Jumaat, 19 Oktober 2012

HARI INI HARI JUMAAT

Hari ini hari Jumaat yang rasanya cukup tenang.  Bangun ketika azan subuh belum berkumandang dan ketika itu suami saya sedang membaca al-Quran.  Begitu rutinnya setiap awal pagi.  Bangun, solat dan membaca Al-Quran sebelum pergi berjemaah di surau.

Hari ini hari Jumaat yang cukup mendamaikan.  Selepas selesai membasuh kain, dan kebetulan perut pun terasa sedikit lapar, saya bersama suami dan anak saya Fatin Naimah keluar sarapan bersama.  Jalan-jalan di pasar membeli seekor dua ikan untuk dimasak tengah hari ini.  Ikan 'lampam' masak tempoyak dengan timun.  Mesti sedap!

Hari ini hari Jumaat yang cukup selesa.  Kebetulan pula minda terasa lapang.  Banyak tugasan yang selesai minggu ini.  Terutama Program Selepas PMR dan juga Tokoh Bitara.  Terasa minda tidak pula terbeban.  Cuma ada beberapa tugasan yang belum dimula.  Tapi rasanya jika benar-benar fokus, akan siaplah semuanya dalam beberpa hari ini.  Pelaporan Indeks Persepsi Murid, Minit Mesyuarat kelmarin.  Jangan fikir pasal kerja pagi2 Jumaat yang selesa ini.  Kalau fikir tentu kita akan rasa sedikit terbeban.

Hari ini hari Jumaat dan saya ambil kesempatan melakukan tugas untuk keluarga.  Sebaik habis sarapan menemani suami saya membuat sedikit 'pemeriksaan' keretanya.  Habis aktiviti itu, singgah di rumah mertua saya - menziarahi dan sembang-sembang.  Selesai beberapa tugasan yang berupa tanggungjawab.  Hari ini hari Jumaat dan minda mesti rehat!  Seronok, kan?

Hari ini hari Jumaat dan petang ini saya akan meraikan anak-anak PRS saya.  Yang tentunya datang dengan baju pelbagai warna.  Mereka adalah lambang kejayaan saya - membina dan membentuk jati diri lahir dari sebuah jiwa.  Sebentar lagi saya akan bersama mereka di suatu jamuan yang mereka sendiri uruskan.   di mana?  Hotel Holiday Villa.  

Hari ini hari Jumaat dan saya ingin merakamkan rasa syukur dan tahniah pada semua kerana Allah SWT masih memberi kita ruang untuk terus bernafas.  Moga Jumaat ini adalah Jumaat yang cukup indah untuk kita terus mendapat rahmat Allah juga merehatkan minda sepuas-puasnya....

Khamis, 18 Oktober 2012

BERMULANYA PROGRAM SELEPAS PMR




Setiap kali habis peperiksaan awam, setiap kali itu jugalah para guru bertungkus-lumus mencari idea.  Berhubung dengan teman-rakan malah sesekali mencari maklumat-maklumat terkini di internet.  Demikian kepekaan para guru untuk menarik minat pelajar ke sekolah.  Penjanaan minda dengan teman-rakan pastinya membantu membuka sedikit ruang untuk berfikir malah mencetus idea-idea baru yang boleh dilontar dan diketengahkan untuk kebaikan bersama.  Demikian hebatnya guru berusaha membenteras gejala ponteng dalam kalangan murid sebaik habis peperiksaan awam seperti UPSR dan juga PMR.

Begitu juga kami para guru di SMK Sultanah Bahiyah.  Memandangkan keadaan sekolah yang kerap sibuk dengan pelbagai aktiviti sehingga ke hujung tahun, baik dengan PPD dan juga JPN negeri  ditambah dengan aktiviti sekolah, Jawatankuasa Program Selepas PMR telah menyusun pelbagai aktiviti sejak sebulan lepas.  Seperti biasa objektif program adalah untuk menggalakkan murid terus datang ke sekolah, merasa terpanggil dan mendapat menafaat sepenuhnya melalui pembelajaran di luar bilik darjah.  Maka pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat pelajar dirancang dan dibincangkan.

