Ahad, 27 Januari 2013

CATATAN 2

Sebaik selesai Perhimpunan Kaunseling dan bersama para warden di dewan besar SMKSB, saya dan Cikgu Azlina bergerak menuju ke bilik kaunseling.  Perjalanan saya terhenti ketika seorang pelajar menyapa saya.  Sebaik melihat pelajar itu, mulut saya lantas bertanya, "Kenapa datang juga hari ini?  Bukan awak nak uruskan perpindahan awak?"

Saya melihat wajah pelajar di depan saya - kelihatan dan dari nada suaranya saya pasti ada getar kesedihan.  Pantas dia menjelaskan walaupun saya sendiri kurang jelas denganapa yang cuba dinyatakan kepada saya.  Mudah dan saya memikirkan jalan penyelesaian paling berkesan adalah membawa pelajar itu ke pejabat - rujuk dan barangkali mendapat sedikit pandangan dari PK HEM atau berbincang dengan pihak pengurusan pejabat.

Saya tahu - tanyalah siapa juga waris yang telah meletakkan anaknya di SMKSB, jaranglah mereka bersedia memindahkan anak-anak mereka ke sekolah lain tanpa sebarang sebab.  Begitu juga dengan pelajar ini yang kesnya saya sendiri kendalikan.  Namun, perjalanan  jauh Pokok Sena - Alor Setar setiap hari menyebabkan saya menyuruh warisnya berfikir panjang; bukan tidak boleh tetapi risiko perjalanan itulah yang sepatutnya diambilkira.  Tambahan pula ayahnya perlu bekerja mencari rezeki di Kuala Nerang.  Pastinya kekalutan setiap pagi itu akan mengundang pelbagai masalah lain.

Namun sayangnya, ketika waris dan pelajar telah dirasionalkan dan membuat keputusan untuk berpindah, sekolah yang menjadi pilihan tidak mempunyai ruang secukupnya untuk dia.  Saya sedikit kesal sebenarnya.  Rugi untuk dia namun, saya  berkeyakinan walau di mana juga kita ditempatkan jika kita bersemangat tinggi untuk berjaya dan mencipta sejarah diri - pasti pintu kejayaan tersebut akan terbuka luas.  Tambahan pula saya berkeyakinan bahawa dia mampu menjadi 'role model' untuk orang lain berdasarkan pencapaiannya dalam kokurikulum dan akademik.

Apa pun untuk anak pelajar saya - ciptalah sejarah diri anda dan ubahlah nasib keluarga kerana saya ingin menemui anda 10 tahun akan datang sebagai seorang yang cemerlang sahsiah dan akademiknya.  Semoga terus melangkah gagah dan buktikan anda boleh!!


CATATAN 1

Hari ini saya didatangi seorang anak pelajar.  Seperti selalu apabila dia ke bilik dan ingin berjumpa saya soalan pertama yang diajukan adalah,"Cikgu sibuk tak sekarang?  Saya nakjumpa cikgu".  Kebetulan pula pada ketika yang sama saya baru masuk ke ruangan saya itu.  Baru sahaja menguruskan beberapa hal berkaitan dengan pelajar di pejabat termasuk perbincangan kecil dengan PK HEM.

Seperti selalunya baik dengan dia atau pelajar-pelajar lain, saya akan sentiasa menyediakan ruang cukup luas untuk mereka berinteraksi dengan saya.  Dalam keadaan macam mana sekali pun, saya akan sentiasa bersedia menerima mereka dengan seadanya.  Lantas pelajar itu saya jemput masuk dan kami mengambil masa yang agak lama untuk berkongsi pandangan dan pendapat.  Pertemuan tersebut bukanlah merupakan sesi kaunseling sebenarnya.  Lebih kepada suatu perkongsian idea dan pendapat.

