Sabtu, 30 Mac 2013

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN TARIKH KELAHIRAN - HALIJAH

3O  Mac - suami, anak-anak, kakak, adik-adik, teman-rakan malah anak-anak murid; yang rapat mahu pun yang jauh sama-sama mengucapkan "Selamat hari lahir" untukku.  Seronok?  Gembira?  Macam-macam rasa bersilih-ganti ketika sedetik lagi usia menginjak dari satu angka ke suatu angka yang lain.  Sedar mahu pun tidak, rela atau mungkin suka, detik itu akan berlalu saat demi saat membawa kepada minit, jam dan kemudian hari terus pula berubah.  Demikian cepatnya masa berlalu.  Begitu cepat sehingga terasa tidak sedar bahawa usia semakin menghampiri ke noktahnya  yang ditentukan Illahi.

Sememangnya aku begitu teruja apabila melihat 'wall fb'ku penuh dengan mesej dan pesanan yang ditinggalkan.  Menunjukkan betapa aku 'disayangi' (barangkali) dan 'diingati (tentunya) oleh ramai orang.  Namun, dalam meniti bait demi bait yang ditinggalkan hati sering terdetik apakah akan ada lagi ucapan yang bakal aku terima pada tahun-tahun yang akan datang.  Setiap kali bergeraknya masa dan menginjaknya usia bererti semakin kita menghampiri usia kematian dan begitulah seperti mana arwah ibuku sering mengingatkan aku suatu ketika dulu.  Barangkali kerana itulah setiap manusia ketika usianya menjangkau 40-an, akan sentiasa mengingati mati.  Teringat fasa kehidupan manusia ketika aku mempelajari ilmu ini ketika di universiti dahulu.

Aku sebenarnya masih jauh mencari diri.  Masih dalam rangka belajar dan berusaha.  Pastinya dengan satu niat untuk khatam al-Quran - yang cuba aku praktikkan setiap habis waktu solat meskipun semuka-dua.  Demikian azam dan niatku dalam usia yang semakin tua.  Aku juga dalam rangka untuk membuat sebanyak mungkin amal - jika cita-citaku dulu ingin menerbitkan buku tidak mungkin mampu tercapai, aku ingin menulis walaupun sebaris dalam blogku untuk kukongsi bersama para pengunjung yang dahagakan satu perkongsian.  Aku juga dalam proses berkira-kira untuk bersedakah jariah dengan mengadakan kenduri walaupun dengan seringgit wang gajiku pada setiap bulan.  Demikian sebahagian angan-anganku dalam usia sebegini.  Sebenarnya terlalu banyak dan aku sendiri tidak pasti apakah aku termampu melunaskan semua itu.

Dalam usia yang semakin banyak, aku sebenarnya cukup bersyukur dengan pelbagai limpahan kurnia yang Allah SWT berikan untukku ketika ini.  Memang jika dibandingkan dengan teman-rakan yang lain, aku tidak punya harta bertimbun atau aset berlonggok dengan simpan berjuta - namun cukuplah untuk aku mensyukuri segala nikmat Allah SWT dengan memberikan aku sebuah keluarga - yang di dalamnya mekar dengan kasih-sayang; suami yang cukup setia, prihatin malah bagiku yang terbaik yang aku miliki, anak-anak yang sihat dan pastinya punya rasa kasih-sayang cukup besar untuk setiap anggota dan ahli keluarganya, kakak, abang dan adik-adik (baik ipar-duai) yang saling menyokong dan bergandingan, malahan teman-rakan dan pekerjaan yang cukup baik serta pastinya sentiasa menyenangkan.  Apalah lagi yang harus aku dustakan daripada apa yang telah Allah kurniakan untuk diriku??