Semalam 17 Oktober 2012, bermulalah aktiviti pertama untuk semua murid.  Alhamdulillah, hari pertama kehadiran murid melebih 80% - suatu keadaan yang amat membanggakan.  Pada sebelah awal pagi beberapa taklimat berkaitan disiplin dan peraturan sepanjang program telah dijelaskan, diikuti pula dengan taklimat aktiviti sepanjang 15 hari program, sesi merehatkan minda dengan beberapa permainan dan kemudiannya pemulangan buku teks.  Penat.  Memang cukup memenatkan.

Hari ini semua murid diberi pendedahan Kemahiran Berbahasa.  Bakat murid mencipta dan mengarang cuba diketangahkan.,  ternyata berhasil dan ada murid yang berbakat.  Murid-murid dibahagikan kepada kumpulan nazam dan bahasa berirama.  Sepanjang hari mereka berlatih dan menyanyikan lagu-lagu puisi yang indah dan puitis.  Nampak kesungguhan pada muka murid yang berminat.  Hari kedua aktiviti berlalu dengan pantasnya.

Kini tinggal berbaki 13 hari lagi.  Minggu depan akan bermula fasa kedua program – yang lagi padat dan sendat.  Tentu dan pastinya murid-murid akan terus datang.  Ada senamrobik, sukaneka dan juga eksplorce Rukun Negara.  Ada taklimat Hala Tuju Selepas PMR.  Ada pertandingan gubahan seni dan kraftangan.  Malahan ada pelbagai lagi aktiviti yang pastinya meminta hati murid untuk terus berada di sekolah.  Moga akan lahirlah mereka sebagai pewaris negara dengan idea yang sendat dan padat kerana sesungguhnya guru-guru di SMK Sultanah Bahiyah senantiasa menyayangi anda semua.

Khamis, 11 Oktober 2012

PMR 2012

Sedar atau tidak sudah tiga hari peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 berlalu.  Bererti sudah beberapa subjek diduduki calon PMR tahun ini.  Bermula dengan Bahasa Melayu dan kemudian diikuti Pendidikan Agama Islam, Bahasa Inggeris dan kemudiannya Geografi, hari ini Sains dan Sejarah.  Cepat sungguh masa berlalu.  Tinggal 2 subjek untuk pelajar yang tidak mengambil Bahasa Arab.  Bererti Isnin ini akan bebas dan merdekalah murid-murid Tingkatan 3 yang selama ini di'penjara'kan oleh pihak sekolah serta ibu bapa.

Demikian rasanya apabila semua orang begitu mengambil tahu tentang pentingnya memberi tumpuan kepada peperiksaan.  Setiap gerak nadi tentunya terfokus kepada peperiksaan penting itu.  Baik anak-anak yang menjadi calon peperiksaan, ibu bapa, kawan-rakan malah saudara-mara, pastinya 'menyambut' kedatangan PMR dengan sejuta debaran.  Malah 'debaran' itu menjadi 'guruh' kecil di hati dan perasaan para guru.  Seluruh guru tentunya.  Murid-murid inilah yang bakal menjadi 'kayu ukur' terhadap kerja kuat guru sepanjang tiga tahun mereka berada di peringkat menengah rendah.  Ketidakupayaan pelajar menguasai akademik seringnya pula disalahkan ke pundak para guru.  Yang tentunya juga tidak cukup 'kaki-tangan' untuk menepis segala bentuk kecaman dan sungutan - datangnya pula dari pelbagai pihak - pentadbir, rakan guru, JPN, PPD malahan KPM juga.  Malah yang tidak tertinggal tentunya para ibu bapa.

Namun, jika demikianlah hebatnya keresahan ibu bapa serta semua pihak dari awal para murid menjejak kaki ke sekolah, pastinya apa pun hasilnya akan berbaloi.  Hakikatnya jika dilihat pada senario kehidupan dewasa ini, tidak ramai ibu bapa yang benar-benar bertungkus-lumus memastikan anak-anak mereka 'menjiwai' setiap kerjabuat mereka - ada yang kerap ponteng sekolah, kerja tidak disiapkan malahan lari ketika kelas diadakan untuk mereka.  Jesteru, tidak hairanlah apabila ada waris yang tidak mengambil tahu ke mana anak mereka 'menghilangkan' ketika peperiksaan penting ini sedang berlangsung.  Sedangkan pada ketika yang sama guru-guru bergelut mencari dan terkapai-kapai membuat keputusan.

