Jumaat, 14 Februari 2014

KOMUNIKASI DAN KESAN

Komunikasi sangat penting dalam kerja buat dan kehidupan individu pada setiap hari.  Kita perlu sentiasa berkomunikasi sama ada secara sedar atau tidak sedar.  Sama ada dalam situasi tidak formal atau pun ketika situasi formal.  Komunikasi memainkan peranan cukup penting terutama untuk kelangsungan hubungan atau interaksi seterusnya.  Yang memungkin sebarang tindakbalas berlaku sama ada secara positif atau sebaliknya.

Jika kita sedang berkomunikasi, elemen paling penting digunakan pastinya bahasa sama ada dalam bentuk verbal atau pun non-verbal.  Kedua-dua elemen ini memberi impak atau pantulan semula kepada imej individu yang sedang berkomunikasi.  Ada individu yang sewenang-wenangnya menggunakan perkataan tanpa memikirkan sensitiviti orang lain ketika berkomunikasi.  Apa yang penting ketika pemilihan perkataan untuk berkomunikasi, ketetapan istilah harus diambil kira selain faktor-faktor lain yang mempengaruhi persekitaran komunikasi tersebut.

Pernahkah kita berasa hairan atau dalam situasi tidak tenteram  mengapa  tiba-tiba ada seseorang yang memberi reaksi non-verbal tidak menyenangkan apabila berkomunikasi dengan kita?  Kemudian dalam beberapa hari kita dapati individu tersebut berasa tidak selesa atau dalam istilah lain berkecil hati dengan perkataan yang kita gunakan? 

Apa yang sangat-sangat memberi impak negatif kepada orang yang sedang berkomunikasi adalah perkataan dan makna perkataan itu sendiri kepada penerima.  Oleh yang demikian, seharusnya setiap individu  perlu memberi perhatian serius ketika menggunakan perkataan-perkataan  ketika berkomunikasi sama ada secara formal atau tidak formal.   Perkataan yang dipilih harus merujuk kepada makna - mengikut istilah standard kamus dewan, latar budaya individu, latar tempat malah mungkin juga latar pendidikan.

Contohnya; "Bagi mengumpul bahan-bahan unit saya, saya telah memilih Cikgu Halijah sebagai ejen saya.  Jadi semua AJK Unit perlu menyerahkan semua bahan kepada ejen saya itu."

Barangkali perkataan ejen tidak membawa apa-apa erti bagi orang yang menyampaikan mesej.  Namun jika dilihat dari segi makna mengikut kamus Dewan Edisi Keempat mukasurat 378, ejen bermaksud orang yang menjalankan perniagaan untuk orang lain, wakil penjual atau pun orang yang dibayar gaji untuk melakukan sesuatu untuk orang lain seperti pemerintah, pentadbir dan sebagainya.  Seandainya orang yang menerima mesej itu merupakan individu yang memahami maksud atau istilah yang digunakan sudah pasti penggunaan perkataan 'ejen' akan mengundang rasa kecil hati yang boleh merosakkan hubungan dua hala yang terbina.

Jadi kesimpulannya, penggunaan istilah atau perkataan sangat penting dalam sesuatu komunikasi.  Setiap orang yang bertutur perlu sentiasa berhati-hati ketika menggunakan istilah-istilah yang mereka sendiri tidak mahir terutama dari segi makna kerana impikasinya amat besar dalam sesuatu perhubungan.

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...