Selasa, 15 September 2015

MENGHITUNG SEBUAH RINDU

Benarlah kata orang-orang tua, "biarlah kita punya ramai anak kerana dalam ramai itu pun kita akan tinggal sendirian".  Sunyi sebenarnya. Kala malam sebaik masuk ke rumah, rumah ini walau pun tidak sebesar mana terasa sunyinya.  Kalau dulu, rumah ini akan riuh dengan suara anak-anak. Meskipun aku hanya punya 4 orang 'buah hati' namun,10 tahun dahulu suara mereka memenuhi seluruh ruang rumah.  Benar,keempat-empat mereka tinggal di asrama! - bermula dengan abang Mawardi, diikuti kakak Farhana.  Dan kemudiannya Kak Lang Fatin Naimah seterusnya Farah Izzati. Namun rumah ini tidak pernah sunyi ketika hujung minggu. Seronoknya apabilaboleh masak dan makan sama-sama.  Lebih seronok ketika mereka berebut-rebut makan dan makanan yang disediakan habis dengan segera.
Namun,sebaik mereka membesar- Mawardi ketika ini sudah pun menjangkau 25 tahun Disember ini.  Sebaik tamat Tingkatan 5, belajar dan seterusnya bekerja.  Rumah ini kehilangan satu suara anak.Dan aku cuba membiasakan diri bahawa anak lelaki tunggalku sudah pun dewasa.  


Dan bakal pula meninggalkan rumah untuk membentuk sebuah keluarga baru.  Kesunyian itu mula terasa.  Demikian rasanya seorang ibu apabila ditinggalkan anak-anak yang mula belajar mengenal dunia. 


 Proses kehidupan - ditinggalkan untuk belajar diteruskan oleh anak keduaku Farhana.  Jika Mawardi hanya di sekitar utara, Farhana memulakan langkahnya agak jauh. Ketika dia ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Multimedia Universiti di Cyberjaya (Program Ijazah Dalam Negara -PIDN), sebagai seorang ibu aku merasa sangat bersyukur dan bangga.  Pun sebaik dia berangkat pergi,aku sedar bahawa anakku itu akan berada jauh di sisi. Maka hilanglah satu lagi suara - yang sering 'bertikam lidah' dan 'berdebat' dengan aku meskipun untuk isu-isu kecil. Maka aku terus menanggung kerinduan menanti saat mereka pulang.


 
Sebaik Kak Lang Fatin Naimah diterima memasuki asrama dari Tingkatan 1 hingga 5 dan seterusnya menyambung pengajian peringkat Asasi Pengurusan di Universiti Utara Malaysia, aku masih berasa bersyukur.  Aktiviti hujung minggu kami (aku dan suami) selain menziarahi Adik Farah Izzati di SM Kebangsaan Agama Kedah adalah menyusuri Lebuhraya Utara Selatan ke Sintok.  Hampir setiap minggu. Dan selalunya 2 kali seminggu.  Maka aktiviti itu berterusan hinggalah Fatin menamatkan asasinya di UUM pertengahan tahun 2015.  


 



Pun rupa-rupanya peraturan Allah SWT lebih cantik lagi.  Fatin pergi lebih jauh - meninggalkan aku menghitung hari-hari mendatang.  Pergi melanjutkan pelajarannya ke Jordan mulai penghujung Ogos.  Maka kesunyian itu makin menebal dalam diri. Dan kerinduan terus bersarang menghitung detik-detik menjengah malam agar dapat pula berhubungan dengan anak-anak melalui canggihnya dunia teknologi - wechat, telegram, washap, massenger atau voice call dan sesekali video call. 




Syukurlah kerana rutin mingguan kami masih boleh diteruskan. Dan itulah sebenarnya nikmat bagi sebuah kehidupan.  Aku dan suami masih boleh menjengah adik Farah Izzati di SMKAK.  Walaupun sebenarnya kami tidak pernah mengira sudah berapa tahun  mulai zaman Mawardi Tingkatan 1 tahun 2003, kakak dan seterusnya adik tahun 2015.  



Tidak pernah berselang minggu dan boleh dikatakan hampir setiap minggu selama 13 tahun itu. Itulah dunia dan kebahagiaan kami dari dulu dan sekarang.  Kerana mereka adalah harta kami dunia dan akhirat.  Yang kami lahir dan besarkan dari rasa cinta dua jiwa.  

 Dan tika ini apabila malam semakin tua, apabila mata tidak boleh dilelapkan, tika suami sudah diulit mimpi dek keletihan bekerja (keluar jam 7.00 pagi dan balik jam7.00 malam hampir setiap waktu untuk menggelakkan rasa sunyi tika dirumah) - rindu itu mula kuhitung satu-satu. Lantas doa kupanjantkan buat semua buah hati tercinta - Mawardi, Farhana, Fatin Naimah dan Farah Izzati.
 
"Ingatlah pesan emak tiap kali kalian turun dari kereta (hampir setiapkali) - Jangan lupa sembahyang.  Jangan bergaduh dengan orang.  Jangan lupa tanya cikgu kalau tidak faham. Hormat guru dan orang lain. Jaga tingkahlaku. Mengaji pandai-pandai. Mak dan abah tidak ada harta untuk ditinggalkan".
Kerana kalian adalah lambang sebuah cinta juga kasih sayang antara dua jiwa yang diikat dengan akad - SOBRI & HALIJAH. 

Maka kerana kalianlah emak saban malam, saban siang malah saban hari menghitung rindu menanti dan terus menanti detik kalian pulang semuala ke rumah apabila bercuti.  Mengenang detik kanak-kanak kalian yang pastinya tidak akan berulang lagi. 

Semoga berjaya menjadi anak-anak soleh dan solehah. Doa seorang ibu pasti terus menerangi walau di mana juga kalian berada.  Dan pulanglah anakandaku semua dengan ilmu penuh di dada!!

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...