Aku ingin merakamkan rasa syukurkan atas segala yang aku miliki kini.  Alhamdulillah.  Aku juga ingin merakamkan terima kasihku kepada semua (sahabat, teman-rakan, kaum keluarga dan yang paling penting suamiku Sobri dan anak-anakku Mawardi, Farhana, Fatin Naimah serta Farah Izzati) yang sering menyokong jatuh-bangunku selama ini.  Tanpa kehebatan kalian memberi dorongan dan bimbingan pastinya aku tidak akan terus berdiri sebegini pada saat dan tika ini pada usia menginjak ke angka 46.  Pastinya kerinduaan dan terima kasih ini untuk insan yang cukup istimewa dalam kehidupanku selama-lamaya - Ayahandaku Allahyarham Mahmud dan Bondaku Allahyarhamah Aminah - KALIANLAH INSAN YANG MEMBERI AKU PELUANG UNTUK BERNAFAS SEHINGGA SAAT INI.  

Kasih sayangku untuk kedua kekandaku yang telah tiada (Yusuf dan Latifah) - moga hari tuaku ini akan menjadikan aku lebih dewasa dan matang dalam kehidupan.  Terima kasih semua!!

Rabu, 27 Mac 2013

PERASMIAN SEMINAR KELUARGA PEMANGKIN KECEMERLANGAN



Bagi yang berminat dan selalu mengikuti blog saya, di sini saya kongsikan teks ucapan perasmian Seminar Keluarga Pemangkin Kecemerlangan yang saya sediakan untuk perasmi ketika saya menjadi Jurulatih Unit Khidmat Masyarakat di Universiti Utara Malaysia pada tahun 2010 yang lalu.  Moga dapat menjadi panduan semua.

UCAPAN PERASMIAN
SEMINAR KELUARGA PEMANGKIN KECEMERLANGAN
KEGIATAN LUAR KULIAH (KLK) KOKURIKULUM
UNIT KHIDMAT MASYARAKAT UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TARIKH :  22 JANUARI 2010
HARI : JUMAAT


Yang Berusaha Pn. Idawati Kaunselor LPPKN Negeri Kedah Darul Aman, Yang Berusaha En. …………………………………. AADK Negeri Kedah Darul Aman, Jurulatih-jurulatih Unit Khidmat Masyarakat dan seterusnya para pelajar yang dirahmati Allah sekalian.

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Alahamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama dalam majlis ilmu pada pagi ini.  Terlebih dahulu izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola yang telah bertungkus lumus mengendalikan Seminar Keluarga Pemangkin Kecemerlangan ini.  Tidak lupa ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada LPPKN dan AADK kerana sudi menerima jemputan kita menjadi pembentang kertas kerja serta ahli panel dalam forum yang akan diadakan pada sesi petang nanti.

Para hadirin, siding dewan sekalian,
Terlebih dahulu izinkan merkamkan ucapan tahniah dan berterima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola Unit Khidmat Masyarakat kerana berjaya menganjurkan seminar Keluarga Pemangkin Kecemerlangan ini.  Untuk pengetahuan semua, seminar kita pada hari ini telah disertai hampir 560 orang peserta semester 2 dan 3 dari Unit Khidmat Masyarakat.  Sebenarnya untuk menganjurkan program seperti ini dengan melibatkan beberapa agensi bukanlah sesuatu yang mudah.  Saya faham sepanjang mengurus untuk memastikan program ini terlaksana banyak tenaga, masa dan juga kewangan telah digunakan bagi menjayakan program-program besar seperti ini.  Pada saya komitmen yang diberikan oleh Jawatankuasa Pengelola sepatutnya diberi pengiktirafan dan saya bagi pihak Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia sekali lagi mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Hadirin, siding dewan yang saya muliakan,

Sebenarnya saya begitu teruja untuk turut serta dalam majlis ilmu yang diadakan pada hari ini.  Ini kerana, kehidupan di kampus merupakan kehidupan yang cukup manis selain ketika di bangku sekolah.  Melalui kegiatan-kegiatan seumpama ini, kita sebagai warga universiti akan mampu menimba sebanyakmungkin pengetahuan dan pengalaman yang tidak dapat diperolehi di mana-mana.  Proses pematangan seseorang individu terutama para siswa tidak hanya berlaku dalam konteks bilik kuliah malahan boleh juga berlaku di luar waktu kuliah atau dengan erti kata lain kegiatan luar kuliah.
   