Jika ditanya, saya cukup senang dengan pelajar ini.  Mengenali dia sejak akhir tahun lepas menjadikan saya kagum kerana dia pelajar yang cukup kaya dengan prinsip dan punya semangat diri yang tinggi.  Ralat rasanya saya jika pelajar sebijak ini tidak diberi peluang untuk memanafaatkan kelebihan dan bakat diri yang ada.  Pada saya, dia perlu dimotivasikan, semangatnya hampir pudar lantaran beberapa peristiwa yang berlaku kepadanya ketika di sekolah lama.  Saya tidak senang jika peristiwa itu menjadikan dia putus asa dan putus harap.  Rugilah jika seorang pelajar yang berpotensi seperti itu tidak diberi ruang dan kesempatan untuk mengilap bakat dan kebolehan diri.

Saya ingin melihat dia berada di suatu tahap yang lebih baik.  Sebenarnya jauh di sudut hati saya menaruh keyakinan bahawa dia akan berjaya nanti.  Sebelum dia melangkah meninggalkan bilik saya, sempat saya berpesan kepadanya,"Cikgu ingin melihat salah seorang yang naik ke pentas nanti adalah awak.  Cikgu yakin awak boleh lakukan.  Buktikan pada orang lain." Dia meninggalkan saya selepas tangan saya dicium dan saya merasakan bahawa dia pasti dan pasti akan berjaya.  Yakinlah bahawa kejayaan adalah untuk orang-orang yang sentiasa bersedia berkorban ke arah itu!

Sabtu, 26 Januari 2013

TETAMU

Sebaik bangun untuk solat subuh pagi ini, saya segera ke dapur terlebih dahulu.  Semua bahan telah saya sediakan sebelum tidur semalam.  Hari ini saya bakal menyambut kedatangan rakan-rakan sekuliah anak saya Mawardi.  Lebi 15 orang katanya.  Maka sejak semalam lagi saya bertungkus-lumus menyediakan bahan-bahan untuk menyambut tetamu anak saya itu.

Kalut juga sebenarnya apabila saya seorang diri perlu menyediakan bahan-bahan.  Namun, kekalutan itu berjaya diredakan lantaran pertolongan Mawardi - mengemas dan menyiapkan tempat.  Juga menyusun sedikit juadah yang disediakan.  Simple sahaja menu yang saya sediaka. Hanya sedikit behun goreng, mee kari dan 2 jenis kuih (satu ready made, dan satu yang lain saya sediakan sendiri - bingka pandan).  Bolehlah sekadar untuk melepaskan rasa lapar sebelum mereka bergerak pula ke rumah yang lain di Pendang.





Sebenarnya saya bercadang untuk menyediakan nasi lemak.  Namun dibantah Mawardi kerana katanya di Pendang mereka akan disajikan dengan nasi.  Maka berubahlah menu saya kepada yang saya sebutkan tadi.  Nampaknya seharian ini menu saya untuk tengahari hanya itulah sahaja.  

Saya sebenarnya amat suka jika tetamu datang ke rumah.  Selain untuk mendapat keberkatan dan rahmat Allah SWT sebenarnya apabila  tetamu mengunjungi rumah kita maka kita haruslah menyambut dan  mengalu-alukan kedatangan mereka, menunjukkan kemesraan dengan bermuka manis,bercakap dengan bahasa yang sopan.  Ttetamu yang datang merupakan rahmat dan membawa rezeki untuk kita. Saya juga dapat pula mempraktiskan kegemaran saya menyediakan makanan- seronok apabila melihat orang dapat makan dan rasa kenyang dengan makanan yang disediakan.  

Selamat datang tetamu saya.  Moga anda selesa berada di teratak kami...

Jumaat, 25 Januari 2013

SALAM PERPISAHAN


Apabila masa itu sudah tiba, kita pasti perlu bersedia untuk mengucapkan 'selamat tinggal' buat semua.  Tidak kira sama ada kita bersedia atau tidak berupaya lantaran kehidupan ini begitulah lumrahnya.  Meski disayangi dan diperlukan lagi namun, perjalanan untuk perpisahan ini perlu diteruskan.  Moga Pn. Faridah Daud akan terus berada dalam kesihatan yang baik sepanjang menjalani kehidupan sebagai seorang YB (Yang Bersara) bermula detik 24 Januari 2013.  Sesungguhnya pertemuan singkat sepanjang berada di SMK Sultanah Bahiyah ternyata amat menyenangkan.  Selamat bersara..

