Isnin, 19 November 2012

PROGRAM SELEPAS PMR 2012

Sebenarnya Program Selepas PMR 2012 sudah lama berakhir.  Bermula dari 17 Oktober 2012 hingga 4 November 2012, pelbagai aktiviti dirancang dan dilaksanakan untuk murid-murid.  Tujuan utama adalah untuk menyuntik semangat agar murid-murid dapat hadir ke sekolah dengan pelbagai aktiviti bermanafaat.  Sekurang-kurangnya mereka dapat belajar sesuatu - yang pastinya tidak diperoleh ketika berada dalam bilik darjah.  Sesunggunya proses pengajaran dan pembelajaran tidak hanya berlaku di bilik darjah, aktiviti-aktiviti luar yang dibuat dengan baik pastinya juga mampu membina jati diri murid dan inilah antara perkara yaang akan diingat oleh individu ketika mereka menginjak dewasa.  Selalunya, kita jarang mengingat apa yang diajar oleh guru sehinggalah usia semakin meningkat.  Namun, kita jarang terlupa malahan kerap pula mengimbau kenang-kenangan ketika beraktiviti bersama teman-rakan di luar bilik darjah.  Proses beraktiviti ini sebenarnya mampu membina keyakinan diri, membentuk sikap dan sifat setia kawan, menjadi lebih patuh dan menghargai masa, mencungkil bakat dan kebolehan serta banyak lagi yang tidak mampu dirungkai sepenuhnya di sini.















Di SMK Sultanah Bahiyah, murid-murid disajikan dengan pelbagai aktiviti - yang mampu mengimbau nostalgia sebaik mereka meninggalkan sekolah kelak.  Perancangan aktiviti selepas PMR disusun dengan teliti agar murid-murid mendapat sebanyak mungkin manafaat - baik berbentuk kerohanian mahupun peluasan ilmu pengetahuan.  kesemua aktiviti tersebut digarap sebaik mungkin bermula dari hari pertama sebaik kertas peperiksaan PMR tamat hinggalah kepada budaya tutup sekolah pada hari terakhir persekolahan.  Alhamdulillah, perancangan yang dibuat itu berjaya menjemput murid agar terus berada di bangku sekolah sehingga ke akhirnya.  





Semoga aktiviti selepas PMR 2012 mampu memberi impak positif kepada seluruh pelajar - berkembanglah menjadi puteri yang disenangi walau di mana anda berada.

Ahad, 18 November 2012

MENANGISI KEKEJAMAN ISRAEL





Setiap kali membuka halaman fb atau akhbar dan majalah dengan pelbagai pos gambar kanak-kanak berlumuran darah, atau cedera di kepala, tangan dan sebagainya, setiap kali itulah sebenarnya mata dan hati cuba mengelak daripada menatapi.  Bukan kerana takut tetapi lebih kepada satu perasaan pilu dan sayu.  Terasa tidak berupaya melihat betapa kanak-kanak yang tidak berdosa dizalimi dan diseksa sebegitu kejam.  Sebenarnya sudah begitu lama..., ya begitu lama mereka terus diseksa dan terseksa.  Hampir 40 tahun atau mungkin lebih.  Namun, kekejaman itu masih berleluasa.  Masih belum puaskah mereka.
Sudah berkali-kali sebenarnya, kita memerima SMS dari pelbagai pihak - memohon pertolongan dengan doa dan solat hajat.  Hanya itulah kudrat yang mampu kita hulurkan buat mereka.  Hasilnya mereka masih terus ditindas, disembelih, ditembak, dikhianati.  Israel ternyata tiada sedikit pun perikemanusiaannya.  Mana rejim barat yang katanya begitu perihatin.  Cukup ambil berat.  Mengapa tika umat Islam di Gaza - yang miskin serba-serbi, yang tiada alatan canggih untuk membalas kembali, dizalimi - tiada tangan-tangan barat yang begitu gah melaungkan kemanusiaan sejagat turun padang membantu?  Atau sekurang-kurangya menghalang kanak-kanak terus terseksa - menjadi yatim piatu??
Kasihan sungguh sebenarnya melihat anak-anak Gaza - merintih dan meraung, menangis dan meratap, menjerit dan menderita.  Bagaimana kita dapat mengesat derita mereka yang begitu lama berterusan.  Hanya kita mampu berdoa-doa dan berdoa yang kadang-kala terlupa pula untuk dibaca pada setiap kali solatnya kita.  Lantaran kita sebenarnya tidak merasa betapa getisnya kehidupan yang perlu mereka lalui saban saat dan ketika.  Sesungguhnya kekejaman Israel untuk merebut tanah kecil Gaza seharusnya terus kita kutuk.  Marilah kita sama-sama berdoa - Moga Allah SWT terus mempermudahkan kesulitan yang mereka hadapi di Gaza.  Kerana doa orang-orang yang terainiya sentiasa diangkat Allah SWT.