Kegiatan Luar Kuliah atau KLK merupakan satu kegiatan yang begitu sinonim dengan mahasiswa terutama bagi semester kedua, ketiga dan keempat yang menyertai aktiviti Kokurikulum di universiti.  Seperti yang siswa-siswi ketahui, melalui KLK banyak input-input serta impak positif yang bakal dikutip oleh para peserta.  Kesemua input ini bukan sahaja dapat membentuk sikap malahan dapat juga membina jiwa dan membuka minda kita.  Penerapan ini sejajar dengan hasrat universiti malahan kerajaan sendiri untuk melahirkan modal insan kelas pertama tanpa mengabaikan taksonomi pengajaran dan pembelajaran yang menekankan kepada empat domain utama iaitu kognitif, psikomotor, efektif dan juga social.  Melalui kegiatan pada hari ini saya yakin para peserta telah dan akan dapat melalui sera menguasai empat domain social iaitu berkomunikasi, kerja secara berpasukan,  menunjukkan cirri-ciri kepimpinan dan juga mengurus.  Saya juga yakin, KLK ini akan berjaya melahirkan siswa-siswi yang dapat menguasai 7 elemen dalam Kemahiran Insaniah yang turut ditekankan dalam kegiatan kokurikulum.  Apa yang penting bagi saya, melalui majlis ilmu yang julung-julung kali anjurkan ini, para peserta akan mengutip sebanyak mungkin input untuk diaplikasikan semula dalam kehidupan seharian baik sebagai mahasiswa, anak, adik, kakak, sahabat mahu pun anggota masyarakat.  Apa yang kita lalui pada hari ini sebenarnya akan meninggalkan impak cukup besar untuk diri kita pada masa akan datang. Insya’Allah.

Hadirin sekalian,
Saya rasa, saya tidak ingin mengambil masa yang panjang.  Sebelum itu sekali lagi saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola kerana berjaya menganjurkan seminar ini.  Kepada LPPKN dan AADK, saya bagi pihak Pusat Kokurikulum mengucapkan terimakasih kerana sudi mengambil bahagian dalam seminar kami. Manakala kepada semua peserta , “Selamat Berseminar”.

Dengan lafaz bissmillah hirrahmanirrahim, Saya merasmikan Seminar Keluarga Pemangkin Kecemerlangan Unit Khidmat Masyarakat 2010”

Sekian, terima kasih.


SADAQAH JARIAH - KEBAJIKAN YANG TAK BERAKHIR

Rasulullah SAW bersabda, 'Bila seorang anak Adam wafat, maka amalnya terputus kecuali tiga     hal iaitu:-
   1] Shadaqah jariah
   2] Ilmu yang bermanfaat
   3] Anak shalih yang mendoakannya. (HR. Muslim, Abu Dawud , At-Tirmidzi , Nasa'i dan Ahmad )  

    SADAQAH JARIAH - KEBAJIKAN YANG TAK BERAKHIR
AL SADAQAT AL JARIYAH - THE ACTIONS WHICH OUTLIVES YOU
1.       Berikan al-Quran pada seseorang, dan setiap dibaca, anda mendapatkan hasanah
Give a copy of Quran to someone and each time they read from it, you will gain hasanaat
2.       Sumbangkan kerusi roda ke hospital dan setiap orang sakit       menggunakannya, anda dapat hasanah
Donate a wheel chair to a hospital and each time a sick person uses it, you will gain hasanaat
3.       Berbahagi bacaan yang berfaedah dengan seseorang
Share constructive reading material with someone
4.       Bantu Pendidikan seorang anak
Help in educating a child
5.       Ajarkan seseorang sebuah do'a.
     Pada setiap bacaan do'a itu, anda dapat hasanah
Teach someone to recite a  doa . With each recitation, you will gain hasanaat
6.       Berbahagi CD Quran atau Do'a
Share a  doa  or Quran CD
7.      Libatkan dalam pembangunan sesebuah masjid tenaga atau harta
Participate in the building of a mosque   thru wealth or strength
8.      Letakkan   pendingin air di tempat umum
Place a water cooler in a public place
9.       Tanam sebuah pohon. Setiap seseorang atau binatang berlindung         dibawahnya, anda dapat hasanah
Plant a tree. Each time any person or an animal sits under its shade or eats from the tree, you will gain hasanaat
10.   Bagikan email ini dengan orang lain. Jika seseorang menjalankan salah satu
  dari hal diatas, Anda dapat hasanah sampai hari Qiamat.
Share this with someone. If one person applies any of the above you will receive your hasanaat until the Day of Judgment
 