Jikalah seandainya semua pihak saling berkerjasama untuk meningkatkan kecemerlangan diri - disiplin, sahsiah, jati diri sudah pasti akademik juga akan menyusul menjadi cemerlang.  Ketidakpekaan ibu bapa yang hanya menyerahkan tanggungjawab 'mengajar dan mendidik' hanya kepada guru, akan menjadikan dunia murid penuh kepincangan.  Kealpaan akan menyebabkan ada murid yang beranggapan PMR hanyalah satu sistem peperiksaan yang cukup menyakitkan tanpa memikirkan kepentingannya kepada masa hadapan.

Kepada seluruh warga guru yang sentiasa meletakkan tanggungjawab mendidik anak bangsa di tingkat paling tinggi - tahniah dan teruskan usaha anda.  Biarlah jika ada sedikit 'insiden' yang berlaku sebagai suatu garis pengajaran yang memberi kita ruang untuk terus berfikir dan berfikir.  Moga Allah SWT akan terus membuka ruang untuk anda menjadi jutawan.  Insya'Allah.  Salam keguruan untuk seluruh guru terutama sahabat guru di SMK Sultanah Bahiyah - lantaran anda insan terhebat yang saya kenal!!

Jumaat, 5 Oktober 2012

KUATKAN SEMANGATMU ANAKKU

Dingin pagi Jumaat terasa amat.  Kebetulan pula hujan yang turun sejak subuh menyebabkan teasa begitu malasnya diri untuk meninggalkan keempukan tilam.  Tambahan sepanjang minggu mulai Ahad sehinggalah semalam Khamis, tidak berhenti-henti dengan mesyuarat dan perjumpaan.  Hujan yang turun dan cuti hujung minggu terasa ingin pula dimanafaatkan sepenuhnya.  Lepak, guling-guling sambil membaca semuka dua artikel dari majalah Solusi yang belum sempat dikhatam.

Deringan telefon yang menjerit berkali-kali menyebabkan otak memaksa diri untuk bangun.  Sebaik mencapai handphone yang baru dicas, si pemanggil sudah menghentikan panggilannya.  Tertanya-tanya pula di lubuk hati, siapakah yang menelefon seawal ini kerana jam belum menunjukkan pukul 7.00 pagi.  Pasti ada yang penting, jika tidak mana mungkin ada pemanggil yang sengaja menghubungi seawal ini.  Sebaik melihat pada skrin telefon tertara nama yang cukup sinonim dengan diri.  Seorang sahabat dari tempat bertugas.  Tidak pula mengambil masa yang lama, jejari dengan pantas mendail semula.  Namun panggilan saya pula yang tidak berjawab.

Dingin pagi yang tadi mengajak diri bermalas-malas bertukar kepada kerisauan dan sejuta pertanyaan.  Mengapa pula Ustazah Norazlin menelefon sebegini awal.  Pasti ada sesuatu yang penting.  Dalam hati berkata-kata, sekali lagi telefon saya berdering.  Tidak pula saya menunggu lama, segera panggilan itu saya jawab.

Memanglah benar kata orang, setiap kali telefon berbunyi pada waktu-waktunya yang tidak sepatutnya pasti ada berita yang dibawa.  Dan selalunya pula berita itu adalah berita yang menyediahkan.  Tiba-tiba terbayang di ruang mata saya wajah anak murid saya yang berada di Tingkatan 5 itu.  Kerap juga sebenarnya dia berada di bilik saya semenjak di Tingkatan 4 lagi.  Dia agak rapat sebenarnya dengan saya.  Selalu bercerita dan kerap pula berkongsi apa sahaja yang dirasa dan dihadapinya.  Cuma kebelakangan ini, ya kebelakangan ini dia kelihatan sedikit berubah.  Penyakit ibunya yang sudah sampai ke tahap kritikal menjadikan dia seorang yang cukup pendiam.  Kadang-kala dia juga tidak hadir ke sekolah kerana kesibukan menjaga ibunya yang sakit.  Saya sememangnya bersimpati dengannya.  Dengan usianya yang muda dan ketika peperiksaan SPM makin menghampir.  Tiba-tiba Allah SWT menguji dengan mengambil ibunya kembali.