Selasa, 13 November 2012

SELAMAT BERCUTI CIKGU



Masa berlalu rasanya begitu cepat dan pantas.  Rasanya masih banyak kerja yang belum benar-benar selesai.  Namun perjalanan masa dan hari tidak pula berupaya untuk kita menahannya.  Sedar atau tidak, mahu atau sebaliknya kini November sudah hampir setengah bulan.  Murid-murid dari Darjah 1 hingga Tingkatan 4 sudah pun berangan-angan menyusun pelbagai aktiviti dan program.  Ibu bapa ada sesetengahnya pening kepala memikirkan ke mana anak-anak mereka ingin di tempatkan sepanjang cuti yang hampir satu bulan setengah.  Pening juga kepada para waris memikirkan langkah penjagaan malahan apa yang harus diberi sepanjang anak-anak memerap di rumah.  Jika dibiarkan pasti macam-macam pula aktiviti yang tidak terjangka akan muncul.

Demikian kalutnya ibu bapa dalam merencana pelbagai rancangan untuk kebaikan anak-anak.  Ada yang berkemampuan pastinya memilih aktiviti melancong atau jalan-jalan keliling negara atau yang lebih mampu keliling dunia.  Bagi yang kurang berkemampuan bolehlah merangka cuti santai bersama ahli keluarga yang lain - menghadiri majlis kenduri, berkelah, mengemas rumah atau mungkin juga ke perpustakaan.  Sesekali boleh juga menghantar anak-anak menghadiri kursus pendek seperti memasak, mejahit dan sebagainya sama ada di Kolej Komuniti atau Giat Mara yang berhampiran dengan kadar harga yang cukup murah.

Cuti yang panjang inilah sebenarnya memberi ruang untuk para guru merehatkan diri seketika.  Namun, ada juga sekolah yang 'bermurah hati' menyediakan pakej tuisyen selama 1 @ 2 minggu untuk murid-murid Tingkatan 1, 2 dan 4.  Selebihnya da juga guru yang merancang lawatan untuk murid-murid mereka.  Secara ringkasnya, ada guru yang sebenarnya belum lagi benar-benar bercuti.  Itu belum lagi dikira dengan guru-guru yang terpaksa bertugas untuk menjaga peperiksaan SPM dan STPM atau pun diminta bertugas di sekolah.  Nampaknya meskipun ada sesetengah guru yang sudah bercuti namun masih terdapat ramai guru yang masih melunaskan beberapa tugasan meskipun cuti sekolah sudahpun memasuki minggu kedua.

Jika tadi kita milihat ada ibu bapa yang pening memikirkan apa yang seharusnya dilakukan untuk memenuhi masa senggang anak-anak di rumah, sebenarnya para guru juga masih tercari-cari ke mana haluan yang harus dituju untuk merehatkan minda seketika sebelum sesi persekolah 2013 bermula.  Apa pun yang berlaku, meskipun kekangan kerja masih menimbun, ambillah masa untuk cikgu-cikgu bercuti bersama-sama keluarga - bercutilah cikgu-cikgu kerana tenaga cikgu masih diperlukan sebaik sesi persekolahan bermula tahun hadapan!!  

SELAMAT BERCUTI CIKGU!

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...