Selasa, 19 Mac 2013

DISIPLIN MEMBENTUK KEBERSIHAN DAN HARGADIRI

Kita kerapkali mendengar orang berbicara perihal disiplin terutama apabila dikaitkan dengan murid-murid sekolah.  Seringnya pula disiplin ini dikatakan sebagai satu cara seseorang individu mengawal diri dan tingkahlaku mereka kepada suatu peraturan atau undang-undang tertentu.  Ketidakbolehan individu mengawal diri akan menyebabkan mereka melanggar peraturan atau undang-undang yang ditetapkan - dan ini dikatakan sebagai perlanggaran disiplin.

Pada pandangan peribadi saya, disiplin merupakan sesuatu yang sangat penting dan menjadi titik tolak kepada kesempurnaan sebuah kehidupan termasuk kejayaaan dan kecemerlangan.  Bagaimana kita melihat seorang yang berjaya baik dalam kerjaya atau kehidupan - pastinya berpaksikan kepada disipin diri yang tinggi.  Disiplin diri yang tinggi mampu membentuk diri individu menjadi seorang yang bersih baik fizikal mahupun mental.  Selalunya individu berdisiplin akan berfikiran lebih matang, terbuka dan jauh ke hadapan.  Idea dan pendapat lebih bernas dan boleh diterima pakai. 

Berdisiplin tinggi maksudnya bersedia untuk mengikuti dan seterusnya mematuhi peraturan.  Dapat mengawal diri dalam pelbagai situasi dan secara tidak langsung berupaya juga meningkatkan harga diri di kaca mata orang lain.  Sebagai pelajar di sekolah - patuh kepada disipin menjadi suatu kewajipan.  Melalui sikap patuh ini akan menjadikan seorang murid itu disenangi oleh guru dan kawan-kawan selain dan ini pastinya akan meningkatkan harga dirinya di hadapan warga sekolah yang lain.

Rabu, 13 Mac 2013

CERITA IBU 2

Bukanlah mudah sebenarnya untuk kita mengubah semua yang sudah terbiasa dalam kehidupan kita.  Tambahan jika sesuatu yang kita tidak biasa lakukan.  Pertemuan dengan seorang ibu dan ceritanya tentang hubungan antara suami dan anaknya begitu menyentuh hatiku.  Sesekali apabila berfikir tentang Generasi Z yang sedang kami depani sekarang, ternyata ada benarnya.  Bertembung pula dengan kita generasi yang dididik dengan sejuta peraturan dan undang-undang.

Benarnya menurut kajian-kajian, Generasi Z ini merupakan generasi yang suka bertindak ikut kata hati,  berfikir - jika orang lain boleh, mengapa tidak saya?  Tidak takut menghadapi cabaran lantaran mereka sentiasa merasakan hanya tindakan mereka sahaja yang betul dan benar.  Mendekati generasi ini perlulah sentiasa diberi dipuji dan disokong pula dengan hujah-hujah bernas tanpa menampakkan kelemahan mereka, tidak boleh dikasari kerana kekasaran akan dibalas dengan tindakbalas kasar juga.

Demikian sebenarnya apa yang berlaku dalam hubungan anak dan ayah yang saya sebutkan di atas tadi.  Kerana sedikit ketidakpuasan hati, sanggup pula anak ini tidak bertegursapa dengan bapanya selama lebih 2 bulan.  Lantaran masing-masing punya ego maka ketegangan hubungan itu berlarutan sehingga sebegitu lama.  Tidak mahu kemelut tersebut berterusan dan terasa sukarnya berulang-alik menghantar anak hari-hari ke sekolah sehingga selalunya terlewat memasuki pintu pagar, akhirnya kekusaran tersebut dikongsi dengan saya.