BERITA GEMBIRA MAULIDUR RASUL

Tergesa-gesa ke dapur lantaran saya agak kelewatan menyediakan juadah untuk anak-anak saya yang akan saya lawati di asrama.  Ketika tangan begitu rancak 'mengacau' nasi goreng di dalam kuali, handphone saya tiba-tiba pula berbunyi.  Barangkali memahami kekalutan saya, suami bergegas menjawab panggilan tersebut.

"Panggilan dari KPM ni"  katanya dan telefon bertukar tangan.  Dalam kekalutan dan tertanya-tanya segera pula tangan saya memadam api dapur  sebelum meninggalkan tugas memasukkan nasi goreng ke dalam bekas kecil kepada suami saya.

"Saya dari Sektor Pendidikan Agama - Urusetia ...." perkenal suara di hujung talian dan saya segera menangkap siapa yang sedang berbicara dengan saya ketika itu.  Keresahan mula bertapak di hati.  Namun, pantas mulut saya melafazkan ucapan 'alhamdulillah' dan sememangnya selawat dan syukur itu hanya untukMu Ya Allah.  

Saya sebenarnya tidak tahu bagaimana ingin berkata-kata.  Malahan ternyata lidah saya tiba-tiba terasa begitu kelu.  Agak lama sebenarnya perbualan itu. Lebih daripada 5 minit.  Tentunya pula berkisar tentang kejayaan saya (yang saya sendiri tidak tahu tempat ke berapa) dalam pertandingan menulis Tazkirah Sempena Maulidur Rasul Peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia yang saya sertai pada bulan September yang lalu.  Sebenarnya jika ditanya pada saya ketika ini, pertandingan itu saya sertai lebih kepada untuk mencuba mengasah semula bakat diri bukan untuk menang.  Namun, jika kemenangan itu untuk saya walau di tempat ke berapa sekali pun itu merupakan nilai tambah yang tidak terhingga nikmatnya.

Sebaik telefon diletakkan, segera saya memeluk suami yang masih di dapur.  Terpinga-pinga dia.  Namun, sebaik diberitahu berita gembira itu senyumnya dapat dilihat dan ucapan tahniah serta alhamdulillah menyusul kemudiannya.

Saya sebenarnya ingin merakamkan ucapan terima kasih terutama buat suami yang turut memurnikan tulisan saya itu, juga anak-anak serta keluarga yang sentiasa memberi sokongan buat saya.  Terima kasih buat Pn.Pengetua Pn. Hjh. Rahinun bt. Mohd. Noor yang tidak pernah berhenti memberi galakan dan memahami bakat saya.  Semua yang berlaku hari ini adalah berkat doa dan kasih-sayang semua yang tidak pernah saya nafikan.  Terima kasih Ya Allah, kerana Kauberikan saya kejayaan meskipun saya tidak bertanya apakah kedudukan dan tempat yang saya perolehi.  Biarlah semuanya menjadi rahsia sehingga surat rasmi menyusul daripada Urusetia Pertandingan dalam masa terdekat ini.  Apa yang penting bagi saya adalah kepuasan dan pastinya nama SMK Sultanah Bahiyah akan berkumandang di Kolej Kesihatan Bersekutu Tanjung Rambutan, Perak  pada 8 Februari 2013 yang akan datang.

Alhamdulillah.  Terima Kasih Allah.


