keperibadian serta personaliti pelajar akan berubah mengikut rentak personaliti rakan sebaya yang signifikin dengan mereka.  Selain itu, mereka turut memperolehi sokongan emosi dan sosial dan belajar berdikari melalui rakan sebaya mereka termasuk kepada aspek pemilihan kerjaya, rakan sebaya yang baik akan membantu rakannya untuk membuat pilihan yang tepat. Jadi tidak hairanlah kenapa kita dapati ada di antara remaja akan bersikap lebih matang dan dewasa serta dapat berfikir secara rasional memandangkan mereka dikelilingi oleh rakan-rakan yang sentiasa menyokong perkembangan diri mereka kearah yang lebih baik.

Sebelum saya mengundur diri, saya tegaskan sekali lagibahawa kami di perwakilan kerajaan sememangnya menyokong penuh usul pada hari ini iaitu Kawan-Kawan Berperanan berkesan Dalam Membina Sahsiah Pelajar.Semoga usul pada hari ini disokong sebulat suara.Mohon terus mencadang.

Menteri 3
Sayang-sayang Buah Kepayang,
Sayang Hujah Pembangkang Pincang,
Jaga-jaga Pihak Pembangkang,
Menteri Ketiga, datang bertandang.

Sudah terang lagi bersuluh, rakan-rakan sememangnya berperanan berkesan dalam membina sahsiah pelajar. Maka kami di barisan Kerajaan masih seia  dan sekata, menyokong Usul pada hari ini. Kami berpegang teguh kepada pendirian kami bahawa kawan-kawan berperanan berkesan dalam membina sahsiah pelajar atas dasar atas rasional wujudnya impak-impak positif dalam diri pelajar itu sendiri.

Tuan Yang Dipertua, warga dewan sekalian,
            Untuk menolak usul yang dikemukakan oleh pihak Pembangkang, saya akan mendedahkan satu persatu kelemahan hujah- hujah pincang lagi songsang yang dilakukan oleh perwakilan Pembangkang sebentar tadi.

Kelemahan pertama pihak pembangkang ialah – Menurut Pembangkang Pertama 1 ‘Kawan-Kawan TIDAK Berperanan berkesan Dalam Membina Sahsiah Pelajar’ tetapi terdapat unsur lain iaitu Pengaruh Keluarga.  Ingin saya tegaskan di sini berdasarkan Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),  kebanyakan kes yang membabitkan remaja terjerumus ke dalam kegiatan tidak bermoral didapati berpunca daripada tekanan dan dorongan serta cabaran rakan sebaya. Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang besar dalam jiwa remaja sehingga menjerumuskan diri dalam masalah yang mampu membinasakan antaranya, ponteng sekolah, lari dari rumah, merokok, penyalahgunaan dadah dan melakukan perbuatan tidak bermoral.Kegiatan samseng jalan raya juga dilihat disebabkan pengaruh rakan sebaya di kalangan pelajar di mana kes dicatatkan semakin meningkat.Pada 2007 sebanyak 834 kes dilaporkan, berbanding 515 kes pada 2006.Dan ini membuktikan kesemua kes ini bukan disebabkan oleh keluarga.  Ini kerana Ramai remaja mengalah kepada tekanan rakan sebaya kerana tidak tahu cara berkata ‘tidak’ kepada rakan mereka. Mereka tidak dapat berlatih menyuarakan sebarang percanggahan pendapat. Remaja perlu tunjukkan bahawa mereka mempunyai keberanian moral untuk tidak bersetuju dan katakan ‘tidak’ apabila rakan-rakan sebaya cuba mendesak untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan budaya murni dan undang-undang. Ini akan menguatkan naluri untuk melakukan apa yang dirasakan betul dan bukannya mengikut mata orang lain serta mempunyai keberanian untuk mempertahankan pandangan sendiri.

Kerapuhan usul kedua yang dilakukan oleh pihak pembangkang ialah - Menurut Pembangkang ke-2 faktor lain yang mempengaruhi personaliti remaja adalah Peranan Masyarakat dan Peranan Agama.  Pada pendapat saya kedua-dua hujah yang dikemukakan adalah tidak logik sama sekali kerana sikap remaja tidak yakin kepada diri sendiri lebih mudah mengalah kepada tekanan rakan sebaya menjadi punca utama “Kawan-Kawan Berperanan berkesan Dalam Membina Sahsiah Pelajar”.  Sebenarnya mereka boleh membina harga diri mereka dengan mengingatkan nilai mereka sebagai seorang individu tidak bergantung pada kepopularan mereka dalam  kalangan kawan-kawan tetapi dibina atas kualiti unik mereka sebagai manusia dan kasih sayang serta penerimaan yang tidak terhingga.   Data yang diperolehi daripada Oregon Youth Study menunjukkan bahawa penolakan daripada rakan sebaya sebab utama remaja terlibat dengan rakan sebaya yang bertingkahlaku negatif.

Seterusnya, bagi menjernihkan tanggapan keruh yang dikemukakan oleh pihak pembangkang yang berbunyi ______________.

Tuan Yang Dipertua,
Terlangsai sudah hutang membidas.  Deduksinya,saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa  usul yang telah dikemukakan oleh pihak pembangkang perlu ditolak kerana pihak pembangkang gagal menyatakan usul yang relevan. Dengan ini, saya mohon agar semua pihak memberi komitmen yang jitu serta serius terhadap usul pada hari ini malah kita tidak wajar akur dengan arus songsang ini yang dibawa oleh proksi pembangkang. Saya memohon maaf sekiranya terkasar bahasa,namun saya masih berpegang teguh dengan pendirian kami di pihak kerajaan iaitu Kawan-Kawan Berperanan berkesan Dalam Membina Sahsiah Pelajar.
Sekian, pertiwi harapan bangsa terus mencadang.

Penggulung
Assalamualaikum dan selamat sejahtera Tuan Yang Dipertua, rakan-rakan Yang Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.
Tuan Yang Dipertua,
Bertemu sekali lagi dalam sesi penggulungan kali ini. Dalam sesi penggulungan ini saya akan membidas ketiga-tiga hujah pincang yang telah dikemukakan oleh barisan pembangkang sebentar tadi dan seterusnya saya akan merumuskan hujah-hujah kerajaan.
Tuan Yang Dipertua,
Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tetap mempertahankan usul yang dibentangkan hari ini iaitu Kawan-kawan Berperanan berkesan Dalam Membina Sahsiah Pelajar.Jadi, berdasarkan rumusan hujah mantap yang saya nyatakan tadi, saya memohon usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan sebulat suara.
Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadang.

Sekian, terima kasih.

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...