Ternyata anak tidak senang dengan sikap ayah dan ibu tidak punya kekuatan untuk bersuara.  Saya mencadangkan agar si ayah mendekati anak-anak - ajak solat berjemaah bersama, peluk dan cium anak, dengar dan sentiasa memasang telinga untuk mereka. Dan apabila semua itu dapat dilaksanakan, genarasi Z ini begitu mudah pula didekati dan dibentuk!  Tahniah untuk si ayah yang berjaya meletak ke sudut paling bawah rasa ego diri dan tahniah kepada si ibu yang berjaya menyakinkan suami untuk kebaikan semua generasi. Anda ibu bapa paling hebat yang saya telah temui!! 

CERITA IBU 1

Saya didatangi seorang ibu muda dengan mengendong anaknya kira-kira dua minggu lalu di bilik saya.  Seperti biasa, saya  menyambut kedatangan itu dengan hati terbuka.  Sambil mempersilakan dia duduk tangan saya segera pula menyantuni anak kecil yang dikendungnya.  Dari loghat tutur katanya, minda saya terus menangkap bahawa wanita di hadapan saya ini bukanlah orang tempatan.  Maksudnya bukanlah orang dari kawasan saya mengajar ini.

Selain bertanya khabar, bertanya nama saya juga memperkenalkan diri saya kepadanya.  Sebaik ternampak sedikit kekenduran pada wajahnya saya lantas bertanya;
"Sebenarnya apa yang saya boleh tolong puan.."
Tiba-tiba matanya berkaca.  Saya tahu ada yang ingin dikongsinya dengan saya. 

Itulah sebahagian cerita kira-kira dua minggu lalu.  Akhirnya sesi demi sesi saya lalui dengan anaknya.  Kerapkali saya menunggu di pintu pagar melihat dan menanti kehadiran anaknya ke sekolah.  Melihat apakah akan ada perubahan dari sikap dan tingkahlaku anak itu selepas menjalani beberapa sesi kaunseling tersebut.

Hari ini dan beberapa hari sejak kebelakangan ini saya diburu kekalutan.  Sebaik habis program pelajar bersama Puan Pengetua, saya ke pejabat mengambil surat yang diminitkan pihak pengurusan kepada saya.  Ketika menandatangani surat akaun terima, telefon saya tiba-tiba berdering.  Saya tidak pula mengambil masa yang lama.  Sebaik diangkat, sipemanggil memperkenalkan dirinya.  Cepat minda saya menangkap namun, keceriaan dari suaranya mengubah terus persepsi saya yang datang tiba-tiba.

"Terima kasih cikgu.  Alhamdulillah dah selesai semuanya.  Terima kasih atas bantuan cikgu"

Kenapa saya sendiri tidak tahu, air mata saya cepat pula bergenang.  Segera saya menyuruh ibu itu sujud syukur atas segala yang berlaku.  Sungguh, saya terasa puas dan sangat-sangat bersyukur kerana kemelut keluarga ini sudahpun berakhir.  Siapalah saya sebenarnya untuk menidakkan apa yang telah dijanjikan Allah untuk mereka.

Hanya satu yang saya minta moga Allah suburkan kasih sayang antara keluarga ini dan lembutkan hati anak-anak keluarga ini untuk saling berkasih-sayang sesama mereka.  Hanya kasih sayang sahaja yang bakal merapatkan jurang yang terpisah dan kekusutan yang semakin bernanah.  Saya sentiasa mendoakan mereka.

Jumaat, 8 Mac 2013

KURSUS PRS KALI PERTAMA 2013

Tahniah kepada semua anak-anak PRS yang menghadiri kursus hari ini.  Meski kita berdepan dengan pelbagaikekalutan, alhamdulillah semuanya sudah kita sempurnakan hari ini.  Inilah antara aktiviti yang dilakukan mulai jam 8.00 pagi hingga 12.00 tgh selepas sedikit penerangan kepada ahli-ahli baru apa itu PRS serta peranan dan tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan.