Rabu, 23 Januari 2013

PANTUN DAN PERANANNYA SEBAGAI ALAT HIBURAN



Memandangkan masyarakat Melayu lama tidak mempunyai saluran atau media yang canggih untuk menghiburkan hati selepas penat bekerja, maka pantun menjadi salah satu medium untuk mereka mengubat lara di hati dan juga melepaskan segala kelelahan sama ada dari segi mental mahu pun fizikal.  Sesuai dengan peranan komunikasi yang bertindak sebagai alat hiburan, pantun juga memainkan peranan yang sama terutama untuk menimbulkan rasa keriangan dalam kehidupan sehari-harian.  Beberapa contoh pantun di bawah dapat memperjelaskan lagi secara lebih terperinci bagaimana pantun amat berguna terutama dalam membayangkan rasa gembira yang dialami oleh seseorang, meninggalkan perasaan seronok dan riang terutama di kalangan kanak-kanak serta menimbulkan unsur-unsur  jenaka dalam kehidupan.  Contohnya;
Anak kera pandai meniti,
Anak ayam disambar helang;
Tidak terkira besarnya hati,
Melihat ibu sudah pulang.


Rawa bangun jalan berliku,
Penuh onak makanan badak;
Gelak senyum rupa kakakku,
Melihat nenek duduk berbedak.
(Ismail Hamid, 1987, hal. 236-237)
Selain itu, pantun juga digunakan dalam interaksi antara individu terutama untuk menguji minda seseorang.  Selain dapat mencabar ketangkasan seseorang berfikir, pantun dalam konteks ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara individu kerana ia disampaikan dalam besuasana santai.  Contohnya dalam perbualan di antara seorang ayah dengan anak, datuk dengan cucu atau pun sesama rakan sebaya.  Ini dapat dilihat terutama sekali dalam pantun teka-teki seperti pantun yang diberikan di bawah ini;
 
Kalau tuan tombak rencana,
Ambil gantang sukatkan pulut;
Kalau tuan bijak laksana,
Apa binatang tiada perut?
(Mohd. Yusof  Md. Nor, 1984. hal. 84)

Sehari-hari adik ditatih,
Dibawa dia ke rumah abang;
Berapa tinggi terbang Cik Putih,
Ke kerbau juga atau ke kubang.
(Dussek dalam Harun Mat Piah, 1989, hal. 347)

Bagi melengkapkan fungsi pantun sebagai alat hiburan, pantun selain digunakan dalam acara berbalas pantun sesama anggota masyarakat, pantun turut juga dinyanyikan sama ada oleh kanak-kanak, pasangan teruna dan dara yang sadang asyik masyhuk dalam alam percintaan mahu pun oleh golongan rang tua.  Di dalam nyanyian rakyat contohnya seperti lagu “Rasa Sayang” dan “Suriram” contohnya, penggunaan pantun sebagai lirik lagu ternyata dapat memberikan hiburan yang tidak sedikit kepada seluruh masyarakat Melayu. 

Suriram (ram ram)
Suriram yang manis
Aduhai suriram sayang
Makin dipandang semakin manis.

Tinggilah tingggi si matahari (suriram)
Anak kerbau mati tertambat (suriram)
Sudahlah lama hamba mencari – sayang
Baru sekarang hamba mendapat.

Suriram (ram ram)
Suriram yang manis
Aduhai suriram sayang
Makin dipandang semakin manis.

Dualah tiga kucing berlari (suriram)
Mana nak sama si kucing belang (suriram)
Dualah tiga sudah kucari – sayang
Mana nak sama abang seorang.
                       (Utusan Pengguna, Jan-Feb. 2008, hal. 14)

Selain pantun digunakan sebagai lirik lagu dalam lagu-lagu rakyat, berikut diketengahkan pula beberapa rangkap pantun yang begitu popular digunakan sebagai sebahagian daripada lirik lagu sehingga menjadi siulan anggota masyarakat dan masih segar dinyanyikan oleh pelbagai lapisan masyarakat berdasarkan kedudukannya.
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
(Dipetik dari filem Gurindam Jiwa)
Timang tinggi-tinggi,
Sampai pucuk atap;
Belum tumbuh gigi,
Sudah pandai baca kitab.
Tepuk amai-amai,
Belalang kupu-kupu;
Tepuk adik pandai,
Upah minum susu.
(Ismail Hamid, 1987, hal. 243)
Secara keseluruhannya, pantun telah berjaya memainkan peranannya sebagai alat hiburan  dalam kehidupan masyarakat Melayu dengan memasukkan beberapa unsur lain bagi memastikan nilai-nilai estetika di dalam pantun terus terpelihara.         