Terbayang di mata saya wajah anak murid saya itu - dengan matanya yang cantik, dengan senyumnya yang manis menawan.  Saya takut jika kesedihan ini akan menghilangkan segala-gala yang ada pada wajahnya.  Cuma saya hanya mampu berdoa agar ibunya di tempatkan bersama-sama orang yang solehah.  Saya juga hanya mampu berdoa agar anak saya itu akan tabah dan kuat menghadapi setiap yang berlaku itu.  Sesungguhnya kasih-sayang Allah itu tiada batasnya.  Saya tahu dan dia juga perlu tahu bahawa Allah sangat sayangkan ibunya.  Kuatkan semangatmu, saya sentiasa bersedia dan sentiasa ada untuk kamu.  Tolong jangan lupa itu!! 

Selasa, 2 Oktober 2012

KESIBUKAN

Semakin sekolah menghampiri cuti akhir tahun terasa pula kesibukan dengan pelbagai aktiviti di sekolah semakin ketara.  Bermula pertengahan September hingga ke saat saya menulis di blog ini, saya terus merasakan kesibukan dan terasa pula bagaikan masa yang ada tidak mencukupi.  Sepanjang minggu ini bermula Ahad 30 September, setiap hari ada sahaja mesyuarat dijalankan.  Ini bermakna sepanjang minggu ini terpaksalah saya balik petang - 5.00 atau 5.30 petang!

Selalunya pula apabila sampai di rumah, keupayaan badan sudah berada di tahap yang maksimum.  Hinggakan hendak menjengah dapur pun sudah tidak bermaya.  Syukurlah kerana suami saya cukup bertimbang rasa.  Maka sepanjang waktu itu dapur saya kerapnya berubah-ubah dari satu kedai ke kedai yang lain! 

Dalam kekalutan mengurus pelbagai aktiviti, terdapat pula beberapa aktiviti selingan yang diselit bersama.  Esok 3 Oktober 2012, kami akan menerima 80 orang guru-guru Bimbingan dan Kaunseling dari Kuala Muda Yan.  Terfikir jauh di sudut hati, apalah yang menarik yang ingin kami persembahankan untuk mereka.  Tiadalah apa yang istimewa untuk mereka kongsikan.  Namun, atas nama arahan daripada PPD Kota Setar maka kami bersedia menerima kunjungan tersebut - 'kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan'.   Andai ada kekurangan di mana-mana, tinggalkan di pagar sekolah kami, jika ada pula kelebihan yang boleh dikongsi maka bawalah balik untuk kebaikan semua pihak.

Selain kekalutan menerima tetamu, Sabtu 6 Oktober 2012 sekolah kami dan saya serta beberapa orang guru terpilih pula menjadi jawatankuasa untuk Program Ekplorasi DMS bersama Berita Harian.  Demikianlah kesibukan sekolah, ditambah pula dengan aktiviti selama 15 hari sebaik tamat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang akan bermula dari 9 - 16 Oktober 2012.  Ini bererti Program selepas PMR akan bermula selama 15 hari bermula 17 Oktober 2012 hingga 8 November 2012.

Sepanjang kekalutan tersebut, saya sangat-sangat berharap agar seluruh warga SMK Sultanah Bahiyah diberi kekuatan dan kesihatan untuk terus menempuh hari-hari yang mendatang termasuk kekuatan anak-anak murid kami untuk berhadapan dengan tiga peperiksaan beasar iaitu PMR, SPM dan juga STPM.  Moga anda akan terus berjaya walaupun kesibukan itu terus menerjah kami para guru kerana sesungguhnya kesibukan itu hanyalah sebahagian warna-warna kehidupan untuk kita terus berjaya.  Insya'Allah!

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...