Slot 1 :  Salam Ukhwah PRS Bahiyah

Seronok juga mengendalikan kursus kali ini meskipun setiap minggu (Jumaat) kena datang ke sekolah.  Tapi sebenarnya itulah kepuasan.  Komitmen ahli-ahli PRS sememangnya amat baik. 

Slot 2 :  Gaya Tindak
Kadang-kadang apabila melihat orang lain kita dengan mudah memberi komen tetapi sebaik kena pada diri sendiri sukar juga rupanya untuk segera bertindak dan buat keputusan....



Slot 3 :  Komunikasi dan Halangan Dalam Komunikasi
Rupa-rupanya dalam komunikasi juga ada pelbagai halangan sehingga mengganggu mesej yang hendak disampaikan.  Seronoknya apabila ahli-ahli memberi respon terhadap aktiviti dan faham kesan halangan yang timbul dalam komunikasi.
Ini pula aktiviti akhir sebelum balik dan sebelum penyerahan surat kepada 'secret admire' masing-masing. Kreatif juga anak-anak PRS saya







Tahniah.  Saya bangga dengan anda!!

Sabtu, 2 Mac 2013

KEMBARA SEBUAH PERJALANAN (3)

Banyak sebenarnya yang ingin dikongsi sepanjang perjalanan ke Tanah Suci Mekah dan Kota Madinah pada 7 - 17 Feb. 2013 yang lalu.  Jika ditanya pada diri, sesungguhnya keinginan untuk menjejakkan kaki ke sana lagi begitu tinggi dan menebal.  Rugi pulalah rasanya kerana mengambil masa cukup pendek untuk mendekatkan diri di Rumah Allah SWT itu.  Ya lah, 11 hari ditolak 2 hari untuk perjalanan cuma tinggal 9 hari sahaja bakinya - 4 hari di Madinah dan 5 hari di Mekah; terasa tidak puas mengatur langkah hari-hari bersama jemaah lain ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.  Demikian besarnya kuasa Allah, setiap yang datang pasti hatinya meruntun-runtun untuk datang dan datang lagi - dan kemudian menghitung rindunya yang tiada bertepi.  

Ketika inilah, jauh di sudut hati saya teringat Allahyarham Ayahanda saya Mahmud, yang ketika usia tuanya (75 tahun ketika itu) masih ingin pergi ke Mekah walaupun ditegah anak-anak kerana ketidakupayaan dan keuzurannya.  Tragedi di Kota Mekah yang kemudian menyebabkan ayahanda saya lumpuh dan seterusnya meninggal dunia setahun selepas itu.  Ketika bertawaf ban bersaie; saya seperti melihat 'dia' di hadapan saya dan ketika itulah air mata bagai tidak upaya ditahan-tahan.  Moga ayahanda saya tenang di sana -menemui kekasihnya yang sejati.  Sekembalinya saya selepas menunaikan umrah itu barulah saya mengerti erti sebuah 'cinta agung' kepada Illahi.  Dan saya mula memahami mengapa ayahanda saya selalu mengharap untuk pergi lagi dan lagi sama ada menunaikan umrah mahupun haji.  

Untuk semua saya kongsikan sedikit memori indah bagi menyemarakkan rindu kita kepadaNya - moga kita terpilih untuk datang dan datang lagi mendekatkan diri kita kepadaNya mencari sebuah cinta yang sejati.











KURSUS KEPIMPINAN PENGAWAS FASA 1 (28 Feb. & 1 Mac)


LDK 1Aktiviti 1 :  Pakat-Pakat Jaga : Kita Hapus Musuh Kita
 


Aktiviti 2 LDK  :  Pas Belon



Aktiviti 3 LDK  :  Jangan Pecahkan Saya



Aktiviti 4 LDK :  Hargai NikmatNya


Tahniah pada semua.  Nanti saya masukkan pula gambar-gambar Ice Breaking dan Ceramah serta LDK yang lain.  Jadilah pemimpin disenangi dan disayangi serta dihormati semua pihak.  Anda boleh; Anda Hebat!!

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...