MEMBACA : KESAN DAN FAEDAH



Membaca merupakan satu proses komunikasi antara pembaca dengan penulis.  Memerlukan penghayatan atau tumpuan sepenuhnya ketika proses membaca berlaku terutama dari sudut fikiran, pandangan, penglihatan, persepsi serta  perasaan agar dapat benar-benar memahami serta menjiawai maksud yang tersurat dan tersiratyang disampaikan oleh penulis.  

 Kepentingan Membaca


1. Membaca Jambatan Ilmu -  membaca dapat memberi ilmu yang menjadi bekalan untuk beramal; menjadi tunjang kekuatan individu, bangsa dan negara. Melahirkan individu dan masyarakat bermaklumat.
2. Membaca Jendela Dunia -  boleh mengetahui, meninjau, menilai dan turut aktif dalam pelbagai pergolakan atau perubahan dunia; menghubungkaitkan apa yang berlaku dalam konteks ruang, waktu dan faktor-faktor lain.
3. Membaca Penyuluh Hidup -  boleh menjadi teman paling setia, pembimbing untuk bertaut, perunding dan penasihat; menjadi model untuk ditiru oleh orang lain; perkongsian idea dan maklumat; dapat mengenali dan seterusnya menyelesai masalah.
4. Membaca Memajukan Diri – menyerlah dalam pelbagai aspek baik akademik, keterampilan,  peribadi, sahsiah dan tingkah laku; minda terbuka; rasional; meningkatkan kemahiran berfikir serta kepakaran individu.
Membaca Untuk Bersantaian – sebagai sumber hiburan; mendapat kepuasan dan keseronokan; menenangkan dan menyegarkan fikiran malah dapat mengurangkan bebanan



Kesan Membaca


 "Harta kekayaan boleh hilang sekelip mata tetapi bukan ilmu.  Ilmu jika dijaga dengan baik      bukan sahaja kekal malahan dapat memberi kenikmatan kepada diri dan orang lain.”  Banyak kesan positif yang diperolehi individu yang menjadikan membaca sebagai pakaiannya. Sejarah membuktikan ramai individu diangkat dan dimartabatkan sebagai tokoh sehingga menjadi idola kerana minat  membaca.

Fakta Penting Tentang Membaca


1. Ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW juga berkaitan dengan Iqra’ yang bermaksud “Bacalah”.
2. Mantan Perdana Menteri yang ke-4 Tun Dr. Mahathir b. Mohamad telah mengisytiharkan tahun 1988 sebagai ‘Tahun Membaca’. 
3. “Guru Pengasas Budaya Membaca’ telah diangkat sebagai tema hari guru selama dua (2) tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1988 dan 1989. 
4. Kadar membaca rakyat Malaysia meningkat daripada 2 mukasurat setahun kepada 2 buah buku setahun.
5. Pelbagai usaha dilakukan untuk mengangkat martabat bangsa kepada masyarakat berilmu. 
6. Berlaku pertambahan syarikat-syarikat penerbitan seperti PTS One, Alaf 21, Buku Prima, Galeri Ilmu, Jemari Seni Pubishing dan lain-lain.
7. Pengarah Urusan PTS;  Ainun Mohamad yang membina  Universiti PTS.
8. ‘Kempen Membaca Dalam Keretapi’ yang diperkenalkan oleh KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad). 
9. Penulis-penulis muda mampu meraih pendapatan antara RM1 - RM5 juta setahun.



 


 

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...